“La Ilaha Illallah, La Ilaha Illallah, La Ilaha Illallah” (Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah) – Itulah sebutan yang meniti di bibir Nurul Ain Haron, 37, setiap kali mendengar bunyi letupan bom yang dijatuhkan tentera rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
“Saya menyerahkan diri ini kepada Sang Pencipta kerana tidak pasti di mana lokasi sebenar pengeboman oleh tentera rejim zionis Israel. Saya percaya sekali pun terkandas (meninggal dunia), Insya-Allah syahid,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Nurul Ain memberitahu, dia dan suaminya, Mohamed A.M Shaat yang juga merupakan warga Palestin tidak pasti lokasi pengeboman, ia boleh jadi rumah jiran, mungkin juga jaraknya 100 atau 200 meter dari tempat mereka berteduh (sama ada rumah mentua atau kakak ipar), namun bunyinya amat dekat sekali.
Dia juga menceritakan keadaan rumah keluarganya yang bergegar setiap kali tentera Zionis menjatuhkan bom dan melakukan tembakan.
“Kami semua sentiasa berada dalam ketakutan. Bunyi letupan teramat kuat. Tiada satu saat pun (sepanjang konflik ini) tidur kami lena sebaliknya sentiasa berjaga-jaga dan saling mengawasi antara satu sama lain.
Dan kami sedaya upaya membantu selagi boleh agar rakyat Palestin yang terkesan dapat makanan, minuman, ubatan dan beberapa perkara asas lain untuk terus hidup mempertahankan hak mutlak mereka.
“Walaupun berada dalam ketakutan tapi sampai satu masa, kita sendiri penat, mengucap dua kalimah syahadah, Lailahaillallah, Muhammad Rasulullah dan tertidur dengan sendiri,” ujarnya yang tidak berhenti memikirkan nasib rakyat Palestin yang masih berada dalam peperangan.
Nurul Ain yang terperangkap selama 37 hari dalam konflik Palestin-Israel sejak 7 Oktober lalu selamat tiba di tanah air pada pukul 8.55 malam, Selasa lalu selepas melepasi sempadan Rafah dengan bantuan Duta Besar Malaysia ke Kaherah bersama pegawai-pegawai kedutaan yang lain.
HENTI SALUR MINYAK
Walaupun kini sudah selamat dan dapat bertemu dengan keluarga di Malaysia, Nurul Ain tidak berhenti berdoa dan mengharapkan keajaiban buat bumi Palestin. Baginya, kemenangan Palestin adalah kemenangan buat Islam.
“Perasaan saya kini bercampur baur. Mana tidaknya, gembira berjumpa keluarga di sini tetapi dalam masa sama kami terpaksa meninggalkan keluarga belah suami di Khan Younis, yang masih berteka-teki tentang nasib mereka dengan keadaan serangan berterusan saban hari.
“Semasa keluar dari sana, berlaku juga serangan. Kami agak terkilan kerana tidak dapat membantu malah menyedari tiada satu kawasan pun yang selamat di sana.
Yang boleh kami lakukan adalah menyerahkan keselamatan keluarga di bawah jagaan Allah SWT,” katanya dengan nada pilu.
Tambahnya lagi, keluarga suaminya meninggalkan pesanan buat rakyat Malaysia. Mereka terutama ayah mentua meminta disampaikan salam buat rakyat Malaysia yang menyokong kuat Palestin dan menolak kekejaman Israel. Mereka menghargai setiap sokongan dan bantuan yang disalurkan. Hanya Allah SWT yang dapat membalas jasa baik rakyat Malaysia.
Kini, Nurul Ain dan suaminya akan meneruskan hidup seperti biasa di samping terus membantu rakyat Palestin tanpa melibatkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya mudah untuk bergerak dengan bantuan abang ipar di sana.
“Buat masa ini saya nak bersama keluarga, memastikan kesihatan pulih. Tapi dalam masa sama masih runsing memikirkan keadaan di sana dengan stok makanan, ubatan dan selimut yang tiada.
“Tetapi nasib baik saya mendapat kepercayaan daripada pemborong makanan di sana. Dia sangat membantu dan percaya dengan saya walaupun terpaksa berhutang dengannya ekoran tidak dapat membayar (akaun disekat).
“Saya akan pulang semula ke sana selepas keadaan kembali pulih untuk melunaskan hutang, membantu rakyat Palestin pascakonflik dan bertemu keluarga tercinta,” katanya penuh harapan.
Tercetusnya konflik Palestin-Israel wajar menjadi pengajaran buat seluruh umat Islam. Jika dilihat umat Islam bersatu memboikot produk yang dikaitkan dengan Yahudi atau Amerika Syarikat (AS) atas jihad fisabilillah. Malah, kita sudah melihat bagaimana beberapa kerajaan dan masyarakat di negara-negara Eropah bangkit menentang kekejaman Israel.
Ironinya, hubungan normalisasi Arab-Israel yang terjalin sebelum ini tidak membawa sebarang kebaikan buat Palestin sebaliknya kekejaman Zionis pula semakin menjadi-jadi.
Negara-negara Islam khususnya dalam kalangan Liga Arab perlu menyedari ‘permainan’ negara-negara Barat ke atas Asia Barat. Jangan terpedaya dengan mengikut telunjuk mereka.
Mereka sudah bertindak kejam apabila membenarkan berlaku genosid tanpa mengira kanak-kanak, wanita atau warga emas.
Inilah peluang terbaik untuk menghukum kekejaman mereka dengan menghentikan penyaluran minyak oleh Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan lain-lain kepada Israel sebagai tanda protes. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










