SETIAP kali membuat liputan di Wisma Putra atau Kompleks Islam Putrajaya melibatkan kedutaan dari negara-negara Arab, saya suka bersembang dengan staf diplomat mereka.
Peluang baik itu turut saya guna untuk berbual dengan wartawan yang agensi medianya berpangkalan di rantau sana sambil dapat memperbaiki tahap kemahiran berbahasa Arab.
Mereka memang teruja apatah lagi tahu saya pula lepasan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) malah berkongsi banyak perkara rahsia yang dikategorikan ‘off-record’.
Ini termasuklah isu sensitif yang lazim tidak dilaporkan media secara terbuka atas faktor keselamatan, namun sering disalah anggap rakyat kita kononnya konspirasi akhir zaman.
Justeru, saya tertarik dengan hantaran menerusi media sosial yang tular mengenai seorang pakar siber Malaysia dihukum penjara dek biadab hina Arab Saudi.
Disusuli kes sekumpulan jemaah Malaysia ditahan pihak berkuasa ketika menunaikan umrah kerana bergambar dengan menunjukkan jari telunjuk ke langit.
Dua laporan itu berjaya menarik ramai warganet mengecam kerajaan Arab Saudi atas pelbagai tuduhan liar, walhal realitinya boleh dianggap sebagai tohmahan amat jahat.
Bagi yang kurang arif senario Asia Barat dan tidak pernah baca berita sana dalam bahasa Arab, saya secara peribadi sedih ramai dapat ‘dosa kering’ percuma kerana sebar fitnah.
Isunya cukup mudah dan percayalah mana-mana kerajaan di dunia pun pasti buat perkara sama kerana ia bukan benda baharu terhadap si degil yang jenis ikut keras kepala sendiri.
Bak kata bidalan lama Melayu, kalau masuk kandang kambing, kenalah mengembek, dua kes tersebut tidak berlaku jika faham adat budaya dan undang-undang negara orang.
Dalam bahasa mudah, mereka yang bekerja, belajar atau bercuti di negara tertentu tidak wajar menyentuh isu sensitif kerana kesannya itu boleh menjejaskan hubungan diplomatik.
Walaupun sekadar komen atau tindakan atas kapasiti peribadi, namun bagi tuan rumah, ia dianggap celopar, apatah lagi lantang kritik kepimpinan Raja Arab Saudi di media sosial.
Tidak payah pergi jauh, Singapura sendiri jika ada rakyat asing di negara itu kutuk republik tersebut, esok siaplah tunggu ditangkap oleh pihak polis sebelum dihukum.
Jika bernasib baik, individu itu hanya diusir keluar tetapi kalau kes berat, namanya dalam senarai hitam atau persona non grata dan sekiranya terlalu teruk, dia boleh dipenjarakan.
Bayangkanlah bukan sedikit warga Malaysia dikenakan hukuman larangan masuk ke Arab Saudi dan paling sedih, tidak boleh lagi datang walaupun urusan umrah, haji atau ziarah.
Tindakan ke atas orang kurang ajar sebegitu dianggap ringan tetapi cuba fikirkan jika Malaysia dihukum hingga menyebabkan risiko gagal dapat tambahan kuota haji serta mengakibatkan jutaan bakal jemaah terpaksa menunggu lebih 150 tahun yang disifatkan amat tidak masuk akal.
PUTAR BELIT
Langkah ini bukan pelik kerana Arab Saudi pernah bertindak mengharamkan kemasukan sebuah negara dek rekod jemaahnya itu angkuh berpolitik ketika beribadah di Tanah Suci.
Ironi, ketegasan ini diputar belit dan terbaharu, ramai netizen buat siri kisah fitnah konon Arab Saudi serta beberapa negara jirannya tidak bantu Palestin yang ditindas rejim Israel.
Padahal faktanya, mereka inilah paling banyak tolong tetapi semua dilakukan secara senyap termasuk ribuan jemaah Palestin ditaja bagi menunaikan umrah dan haji saban tahun.
Hakikatnya, apa terjadi kini mengulangi cerita revolusi Arab Spring didalangi perisikan Israel hampir dua dekad lepas bagi menghancurkan kestabilan politik rantau Timur Tengah.
Rakyat mereka dihasut agar benci kerajaan sendiri sehingga ke tahap sanggup guling ketua negara dengan apa cara sekalipun dan ini pernah berlaku di Arab Saudi pada 1970-an.
Apatah lagi sekarang dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), ejen pengintip Mossad Israel boleh manipulasi sesuatu isu agar imej Arab Saudi dilihat teruk di mata dunia Islam.
Ia bukan mustahil dan dapat disaksikan dalam pelaporan konflik di Gaza ketika ini apabila media pro-Zionis bebas sunting bahan berita agar ‘selera’ memenuhi kepentingan Israel.
Di Malaysia pula, tokoh agama yang cenderung menyebelahi Arab Saudi akan diberi label Wahabi demi mencipta persepsi negatif masyarakat Islam dan inilah hasil kejayaan Zionis.
Antara mangsanya, bekas Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri hanya sebab graduan Universiti Islam Madinah itu dapat layanan VIP ketika berada di sana.
Kesimpulannya, tolonglah jaga nama baik Malaysia meskipun mungkin ada tidak bersetuju dengan isu panas tertentu di negara tuan rumah kerana di situ bukanlah ‘kandang’ kita!-UTUSAN










