Agama bukan lagi dianggap ’candu’ rakyat di Russia - Utusan Malaysia

Agama bukan lagi dianggap ’candu’ rakyat di Russia

PENULIS (duduk tengah kanan) bersama-sama Mufti Besar Russia, Ravil Gaynutdin (duduk tengah kiri) dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA disebut sahaja Russia, ingatan terus melayang kepada fahaman komunisme dengan watak-watak seperti Karl Marx, Lenin dan Stalin. Malah mayat Lenin masih terbujur di tengah-tengah kota Moscow dan masih dilawati pengunjung.

Masing-masing mendiang ini terkenal dengan peranan aktif dalam pembangunan agenda politik-tanpa-agama atau politiko-ateism! Sehingga agama dikenali sebagai ’candu’ rakyat – yakni melekakan dan menghalang pembelaan nasib rakyat jelata di bawah kelolaan tampuk kapitalisme.

Oleh itu, tidak digalakkan atau dicantas sama sekali. Rumah-rumah ibadat ditutup atau ditukar kegunaannya sebagai pejabat, kilang dan sebagainya. Maknanya, agama ditegah serta ditindas. Mereka berlagak sebagai ’nabi’ lantikan sendiri.

Apa pun ini tidak mengubah fakta sejarah yang agama telah terlebih dahulu bertapak di Russia. Masjid pertama dibina di wilayah tersebut terletak di Derbent, bahkan yang pertama juga di Eropah pada abad ketujuh semasa Islam merebak luas dan pantas.

Maka Islam dianggap sebagai intim dengan negara ketika itu menyumbang kepada nilai tradisional moral serta kerohanian sebagai satu asas hidup di negara berkenaan. Seiringan pula dengan gereja Timur atau gereja Ortodoks (Kuno) berlainan dengan struktur gereja di dunia Barat. Di antara nilai Islam dan Ortodoks, tradisional moral serta kerohanian dirapatkan lagi merentasi dunia dan organisasi sekular untuk bekerjasama.

Di atas hakikat inilah, Russia kini membangunkan wawasan strategiknya bagi dunia Islam serta tradisi nilainya. Pada Mei 2023, satu forum antarabangsa dizahirkan agar pelbagai pihak dan rakyat dapat berdialog terhadap memantapkan lagi kedudukan masing-masing dalam mempertahankan sekali gus cara hidup Russia serta dunia Islam.

Termasuklah warisan budaya dan sejarah mereka yang berhubungan dengan masyarakat moden. Serta saling menghormati satu sama lain. Dalam konteks ini, Presiden Russia, Vladimir Putin, ada bersuara bahawa rasa saling mempercayai antara satu sama lain adalah penting. Baik secara dua hala atau libat sama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Ia membentuk asas setia kawan, saling menghormati akan kedaulatan serta ketamadunan yang ada. Tambahannya, penganut Islam Russia memainkan peranan penting dalam hubungan antarabangsa, serta merujuk kepada forum pada Mei 2023 sebagai bukti yang paling hebat.

Lebih jelas lagi, dalam hal ini Russia telah melunaskan buat kali pertamanya perbankan Islam, untuk sebahagian dari program awal dua tahun pada 1 September lalu. Dengan adanya bilangan rakyat Muslim yang ramai, anggaran 25 juta, ia juga merupakan kali pertama, pengiktirafan rasmi dari segi undang-undang akan pelancaran perbankan tersebut.

Pada 4 Ogos lalu, Putin sudah pun memeterai undang-undang memperkenalkan perbankan Islam melibatkan empat republik di mana rakyat Muslim teramai yakni Tatarstan, Bashkortostan, Chechnya dan Dagestan – yang sudah pun berpengalaman dalam hal perniagaan.

Maka sekiranya program ini berjaya, ia akan dikembangkan ke seluruh negara yang mempunyai sektor pertumbuhan tahunan pada kadar 40 peratus dan dijangka mencapai nilai AS$7.7 trilion menjelang 2025. Perbankan Islam dikatakan sudah menunggu begitu lama semenjak 2008 lagi, apabila Russia mengalami krisis kewangan dan mula mencari-cari sumber wang tunai gantian.

Kemudian, Persatuan Bank-Bank Russia mencadangkan perbankan sebagai penyelesaian. Dan menubuhkan jawatankuasa dalam Bank Pusat untuk membantu aktiviti bank berkaitan dari segi syariahnya.

KEROHANIAN NEGARA

Dengan adanya peperangan di Ukraine, gerak kerja ini dipacu lagi dan menghala lebih ke arah Timur dengan pautan rapat bersama ekonomi negara yang ramai penduduk Islamnya, mengikut para pemerhati. Penyisihan Barat dengan Russia menjadi bertambah renggang.

Sedangkan Russia sebagai pemerhati dalam OIC kesannya lebih ketara. Ada yang menyatakan bahawa Putin menganggap Islam sebagai faktor penting dalam kehidupan sosial dan politik Russia serta sumbangannya dalam pembangunan kerohanian negara.

Apatah lagi, tahun ini adalah ulang tahun ke-20 Putin berucap di OIC yang berlangsung di Malaysia ketika itu. Kini seolah-olah wujud satu lagi percantuman dalam menzahirkan Wawasan Strategik Russia-Dunia Islam sepertimana berlaku pada abad ketujuh apabila terdiri masjid terulung di Derbent, sehingga kini dengan cetusan puluhan ribu masjid di seluruh Russia, terbaru bernilai anggaran AS$120 juta di Moscow.

Mungkinkah sudah sampai masanya untuk beberapa institusi Islam yang lain memperkenalkan diri umpama perbankan Islam misalnya. Ini termasuk institusi halal serta kebajikan yang lain mencakupi rahmatan lil alamin (rahmat untuk seluruh alam) kerana ia amat diperlukan dinihari.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang sudah memang sebati dengan risalah tersebut merupakan pemacu terbaik ke arah memupuk kerohanian negara bagaimana yang diungkap Putin. Sekali gus menjadi contoh kepada pembangunan yang pernah dicabut kerohaniannya di bawah rejim komunis berkuku besi. Lantas, agama tidak lagi dianggap sebagai ‘candu’ rakyat, tetapi sebaliknya.

Asas ketamadunan berfitrah tinggi dalam adunan tradisi bermoral dan nilai kerohanian bagaimana yang dibawa oleh Wawasan Strategik Russia-Dunia Islam mampu melakar semula tradisi dan warisan antara pelbagai pihak yang ada di Russia ketika ini.

Petikan media terkini dari Lembaga Muslim Russia (RBM) menekankan bahawa penting menghalang konflik berlaku atas asas antara agama. Sepertimana di Russia di mana pelbagai agama wujud seiring Oleh itu, RBM mendesak agar ancaman kepada nyawa orang awam wajar dihentikan, begitu juga menggunakan paksaan serta hukuman beramai-ramai terhadap orang awam.

Ini selaras dengan agama bersendikan ajaran Nabi Ibrahim a.s. serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Ia juga menekankan kegagalan pelbagai pihak untuk melaksanakan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang penubuhan negara Palestin.

Ini sudah berlarutan 75 tahun dan masih belum ada penyelesaian. Mudah-mudahan dengan gesaan Russia serta wawasan yang akan dibangunkannya, dunia akan menjadi lebih cerah, adil serta saksama diselubungi nilai moral serta kerohanian sejagat. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN