ESOK genaplah setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai Perdana Menteri kepada kerajaan perpaduan. Masih diingat lagi, dalam sidang media pertama beliau sebagai Perdana Menteri, Anwar menegaskan beliau tidak akan menerima gaji sebagai Perdana Menteri. Ini simbol perjuangan Anwar dan PKR sebagai pembela golongan marhaen.
Anwar juga dengan beraninya menyatakan beliau telah menetapkan sidang Parlimen pada 19 Disember 2022 dan usul pertama adalah usul undi percaya kepada Perdana Menteri yang akan dibawa oleh pihak kerajaan sendiri bagi membuang keresahan tentang keabsahan kerajaan. Hasilnya memang usul ini diluluskan dan kedudukan Anwar tidak boleh dipersoalkan lagi.
Selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa semua ahli Parlimen perlu merapatkan semula saf demi masa depan negara tercinta, Anwar telah membuat tawaran kepada Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Rakyat Sabah (GRS) untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinan beliau tetapi sementara GRS menerimanya ia ditolak oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Jika PN menerimanya pastilah urusan pemerintahan akan berjalan lebih lancar dan keadaan dalam negara akan menjadi lebih aman tetapi PN sendiri memilih untuk menolaknya menjadikan politik konfrontasi terpaksa dihadapi dalam tempoh setahun pertama pentadbiran Anwar ini.
Dalam tempoh setahun ini, Anwar berjaya meletak dan mengemaskan hala tuju kerajaan perpaduan. Fokus nombor satu Anwar sejak hari pertama menjadi Perdana Menteri adalah agenda pengukuhan ekonomi serta melawan rasuah dan penyelewengan secara serius dan habis-habisan dengan menggerakkan agenda reformasi tata kelola pemerintahan.
Dalam sidang media pengumuman Jemaah Menteri pada 2 Disember 2022 lagi Anwar sudah menegaskan bahawa mereka yang menganggotai Kabinet kerajaan baharu perlu mengelakkan pembaziran serta fokus dalam melaksanakan inisiatif yang boleh meringankan beban rakyat.
Bagi mengukuhkan kedudukan beliau dan kerajaan perpaduan, Anwar menggariskan secara konkrit hala tuju kerajaan perpaduan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) kerjasama antara semua lima gabungan utama yang membentuk kerajaan perpaduan pada 16 Disember 2022.
Dalam MoU itu termeterai pelbagai komitmen mereka, termasuk untuk “Mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif, inklusif serta bersatu padu berlandaskan acuan Malaysia dan berteraskan prinsip Rukun Negara”.
Peletakan dan pengemasan hala tuju kerajaan perpaduan dibuat antara lainnya melalui penggantian slogan Keluarga Malaysia dengan slogan Malaysia Madani melalui majlis Amanat Perdana Menteri Membangun Malaysia Madani pada 19 Januari.
Seterusnya ialah pembentangan Belanjawan 2023 bertemakan Membangun Malaysia Madani pada 24 Februari, pemetaan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai, pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) pada 29 Ogos dan pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (NIMP 2030) pada 1 September.
SUBSIDI BERSASAR
Hala tuju lebih komprehensif pula boleh dilihat dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada 11 September dan paling mutakhir pembentangan Belanjawan 2024 bertajuk Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat pada 13 Oktober.
Sudah banyak yang dilakukan oleh Anwar dalam tempoh setahun ini. Dalam negara, semua negeri telah dijelajahi dan dibantu sewajarnya, khususnya Sabah dan Sarawak, melalui pengemasan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Di luar negara pula, sudah banyak negara yang beliau kunjungi untuk menarik pelaburan asing masuk dan menyuarakan pandangan Malaysia mengenai pelbagai isu penting serantau dan antarabangsa.
Selaras dengan keutamaan Malaysia Madani untuk mengelakkan pembaziran dan kemewahan serta membasmi ketirisan dan rasuah, sudah banyak reformasi tadbir urus dibuat, termasuk pembentangan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) untuk menjamin supaya kebijakan ekonomi itu lebih telus dan bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya keterlanjuran berterusan pada masa mendatang.
Dalam semua perkara yang dilakukan oleh Anwar, ingatan utama beliau ialah kepada golongan marhaen. Kerajaan berusaha untuk meningkatkan hasil negara tetapi dalam keadaan rakyat terbanyak masih susah beliau berpendapat saat ini bukanlah ruang dan masa yang sesuai untuk memperkenal semula cukai kepenggunaan berasas luas seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Begitu juga pendekatan ekonomi lain yang bersifat progresif di mana subsidi bersasar atau struktur percukaian dirangka bagi melindungi golongan kurang bernasib baik sambil mengharapkan pemahaman rakyat yang lebih kaya untuk menggalas tanggungjawab secara bersama.
Menyegerakan projek prasarana rakyat seperti pembaikan 400 klinik daif dan 380 sekolah daif, menangani isu-isu rakyat termasuk cadangan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik, atau menoktahkan miskin tegar di mana kira-kira 130,000 isi rumah termiskin dibantu untuk keluar daripada belenggu kemiskinan, semuanya adalah disebabkan keprihatinan Anwar ke atas kepentingan golongan marhaen.
Dalam tempoh setahun ini juga Anwar terpaksa menghadapi pelbagai cabaran yang kesemuanya beliau hadapi dengan sabar, termasuk cubaan mengubah tampuk kepimpinan di Kerajaan Pusat melalui pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos. Ia bagaimanapun tidak berlaku setelah PN gagal merampas Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dari tangan Pakatan Harapan (PH).
Kemaraan PN sebaliknya terhenti apabila calonnya kalah dalam pilihan raya kecil (PRK) Pulai dan PRK Simpang Jeram pada 9 September dan dalam PRK Pelangai pada 7 Oktober. Kedudukan lemah PN ini malah mendorong empat ahli Parlimen PN beralih menyatakan sokongan kepada Anwar.
Semua perkembangan mutakhir ini pasti akan membolehkan Anwar meneruskan langkah dengan lebih bertenaga bagi merealisasikan agenda reformasi untuk tahun-tahun yang seterusnya. – UTUSAN
PENULIS ialah Naib Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kedah, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau dan bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah.










