MUKTAMAR Pas ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Selangor yang berlangsung selama tiga hari sudah berlalu. Tidak banyak perkara bermakna terhasil daripadanya.
Paling diingat, sikap bongkak dan takbur holier than thou Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menggelar kerajaan perpaduan, tong najis.
Sebelum ini, bila konsep Malaysia Madani diperkenalkan, beliau menepisnya dengan menyatakan kerajaan perpaduan disertai kalangan yang dipertikai integritinya.
Disebutkan perihal ia dianggotai oleh bekas banduan dan kluster mahkamah didakwa paling jauh daripada ciri-ciri madani yang mampu mencipta kemajuan positif.
Kini bila ruang dibuka untuk Pas menyertai kerajaan perpaduan, itulah juga jawapan beliau. Kerajaan perpaduan dikatakan penuh dengan kekotoran dan tidak boleh disucikan.
Padahal sewaktu Pas berkawan dengan PKR, tidak pernah isu bekas banduan ditimbulkan, malah Abdul Hadi membela kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan dianiaya.
Sewaktu Pas berkawan dengan UMNO, tidak pernah isu kluster mahkamah ditimbulkan, malah beliau menyebut pegangan Pas kepada prinsip tidak bersalah sebelum terbukti bersalah.
Tepat sekali kata-kata Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, cakap Abdul Hadi sentiasa berubah. Hari ini cakap lain, esok cakap lain. Hukum pun boleh berubah demi kepentingan politik.
Semua ini adalah bukti Pas bukan parti agama. Sebaliknya Pas adalah parti pragmatik yang sentiasa boleh bersalin kulit selaras dengan kecenderungan politik semasanya.
Sewaktu berkawan dengan DAP, DAP disifatkan sebagai golongan bukan Islam yang tidak ekstrem. Sebaik sahaja berpisah, segalanya mengenai DAP adalah jahat dan ekstrem belaka.
Selama 22 tahun Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, beliau adalah musuh utama Pas. Segala kata kesat dikeluarkan ke atas Dr. Mahathir atas kezaliman beliau.
Tetapi kini bila Pas memerlukan Dr. Mahathir, segala kejian dahulu bertukar menjadi pujian. Segala kesalahan agama dan penganiayaan Dr. Mahathir lakukan terus dimaafkan.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), rakyat menolak UMNO atas pelbagai kesilapan dilakukan pemimpinnya. Paling besar, kesilapan menggugurkan sekumpulan tokoh besarnya sebagai calon.
Ramai calon Pas menang bukan kerana rakyat menyokong mereka. Sebaliknya mereka menang kerana ramai ahli dan penyokong UMNO mengundi Pas sebagai protes kepada UMNO.
BONGKAK
Tetapi Pas bongkak dan takbur dengan 43 kerusi Parlimen dimenanginya dalam PRU15. Itu dianggap sokongan rakyat kepada dasar-dasar Pas.
Hakikat sebenarnya, rakyat tidak tertarik pun kepada dasar-dasar Pas sebab dalam sejarahnya, parti itu tidak pernah mengeluarkan satu set dasar pemerintahan yang konkrit.
Apa yang ada hanyalah janji-janji indah tanpa perincian bagaimana ia akan dilaksanakan. Segalanya dilindungi dalam frasa ringkas, “Islam akan menyelesaikan semuanya.”
Benar sekali kata-kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Abdul Hadi meletakkan dirinya ‘serba bersih’ dan memperlekeh lawan dengan sehina-hinanya.
Abdul Hadi memang belum pernah menunjukkan kepada rakyat, idea, jawapan dan kaedah terhadap permasalahan negara kerana ini semua jauh daripada jangkauan dan keupayaan Pas.
Hakikat ini jelas terbukti dalam kandungan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar Pas ke-69 yang kosong tanpa isi semata-mata.
Kaedah untuk mengisi kemenangan hanya dilandaskan kepada surah al-Hajj: 41, iaitu bersifat rabbani, menegakkan ekonomi yang adil serta melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.
Tidak ada huraian ke atas pelaksanaan kaedah mahu menegakkan ekonomi yang adil, contohnya. Melaksanakan amar makruf pula sekadar dijelaskan sebagai dalam seluruh cara hidup.
Abdul Hadi menegaskan, perjuangan Pas di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri wajib mengisi kemenangan dengan melaksanakan tiga konsep, iaitu adil, prihatin dan berkebajikan.
Dari sudut adil, keadilan dinyatakan hendaklah merangkumi aspek akidah, syariat dan akhlak termasuk politik, pentadbiran, kehakiman, ekonomi, keluarga, masyarakat dan lain-lain.
Dinyatakan kesempitan hidup, tekanan hidup, kemiskinan, inflasi, pengangguran, hutang, masyarakat berpenyakit dan banyak masalah yang menyusahkan.
Bagaimanapun, tidak ada walau satu perenggan pun dalam ucapan dasar ini menjelaskan apa idea, jawapan dan kaedah yang akan Pas gunakan untuk menyelesaikan semua masalah ini.
Prihatin diertikan mengambil berat dan perhatian terhadap sesuatu perkara, khususnya dalam aspek memenuhi tujuan manusia diciptakan untuk beribadat, berkhilafah dan menunaikan amanah.
Sekali lagi Abdul Hadi membangkitkan mengenai banyak perkara yang dikatakan negatif dalam perjalanan pengurusan ekonomi negara seperti masalah kemiskinan, pengangguran dan inflasi.
Bagaimanapun, sekali lagi tidak ada walau satu pun penjelasan dalam ucapan dasar ini mengenai apa idea, jawapan dan kaedah yang akan Pas gunakan untuk menyelesaikan semua masalah ini.
Dari sudut berkebajikan, kata Abdul Hadi, mengikut takrif Islam merangkumi segala aspek kehidupan manusia meliputi hubungannya dengan Allah SWT dan makhluk.
Berkebajikan dikatakan merangkumi semua aspek sama ada akidah yang mempunyai hubungan dengan Allah mahupun sosial seperti kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat.
Bagaimanapun, sekali lagi tidak ada walau satu pun penjelasan dalam ucapan dasar ini mengenai apa idea, jawapan dan kaedah akan Pas gunakan untuk memenuhi ciri berkebajikan ini.
Sebab itulah langsung tidak ada sebarang liputan dalam media massa ke atas dasar-dasar Pas dalam ucapan dasar ini kerana ia hanya retorik kosong semata-mata.
Seperti ditegaskan oleh Saifuddin, ini semua jauh daripada jangkauan dan keupayaan Pas. Pas tidak mampu untuk membahaskan dasar-dasar yang konkrit seperti rasionalisasi subsidi.
Dan bagi melindungi ketidakmampuannya ini, maka Pas pun berlindung di sebalik apa yang ia mampu buat, iaitu hanyalah setakat memperlekehkan peribadi lawan, tidak lebih daripada itu.
Ini dalam istilah psikologi, dinamakan sebagai defensive mechanism, iaitu tindak balas digunakan bagi melindungi diri seseorang daripada perkara yang mereka tidak mampu tangani. – UTUSAN
DR. Zainudin Omar ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar & Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM).











