KENYATAAN bahawa dasar asimilasi untuk proses penyatuan rakyat pelbagai etnisiti semasa kita mahu menubuhkan negara ini, ditolak oleh kelompok bukan Melayu, dipertikai beberapa pihak, khususnya etnik Cina.
Ini kerana ia memberi gambaran bahawa etnik bukan Melayu tidak nasionalistik, apatah lagi patriotik.
Sehubungan ini, sesetengah daripada mereka mendakwa bahawa dasar itu tidak pernah pun diajukan secara rasmi untuk pertimbangan mereka. Ini tidak dinafikan adalah benar dari satu segi.
Asimilasi dibantah kuat etnik Cina semenjak mereka menjejakkan kaki di negara ini, sebuah politi (tatanegara) Melayu.
Ini antaranya kerana mereka sesekali tidak mahu bergabung dengan etnik asal Melayu dengan diserapkan, walaupun sedikit sahaja ke dalam budaya Melayu yang mereka anggap bukan sahaja tidak sehebat budaya Cina, juga jauh ketinggalan dalam hal ketamadunan.
Ini satu rahsia terbuka walaupun dinafikan etnik Cina, kekadang dengan keras melalui bahasa ucapan dalam naratif positif, sedang bahasa tanpa ucapan, yakni tingkah laku mereka memang memperlihat sikap negatif dengan jelas sekali.
Sehubungan dasar asimilasi ini, etnik Cina mendapatinya tidak ubah proses penaklukan, iaitu dominasi etnik Melayu ke atas etnik Cina.
Pemikiran jumud ini dapat dikesan seawal 1950-an lagi apabila etnik Cina mulai menolak pelbagai saranan pendidikan, khususnya yang mahu menggunakan satu bahasa pengantar sahaja, iaitu bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara untuk seluruh sistem pendidikan negara.
Dalam hal ini, bantahan mereka bukan sahaja terus konsisten, juga bertambah agresif saban tahun sehingga pada masa ini, ditanggapi sebagai sikap cauvinis Cina yang melampau, selain tidak menghormati etnik Melayu selaku tuan rumah.
Hal ini jelas kelihatan pada penolakan etnik Cina pada gagasan Sekolah Wawasan yang diperkenal pada pertengahan 1980-an.
Ia tidak lain tidak bukan gagasan perpaduan yang meletakkan tiga jenis persekolahan berlainan, iaitu Melayu, Cina dan Tamil dalam satu kawasan yang sama.
Tujuannya ialah agar berlakunya interaksi murid pelbagai etnisiti pada intensiti tinggi dan frekuensi kerap.
Namun dengan visi dan misi sosialisasi yang begitu jelas lagi murni, ia ditolak etnik Cina kerana dikhuatiri itu adalah usaha licik ke arah asimilasi oleh etnik Melayu.
Bantahan terhadap asimilasi ini juga dapat dilihat pada waktu ini apabila etnik Cina menolak proses asimilasi yang dilalui komuniti Peranakan Cina, antaranya Cina Baba Melaka dan Cina luar bandar di Kelantan dan Terengganu.
Ia diselar sebagai analisis salah walaupun dikaji oleh ahli akademik dalam dan luar negara sebagai proses asimilasi atau yang seumpamanya.
Bagi etnik Cina, ia semata-mata toleransi oleh kelompok Cina itu setelah terdedah kepada pelbagai amalan budaya Melayu.
NARATIF
Begitulah tidak sukanya etnik Cina kepada istilah asimilasi. Oleh itu, ia tidak pun dikemukakan sewaktu negara ini tertubuh, khususnya ketika kita mahu membentuk negara bangsa.
Ini kerana ia pasti dibantah keras melihat kepada tuntutan etnik bukan Melayu sebelumnya, khususnya Cina untuk kesamarataan, baik dalam ranah sosiopolitik, sosioekonomi mahupun sosiobudaya.
Untuk ini, bahasa Cina Mandarin mahu ikut dijadikan bahasa rasmi negara bersama-sama dengan bahasa Melayu.
Dengan bantahan sebegini, integrasi sebagai hanya pilihan lain untuk penyatuan rakyat mana-mana negara, adalah satu-satunya jalan yang ada untuk kita.
Ia juga tidak diumumkan secara formal kerana itulah memang perkara yang dikehendaki kelompok bukan asal, berdasarkan pelbagai tuntutan mereka, khususnya daripada etnik Cina.
Dengan ini, melalui integrasi, bergabunglah etnik Cina dan lain-lain dengan etnik Melayu atas tuntutan prinsip penyertaan yang sama rata.
Dalam hal ini, bukan sahaja dialu-alukan, integrasi juga diyakini dengan jangkaan jaminan bahawa setiap anggota dalam gabungan itu mempunyai hak yang sama rata antara satu sama lain.
Inilah narasi, iaitu penceritaan dan naratif, yakni cerita daripada narator, iaitu pencerita Cina untuk proses pembentukan negara bangsa kita di Malaysia. Dengan ini, kesamarataan dituntut untuk semua etnisiti.
Ia dilakukan bukan sahaja kerana adil selain munasabah sebab kesamarataan adalah nilai sejagat murni untuk keadilan yang sebaik-baiknya.
Bagi mereka, prinsip kesamarataan pada proses integrasi itu harus dipertahan habis-habisan agar tidak sesekali terkorban untuk digantikan oleh asimilasi.
Justeru, kita melihat betapa bukan sahaja naifnya, iaitu tidak matang dan keanak-anakan, juga bebalnya, yakni sukar memahami dan tidak cerdas langsung apabila pada kebanyakan masanya, mereka mempertahan integrasi secara membabi buta dan membuta tuli.
Walaupun integrasi di negara ini menuntut penyertaan sama rata dalam kalangan anggota yang terlibat, bahasa dan budaya Cina tidak boleh sesekali diangkat untuk dilestarikan pada kadar dan tahap sama rata, khususnya dengan bahasa dan budaya Melayu.
Ini kerana ia tidak pun, malah tidak lagi berada di tanah watannya, tetapi sudah di luar jajahan China.
Dengan ini, ia harus selama-lamanya berkedudukan subordinat sahaja di negara ini, yakni tidak sepenting bahasa dan budaya Melayu.
Tidak dinafikan bahawa bahasa Cina Mandarin antara bahasa terbesar di dunia, dan budaya Cina antara budaya tertua di muka bumi ini.
Namun di Malaysia, mengikut dasar bahasa dan budaya negara ini, sebarang entiti Cina tidak lebih daripada bertaraf vernakular sahaja.
Dengan ini, ia hanya merupakan entiti leluhur etnik Cina di sini dan bukan pun perkara penting lagi istimewa bagi negara ini, khususnya untuk identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat yang walaupun terdiri daripada pelbagai etnisiti.
Ini kerana Malaysia negara Melayu dengan etnik Melayu sebagai kelompok majoriti lagi dominan. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










