Malang kita tidak kaji ‘rahsia’ Tasik Bera

Malang kita tidak kaji ‘rahsia’ Tasik Bera

TASIK Bera sebagai sebuah Tapak Ramsar pertama di negara ini sepatutnya telah mempunyai banyak maklumat yang boleh dikongsikan khususnya tentang flora, fauna, ekologi dan penglibatan penduduk tempatan. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 21 November tahun lepas, satu seminar diadakan bagi mengumpul maklumat tentang flora, fauna dan ekologi Tasik Bera. Malangnya tidak ramai yang dapat membentang kertas kerja berkaitan dan didapati sangat kurang kajian tentang Tasik Bera dilakukan.

Tasik Bera sebagai sebuah tapak Ramsar pertama di negara ini sepatutnya telah mempunyai banyak maklumat boleh dikongsikan dan sewajarnya juga terdapat penyelidik-penyelidik yang mengkhususkan kajian sepanjang masa termasuk flora, fauna, ekologi dan penglibatan penduduk tempatan.

Di Malaysia terdapat tujuh tapak Ramsar di mana Tasik Bera diwartakan pada 10 Mac 1995. Yang lainnya di Semenanjung ialah Kukup, Tanjung Piai dan Sungai Pulai pula diisytiharkan pada 31 Januari 2003. Tapak Ramsar (kelima) di Sarawak diisytiharkan pada 8 November 2005 manakala keenam dan ketujuh masing-masing diisytiharkan pada 2008 dan 2013 di Lower Kinabatangan-Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands, Sabah.

Semua tanah lembap di Malaysia meliputi kawasan tanah gambut, paya bakau, sungai, tasik dan pesisiran pantai yang menjadi habitat penting kepada kepelbagaian spesies flora dan fauna terutama burung air yang bermigrasi dan mempunyai kepentingan antarabangsa.

Tapak Ramsar dilindungi di bawah undang-undang perhutanan, taman negeri dan tanah sama ada sebagai hutan simpanan kekal, taman negeri atau kawasan perlindungan tanah lembap.

Pada 2 Februari 1971, satu perjanjian antarabangsa mengenai tanah lembap berkepentingan antarabangsa di bawah Konvensyen Ramsar ditubuhkan di Ramsar, Iran. Perjanjian ini menyediakan tindakan kebangsaan dan kerjasama antarabangsa mengenai pemuliharaan tanah lembab dan penggunaan sumber secara lestari dan bijak.

Setakat 2022, terdapat 2,471 tapak Ramsar di seluruh dunia dengan keluasan melebihi 256,192,356 hektar melibatkan 171 kerajaan atau pemerintah menyertainya termasuk Malaysia. Kawasan itu termasuk paya bakau, rumpai laut, terumbu karang dan pelbagai ekosistem lain.

Hasil daripada persetujuan itu, rangka kerja pelaksanaan bagi memulihara tanah lembap dan potensi semula jadi dimulakan pada 21 Disember 1975.

Tanah lembap merupakan kawasan penting sebagai ekosistem yang tinggi kepelbagaian biologinya dan penting dalam hal berkaitan perubahan iklim dan banjir serta berfungsi dalam menyimpan karbon bagi mengurangkan gas rumah hijau di atmosfera di samping kebolehan menadah, menakung dan mengawal air.

Tasik Bera adalah tasik semula jadi terbesar di Malaysia yang diwartakan sebagai tapak Ramsar bertujuan mengekalkan ciri-ciri ekologi tanah lembap dan kemampanan sumber-sumber istimewa terdapat padanya. Tasik Bera juga merupakan kawasan penempatan Orang Asli kaum Semelai sejak lebih 600 tahun lalu yang mendiami 14 kampung di sekitarnya. Kira-kira 15 peratus daripada 3,000 penduduknya bergantung kepada tapak Ramsar untuk kelangsungan hidup seperti hasil hutan berdekatan dan sumber ikan.

AROWANA

Tasik Bera juga menjadi tumpuan pelancong yang berminat dengan alam semula jadi seperti merintis hutan, memancing, memerhati burung, menyusuri tasik dan lain-lain aktiviti berkaitan Orang Asli.

Tapak Ramsar Tasik Bera merupakan habitat kepada lebih 100 spesies ikan. Ada ikan yang mempunyai nilai komersial dan ada yang bermasalah kepada ekosistem tapak Ramsar itu. Arowana antara ikan yang mempunyai nilai tinggi di Tasik Bera.

Tapak Ramsar nombor 712 itu juga menjadi habitat penting kepada 328 spesies alga, 19 spesies tumbuhan akuatik, 64 spesies zooplankton, 119 spesies burung dan ada spesies reptilia dan amfibia yang terancam.

Kurang kajian tentang Tasik Bera menyebabkan kurang maklumat mengenai ekosistem tasik dan persekitarannya. Kurang maklumat biologi dan ekologi Tasik Bera tidak dapat membantu menyediakan maklumat untuk pendidikan, ekopelancongan dan pengurusan terbaik ekosistemnya dan menjadikannya sebagai tapak Ramsar contoh di dunia.

Tapak Ramsar Tasik Bera berkeluasan 31,255 hektar sepatutnya dipelihara alam sekitarnya dan mempunyai zon penampan yang cukup mengelilingi tasik. Zon penampan bukan sahaja penting untuk ekologi tetapi juga penting kepada Orang semelai yang tinggal di situ.

Pada 30 November nanti, satu lagi seminar untuk membincangkan penglibatan Orang Semelai dalam kelestarian Tasik Bera sebagai tapak Ramsar pertama di Malaysia. Nasib sama seperti seminar tahun lepas juga di mana kurang kajian berkaitan sumbangan Orang Semelai secara saintifik dalam perlindungan dan pemuliharaan Tasik Bera.

Semua pihak mesti memahami tentang Tasik Bera dan tapak Ramsar serta bertindak selari demi kelestarian Tasik Bera. Semua agensi seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, pihak berkuasa tempatan, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan lain-lain mesti bekerjasama melindungi dan memulihara kelestarian Tasik Bera.

Isu-isu berkaitan pencerobohan habitat, pemburuan haram, kehilangan kepelbagaian biologi, memperkenalkan spesies asing dan lain-lain kesan negatif terhadap tapak Ramsar mesti diberikan perhatian bersama. Kajian perlu dilakukan, pendidikan berterusan bagi penduduk tempatan mesti diberikan, perancangan dan pelaksanaan untuk pembangunan ekonomi Orang Semelai khususnya mesti mengambil kira kesan kepada tapak Ramsar.

Penglibatan penduduk tempatan dan Orang Semelai sangat penting. Tema hidup harmoni dengan alam semula jadi mungkin tidak tercapai sekiranya tidak dirancang dengan betul. Isu kurang kesedaran awam tentang pentingnya kepelbagaian biologi amat serius. Kurang kesedaran awam menyumbang kepada kurang keutamaan oleh kuasa politik dalam isu kepelbagaian biologi dan terus menyumbang kepada konflik dalam pengurusan habitat dan kelestariannya. – UTUSAN

Profesor Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN