97 peratus graduan Unimap dapat kerja - Zaliman - Utusan Malaysia

97 peratus graduan Unimap dapat kerja – Zaliman

ZALIMAN SAULI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
SEJAK kebelakangan ini, graduan dalam bidang teknikal dilihat lebih mudah mendapat pekerjaan dan terus relevan dalam pasaran kerja di negara ini dengan kebanyakan mendapat kerja selepas tamat pengajian di universiti atau kolej-kolej dalam latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Disebabkan itu, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menjadi antara pilihan para pelajar lepasan sekolah bagi melanjutkan pengajian dan untuk graduan pada konvokesyen kali ini sahaja sudah 70 peratus telah menembusi pasaran kerja termasuk ada yang menyambung pengajian.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB bersama jurugambar, IZLIZAN OTHMAN dengan Naib Canselor Unimap, PROF. DATUK DR. ZALIMAN SAULI sempena Istiadat Konvokesyen Unimap Ke-18 dengan beliau turut berkongsi mengenai perjalanan konvokesyen dan pandangan mengenai TVET.

UTUSAN: Boleh Datuk kongsi serba sedikit mengenai Istiadat Konvokesyen Unimap Ke-18 bermula 18 sehingga 21 November ini?
ZALIMAN: Pada konvokesyen kali ini, sejumlah 3,555 graduan akan menerima ijazah masing-masing terdiri daripada 67 graduan Doktor Falsafah; 80 graduan Sarjana Sains; 41 graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan 1,315 graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan.

Ini termasuk 537 graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan; 188 graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu; 551 graduan diploma; 22 graduan Master Profesional; 77 graduan Bacelor Profesional dan 60 graduan Diploma Profesional.

Difahamkan Festival Konvokesyen Unimap (FESTKON Unimap) 2023 akan diadakan semula buat pertama kali selepas pandemik Covid- 19?
FESTKON Unimap 2023 kali ini dianjurkan dengan menyasarkan golongan komuniti tempatan, kanak-kanak serta pelajar sekolah dan universiti. Unimap memberi peluang kepada sekretariat pelajar sendiri dengan dibantu pengurusan universiti bagi merancang, mengelola dan melaksanakan program-program sebelum dan semasa FESTKON diadakan.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar menyerlahkan bakat kepemimpinan mereka serta kebolehan mereka menguruskan pelbagai aktiviti yang berkaitan. FESTKON 2023 membawa tema retro 80-an bertujuan mengimbau kembali zaman dahulu supaya para pengunjung dapat merasai suasana zaman tersebut.

Sebanyak 40 gerai jualan terlibat dengan sasaran 25,000 pengunjung sekitar Perlis dan Kedah. FESTKON 2023 juga mendapat tajaan daripada Hazmie Ventures Trading, Exacmust M. Sdn. Bhd., Maxis, Encorp Berhad, Fexie Wear, Hausboom Sdn. Bhd., Renewage Group Sdn. Bhd., Sfaera Dunia Sdn. Bhd. (Maxis) dan HQ Smart Sdn. Bhd.

Apakah nasihat dan harapan Datuk kepada graduan pada konvokesyen kali ini?
Saya mengharapkan pengalaman di Unimap akan menjadi memori yang akan sentiasa dikenang sampai bila-bila oleh semua siswazah Unimap.

Walaupun siswazah Unimap mungkin tidak lagi bersama Unimap selepas ini, namun jalinan yang terikat bersama Unimap akan sentiasa kekal segar walau di mana mereka berada. Gunakanlah segala ilmu dan pengetahuan serta kemahiran yang ditimba untuk manfaat komuniti dan industri.

Bagaimana dengan kebolehpasaran graduan Unimap?
Berdasarkan kepada laporan kajian pengesanan graduan 2022 yang dijalankan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), bidang pengajian yang tertinggi mendapat pekerjaan adalah kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan iaitu sebanyak 95 peratus.

Peratusan kebolehpasaran graduan (GE) Unimap yang terkini pula adalah 97 peratus dengan mereka mendapat kerja selepas enam bulan bergraduan dan mengatasi kadar GE Nasional tahun 2022 yang ditetapkan. Kebanyakan program bercirikan TVET ini mencapai 100 peratus kebolehpasaran. Ini menunjukkan bahawa bidang TVET telah mula mendapat tempat dalam kalangan industri yang berkaitan.

Talentbank melalui soal selidiknya bersama majikan telah mengiktiraf Unimap sebagai Employers Preferred University dan pada masa sama telah diberi enam bintang dalam bidang automotif dan lima bintang dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Semasa siri lawatan saya ke industri juga, didapati lebih 40 peratus pekerja mahir Oppstar Technology (industri IC Design Semiconductor) adalah alumni Unimap.

ZALIMAN Sauli beramah mesra dengan pelajar Unimap di universiti berkenaan, baru-baru ini.

Apakah kepentingan industri dalam pembangunan dan penambahbaikan program berasaskan TVET?
Peranan industri adalah amat penting dalam pembangunan dan penambahbaikan program berasaskan TVET. Di Unimap, industri telah lama terlibat dalam pembangunan dan penambahbaikan kurikulum program berasaskan teknikal dan kejuruteraan.

Wakil industri yang berpengalaman dan mempunyai latar belakang pendidikan yang sesuai telah dilantik sebagai Panel Penasihat Industri bagi setiap program bagi memberi input terhadap kursus-kursus yang ada supaya kurikulum yang ditawarkan sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terkini.

Wakil industri ini juga dipanggil ke institusi untuk memberi syarahan dalam topik-topik tertentu. Selain itu, lawatan pelajar dan tenaga pengajar ke industri yang berkaitan juga dilakukan agar kerjasama yang sudah berlaku sentiasa dijaga dan diperkembangkan bagi kebaikan kedua-dua pihak.

Memandangkan program TVET dibangunkan dengan mempunyai hala tuju pekerjaan yang jelas dan memberi penekanan terhadap amalan industri, pendedahan pelajar kepada industri telah dimulakan lebih awal, seawal tahun pertama atau kedua pengajian.

Salah satu cara yang telah dilakukan oleh Unimap ialah mengadakan boot-camp dengan industri yang berkaitan dengan program kepada pelajar di waktu cuti semester. Program bersama Intel dan juga Oppstar adalah antara program boot-camp dengan industri yang telah dijalankan. Unimap dengan kerjasama industri juga telah menubuhkan beberapa makmal industri di dalam kampus.

Sehingga September 2022, Unimap telah mempunyai Makmal Cisco, Makmal Keysight, Makmal LabView (National Instruments), Makmal Festo, Makmal Siemens dan Makmal Huawei. Dalam masa terdekat, akan terdapat penambahan beberapa lagi makmal industri di Unimap.

Unimap juga turut menerima watikah pelantikan TVET Collaboration Hub (TCH) bagi pengiktirafan Advanced Multidisciplinary MEMS-Based Integrated Electronics NCER Centre Of Excellence (AMBIENCE) sebagai Hab Bidang Pembuatan (Semikonduktor) semasa minggu TVET negara pada 2022.

Apakah cabaran yang dihadapi dalam usaha memperkasakan TVET?
Cabaran yang paling utama adalah perkembangan pantas teknologi di industri seperti industri semikonduktor dan bagi merapatkan jurang teori dan praktikal bersama industri dan tahap kesediaan pelajar, pensyarah, fasiliti, peruntukan dan industri. Selain itu, stigma masyarakat sebelum ini mengenai program TVET yang disifatkan kurang popular dan tidak menjamin masa hadapan.

Apakah inisiatif Unimap dalam memperkasakan TVET menerusi program pengajian yang ditawarkan?
Unimap mengadakan pendekatan dengan sentiasa menyemak dan mengemaskinikan program-program pengajian supaya selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa industri. Unimap juga sentiasa memastikan program-program pengajian yang ditawarkan menerapkan elemen-elemen Revolusi Industri 4.0 seperti yang dinyatakan dalam standard program.

Selain itu, Unimap turut mengambil inisiatif untuk menawarkan program-program baharu di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah dalam bidang TVET yang melibatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Sains Data.

Unimap juga sedang membangunkan beberapa program pengajian di peringkat diploma dalam bidang Teknologi Kejuruteraan bagi menyahut seruan KPT untuk memperkasakan Pendidikan Tinggi TVET.

Menjelang 2025, Unimap menyasarkan sekurang-kurangnya 10 program baharu ditawarkan bagi mencapai sasaran perancangan strategik Unimap 2025 iaitu 70 peratus penawaran program TVET di Unimap di peringkat pengajian prasiswazah.

Sebagai universiti dalam Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), apakah yang telah dilaksanakan bagi menyokong sasaran melahirkan modal insan berkemahiran tinggi seiring IR 4.0?
University Revolution Teaching Factory (URTF) telah ditubuhkan di Unimap dan tiga MTUN yang lain. URTF ini ditubuhkan di bawah inisiatif Technical Working Skill Group (TWG-S).

Objektif penubuhan adalah bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran berasaskan pengalaman di universiti yang membolehkan para pelajar mengalami proses pembelajaran di dalam persekitaran industri yang sebenar dan menjadikan mereka lebih bersedia sebelum menempuh alam pekerjaan kelak. Secara keseluruhan URTF ini mengandungi 22 unit mesin pencetak tiga dimensi di mana sembilan unit adalah beroperasi secara automasi.

Kesemua mesin ini, dirangkaikan melalui satu sistem perisian yang dapat memaparkan data pengoperasian masa sebenar. Semua data ini direkodkan bagi tujuan penambahbaikan selain dapat mengenal pasti sebarang kerosakan pada mesin tertentu. Reka bentuk dan pembangunan URTF dijalankan dengan input dan sokongan pihak industri agar ia dapat memenuhi kehendak dan spesifikasi mereka selain seiring dengan keperluan IR 4.0 semasa.

Fokus kerajaan dalam pendidikan TVET juga dapat dilihat dengan menaiktaraf Sekolah Vokasional kepada Kolej Vokasional, sekali gus menawarkan program-program Diploma Teknologi kepada pelajar-pelajar yang berminat. Lepasan Diploma Teknologi Kolej Vokasional ini pula diberi laluan untuk menyambung pendidikan ke peringkat Sarjana Muda di kesemua MTUN termasuk Unimap.

Bidang TVET kini menjadi pilihan dalam pasaran kerja?
KPT memperkasakan TVET supaya menjadi agenda pendidikan utama. Program TVET kini menjadi pilihan utama pelajar berbanding lima tahun sebelum ini. Sekarang kerajaan menekankan TVET ini menjadi pilihan utama kepada pelajar lepasan sekolah dan graduan program TVET ini selalunya sudah tersedia di pasaran kerja.

Mereka mempunyai pengalaman kerana di universiti ini contohnya kita menerapkan teori dan banyak kepada praktikal. Malah, latihan industri juga dalam masa panjang dan selalunya selepas habis latihan industri, pelajar-pelajar ini sudah diserap untuk bekerja. Unimap juga mempunyai kerjasama strategik dengan pihak industri dengan fakulti-fakulti banyak rakan strategik masing-masing.

Peruntukan Belanjawan 2024 beri nafas kepada universiti teknikal

ZALIMAN Sauli ketika ditemui di pejabatnya di Kampus Alam Unimap, Pauh Putra, Arau, Perlis, baru-baru ini.

Belanjawan 2024 sebelum ini turut memberi fokus kepada MTUN, apa pendapat Datuk sebagai Pengerusi MTUN?
Saya menyifatkan Belanjawan 2024 bakal memberi impak yang sangat positif terhadap pembangunan universiti khususnya peruntukan RM50 juta bagi perolehan peralatan MTUN.

Sebagai universiti teknikal, peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri itu memberi nafas kepada universiti untuk terus menggandakan usaha membantu negara melahirkan modal insan berkualiti dan kompeten dalam bidang-bidang tertentu dapat dibentuk agar memenuhi kehendak industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ke arah dunia pendigitalan, peruntukan bagi capaian WiFi juga antara yang ditunggu-tunggu agar dapat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) selain peralatan usang yang perlu diganti untuk menambah baik infrastruktur digital dan bagi menjamin universiti mempunyai ketersambungan yang baik.

Dengan peruntukan ini, para pelajar dijangka dapat menikmati kadar liputan dan capaian internet yang lebih baik di universiti, sekali gus memastikan semua pelajar mendapat akses kepada pembelajaran digital serta menggalakkan pensyarah menguasai sepenuhnya penggunaan peralatan dan teknologi digital.

Langkah ini juga dapat mempersiapkan negara kita untuk menguasai pendigitalan yang berkembang pantas dan seterusnya meningkatkan keupayaan dalam memacu pendigitalan dan bertepatan untuk negara merintis pembangunan ekonomi digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN