Sangat membimbangkan kes buli di sekolah melonjak naik - Utusan Malaysia

Sangat membimbangkan kes buli di sekolah melonjak naik

SUDAH tiba masanya semua pihak mesti bangkit melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi membanteras buli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHAP kesihatan mental sebahagian rakyat adalah membimbangkan seperti didedahkan Kementerian Kesihatan (KKM). Ini juga mengakibatkan pelbagai masalah sosial dan jenayah termasuk membuli serta bertindak agresif sehingga sanggup membunuh.

Buli boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk di tadika, sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja, malah di dalam rumah mangsa itu sendiri. Kesannya begitu parah, walaupun kadangkala ia tidak mengakibatkan kecederaan secara fizikal.

Di sekolah, masalah ini sudah membarah. Pada tahun ini sahaja, sehingga Oktober lalu, sebanyak 4,994 kes buli direkodkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Angka dicatatkan ini sememangnya sangat membimbangkan, lebih-lebih lagi ia memperlihatkan lonjakan kes ketara iaitu sebanyak 1,107 kes berbanding 3,887 pada 2022. Angka-angka ini berdasarkan rekod Data Sistem Sahsiah Diri Murid oleh KPM.

Kita sedar angka ini hanyalah jumlah kes yang direkodkan. Berkemungkinan besar jumlah sebenar lebih tinggi kerana seperti kita semua tahu, banyak kes buli tidak dilaporkan.

Buktinya banyak kes serius hanya terbongkar setelah mangsa ditemui dalam keadaan cedera parah atau meninggal dunia akibat dibuli.

Ramai mangsa buli dan kawan-kawan mereka takut untuk melaporkan hal ini kepada pihak berwajib kerana bimbang keadaan akan menjadi bertambah teruk.

Bukan sahaja tidak melaporkan insiden buli kepada pihak sekolah atau institusi pengajian, tetapi turut merahsiakannya daripada pengetahuan ibu bapa.

Peningkatan kes buli mesti ditangani segera secara tuntas kerana masalah ini mengakibatkan banyak kerosakan serta boleh meruntuhkan struktur masyarakat dan negara.

Tiada gunanya kita berjaya mencapai kejayaan demi kejayaan dalam pelbagai bidang jika bilangan kes buli turut meningkat selaras rekod kejayaan yang kita capai.

Kajian menunjukkan ramai pembuli pernah menjadi mangsa buli. Jadi, jika kitaran ini dibiarkan berterusan tanpa adanya usaha tuntas dan tegas bagi mengawalnya, maka bilangan kes buli tentunya semakin melonjak dari tahun ke tahun.

Akhirnya masyarakat kita akan bertambah sakit. Lebih parah lagi, membuli boleh membawa kepada berlakunya kes-kes jenayah yang lebih serius apabila hukum rimba dijadikan sebagai pedoman. Masalah ini bukanlah isu baharu. Kajian demi kajian dilakukan oleh pakar-pakar dan pelbagai saranan dan langkah digariskan oleh KPM.

Tetapi seperti anda, saya juga tertanya-tanya di manakah silapnya sehinggakan sampai ke saat ini, kita masih gagal meredakan masalah ini? Sikap ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kehidupan peribadi sehingga lupa bahawa ada kehidupan anak-anak mesti mereka berikan perhatian turut menyumbang ke arah ini.

BERJIWA KOSONG

Anak-anak bukan hanya memerlukan keperluan fizikal serta pendidikan akademik semata-mata. Kemewahan dan kejayaan akademik tanpa pembentukan akhlak tinggi melalui nilai-nilai murni serta ilmu agama melahirkan manusia berjiwa kosong.

Cara mendidik anak tanpa kawalan disiplin juga menjadi punca kanak-kanak merasakan mereka bebas berbuat apa sahaja termasuk membuli. Paling parah, ada ibu bapa gagal mendidik anak-anak mereka tentang apa yang betul dan apa yang salah. Mereka berpendapat disiplin bersifat mengongkong dan akan merencatkan perkembangan intelektual serta kreativiti kanak-kanak.

Bagi sesetengah ibu bapa, mereka berpendapat tugas mendidik dan mendisiplin kanak-kanak ialah tanggungjawab guru sepenuhnya, iaitu bermula daripada guru tadika dan setelah itu beralih pula kepada guru sekolah. Justeru, mereka menyalahkan guru jika anak mereka bermasalah. Pada masa sama, ada juga yang marah jika guru bersikap tegas dalam mendisiplinkan murid di sekolah.

Banyak kes buli dilaporkan berlaku di sekolah-sekolah berasrama. Hal ini kerana ia lebih sukar dihidu oleh ibu bapa, lebih-lebih lagi jika lokasi sekolah mereka jauh dari rumah. Dan kalau beberapa tahun dahulu, ada pihak mempersendakan sekolah-sekolah agama akibat kes-kes buli yang melanda institusi pendidikan ini, kini tular pula berita tentang kes-kes buli di sekolah-sekolah berasrama penuh berprestij.

Persoalan timbul, benarkah dakwaan adanya kes-kes buli yang tidak ditangani secara serius oleh sesetengah sekolah? Heboh juga kedengaran dakwaan ada pihak pengurusan sekolah-sekolah hebat dan terkenal berusaha untuk mengelakkan kes buli di sekolah mereka daripada diketahui umum.

Sudah tiba masanya semua pihak bangkit melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi membanteras buli. Tiada gunanya masing-masing saling menuding jari bagi menegakkan benang yang basah. Kita akan terus dibelenggu masalah ini selagi mana kita gagal menerapkan sifat belas kasihan dan nilai-nilai kemanusiaan dalam diri setiap daripada kita.

Tepuk dada tanya selera. Jika kita mahu hentikan buli, maka kita harus bermula daripada didikan di rumah. Melentur biarlah waktu rebung. Pendidikan kerohanian serta pembentukan akhlak yang tinggi dan mulia sejak awal adalah amat penting. Tiada jalan mudah mahupun lampu ajaib yang dapat menyelesaikan sebarang masalah dalam sekelip mata tanpa usaha bersungguh-sungguh.

Sistem pendidikan kita harus memusatkan usaha untuk melahirkan insan kamil yang tidak berkiblatkan kebendaan semata-mata. Sifat mementingkan diri sendiri harus digantikan dengan mahabbah (kasih sayang), rendah diri serta menghormati orang lain.

Budaya anarkis (tidak patuh undang-undang) mesti ditolak habis-habisan kerana itu adalah di antara punca keruntuhan akhlak kita. Jom, katakan tidak kepada buli, suburkan sikap empati dan hentikan penindasan. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN