FASA negara memasuki Monsun Timur Laut (MTL) menyaksikan beberapa negeri mula dilanda banjir dan ini disusuli amaran hujan lebat berterusan serta ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa dalam tempoh November hingga Mac tahun depan, empat hingga enam episod hujan lebat bakal berlaku. Situasi ini mula mencetuskan kegusaran dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Justeru, bagi mengelak sebarang musibah yang serius, diharap semua pihak dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi segala kemungkinan luar jangka sekali gus mengurangkan ancaman dan risiko keselamatan baik nyawa mahupun harta benda.
Walaupun banjir bukan masalah baharu di negara kita terutama di negeri-negeri di timur Semenanjung Malaysia, namun saban tahun masih kedengaran isu seperti tidak membuat persediaan awal untuk menghadapi musim tengkujuh, kecuaian menyebabkan kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda yang lebih serius di samping keengganan mangsa segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Sewajarnya kita lebih bersedia pada musim tengkujuh kali ini kerana kerajaan sendiri telah memulakan persiapan rapi lebih awal dengan kesiapsiagaan pelbagai agensi terlibat di samping langkah proaktif MetMalaysia secara berterusan mengeluarkan maklumat tentang perubahan iklim dan cuaca sebagai peringatan kepada semua.
Semua pihak perlu membuat persiapan rapi supaya dapat bersiap siaga menghadapi apa jua kemungkinan yang boleh berlaku disebabkan perubahan musim dan cuaca seperti ini. Persiapan perlu bermula dengan memberi perhatian serius di lokasi yang sering dilanda banjir serta dikenal pasti sebagai hotspot (titik panas).
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) misalnya dilaporkan telah mengenal pasti 5,648 lokasi berisiko dilanda banjir sepanjang MTL ini. Antaranya, Sarawak merekodkan kawasan tertinggi dengan 1,066 lokasi diikuti Sabah (798), Pahang (750), Johor (745), Kelantan (617), Perak (286), Selangor (271), Kedah (260) dan Terengganu (258).
Justeru, penduduk di kawasan ini perlu sentiasa peka dan siap siaga supaya dapat mematuhi arahan pihak berkuasa selain ambil peduli dengan amaran ramalan cuaca daripada MetMalaysia.Pihak berkuasa dilihat sangat serius membuat persiapan awal termasuk melaksanakan siri latihan dan simulasi persediaan bencana selain meletakkan jumlah anggota yang ramai dalam mod siap siaga.
Di samping itu, kerajaan mengambil pelbagai inisiatif awal seperti membina dewan yang akan digunakan sebagai PPS kekal di sekolah-sekolah bagi penempatan mangsa banjir.
KOMITMEN
Berdasarkan persiapan ini, kita yakin agensi kerajaan sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan. Justeru, apa yang penting sekarang ialah kerjasama, komitmen serta persiapan daripada masyarakat sendiri terutama penduduk di kawasan yang sememangnya dikenali sebagai lokasi banjir pada setiap musim tengkujuh.
Antara kerjasama yang kita harap sangat daripada masyarakat ialah segera berpindah ke PPS sebaik sahaja pihak berkuasa mengeluarkan arahan. Masyarakat perlu sedar arahan itu dikeluarkan dengan mengambil kira faktor risiko dan keselamatan penduduk bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku, selain terdapat peruntukan undang-undang yang mewajibkan penduduk berpindah ke PPS jika diarahkan.
Misalnya, berdasarkan Seksyen 4C (1) Akta Pertahanan Awam Malaysia 1952, APM selaku sekretariat bagi jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah mempunyai kuasa mewajibkan penduduk berpindah.
Selain itu, penduduk juga perlu membuat persediaan lebih awal seperti menyimpan dokumen penting di tempat selamat, menyelamatkan harta benda yang mudah dialihkan ke tempat lebih tinggi serta menyimpan bekalan makan mencukupi. Ini sepatutnya menjadi amalan rutin penduduk di kawasan yang ‘pasti’ akan kena banjir seperti di negeri-negeri Pantai Timur. Jangan sesekali leka dalam persiapan awal ini.
Aspek keselamatan diri dan keluarga sepatutnya menjadi agenda utama semua penduduk yang menerima musibah bah. Selama ini sudah banyak kes kehilangan nyawa dilaporkan ketika musim banjir, jadi jangan biarkan perkara ini berulang lagi.
Sebagai persediaan awal, elok kita ambil inisiatif untuk belajar teknik pertolongan cemas (CPR) dan pastikan ahli keluarga juga mahir tentang cara-cara bertindak semasa kecemasan di rumah.
Masyarakat juga dinasihatkan menyediakan beg kecemasan kalis air mengandungi minuman, makanan, wang tunai, ubat, pakaian, dokumen penting serta peralatan lain difikirkan sesuai yang boleh dicapai dan dibawa bersama ketika bah melanda secara mengejut.
Demi keselamatan nyawa, jangan sesekali membiarkan anak-anak bermain air di kawasan banjir, longkang, lombong, tali air dan sungai. Juga, jangan berenang atau berjalan melalui air yang bergerak deras kerana boleh membuatkan kita jatuh, hanyut dan lemas.
Air banjir juga boleh menyebabkan pelbagai penyakit, jadi pastikan ahli keluarga kita berhati-hati dan tidak bermain air termasuk jangan sesekali minum air banjir.
Sebagai peringatan bersama juga, jika seseorang jatuh atau terperangkap dalam air, jangan cuba menyelamatkan mangsa jika kita tiada pengalaman, pengetahuan serta peralatan diperlukan. Sewajarnya kita segera laporkan kejadian tersebut kepada pasukan penyelamat.
Antara langkah selepas banjir pula ialah jangan terlalu cepat kembali ke rumah, sebaliknya dengar dahulu arahan dan nasihat daripada pihak berkuasa supaya dipastikan rumah dan kawasan kita benar-benar selamat.
Jangan sesekali memasuki bangunan jika ia masih ditenggelami air atau dikelilingi air. Perlu sentiasa jaga kebersihan, kesihatan dan keselamatan kerana banyak ancaman dan bahaya tersembunyi akibat banjir.
Ingatlah, sebagaimana api ketika kecil menjadi kawan dan bila besar menjadi lawan, begitu juga dengan air dan banjir. Jadi, waspadalah menghadapi musim banjir ini dan pastikan kita sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga. Sama-sama kita berdoa agar seluruh rakyat dilindungi daripada bencana seperti ini. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis isu semasa merangkap pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM).










