Wartawan sebar yang benar, sanggah yang salah

Wartawan sebar yang benar, sanggah yang salah

KEWARTAWANAN berperanan secara dwifungsi, iaitu menyampaikan maklumat kepada rakyat dan membentuk aliran maklum balas di antara kerajaan dan pengundi. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM 10 tahun ini, pelbagai teknik penceritaan yang kuat seperti video dalam talian, kewartawanan data, naratif multimedia dan realiti maya berkembang dengan begitu pantas sekali. Perkembangan ini memaksa wartawan dan organisasi media beralih kepada aplikasi seperti Facebook, Instagram, X dan sebagainya untuk mendekati audien baharu yang tidak meminati media tradisional dan penyiaran.

Pun begitu, organisasi media ini terus hilang sebahagian besar kawalan terhadap pengedaran kandungan berita kepada wartawan ‘lesen terbang’ yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Kesannya, kewartawanan semakin dikongsi dengan orang ramai yang mengambil alih peranan editorial dan menentukan apa yang mereka ‘suka’ dalam talian.

Hal ini menyebabkan ekonomi maklumat tidak lagi berpaksi kepada nilai berita, sebaliknya dipengaruhi emosi dalam penghasilan pelbagai bentuk kandungan. Kemelut ini telah mengancam fungsi kewartawanan yang dianggap sebagai alat penting menghubungkan kerajaan dengan rakyat selain melindungi demokrasi.

Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, organisasi media tempatan kini berdepan pula dengan isu kepercayaan daripada pemerintah. Beberapa portal dilaporkan disekat kandungannya, manakala wartawan mereka dipanggil memberi penjelasan gara-gara penyiaran kandungan yang didakwa menyinggung pihak tertentu.

Tindakan sedemikian jika berterusan boleh menjejaskan proses melahirkan masyarakat bermaklumat yang menjadi asas kepada pembentukan sebuah demokrasi.

Tinjauan Merdeka Center pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mendapati sebanyak 48 peratus rakyat Malaysia percaya negara ini berada di landasan betul, manakala 53 peratus agak berpuas hati dengan kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa sama, sebuah lagi kajian oleh syarikat penyelidikan pasaran dan data antarabangsa, Statistik mendedahkan 40 peratus rakyat negara ini tidak mempercayai laporan berita media.

DWIFUNGSI

Kedua-dua dapatan ini bukanlah sesuatu yang bagus, malah jauh sekali untuk dibanggakan. Sebaliknya ia memberi isyarat bahawa demokrasi negara yang sedang dilindungi semakin terancam kerana kemelut yang berlaku di antara institusi politik dan media.

Sebagai sebuah kerajaan yang dipilih rakyat, pengetahuan tentang isu-isu yang menjadi subjeknya adalah sangat penting supaya ia dapat beroperasi dengan baik. Dan lebih daripada itu, kerajaan juga bertanggungjawab memastikan rakyat mendapat maklumat sewajarnya tentang setiap polisi dan tindakan yang dilakukannya.

Dalam demokrasi berperwakilan, kewartawanan berperanan secara dwifungsi, iaitu menyampaikan maklumat kepada rakyat dan membentuk aliran maklum balas di antara kerajaan dan pengundi. Sekiranya apa yang didedahkan, baik dalam bentuk tindakan atau dasar, tidak dipersetujui pengundi, ‘pembetulan’ akan dilakukan pada pilihan raya seterusnya.

Tanpa kewartawanan yang telus, aliran maklum balas akan terputus dan kerajaan tidak lagi bertanggungjawab kepada rakyat.

Wartawan paling berpengaruh Amerika Syarikat, Walter Lippman menyifatkan kewartawanan sebagai kitab demokrasi yang seharusnya menjadi rujukan golongan politik dalam menentukan tindak tanduk mereka.

Jelas Lippmann, jika digunakan secara bijak, kewartawanan boleh menjadi kompas untuk mengemudi perubahan yang membataskan sebuah demokrasi daripada berkembang subur.

Ujarnya lagi, kewartawanan telah mendedahkan rasuah dan penipuan presiden, hakim mahkamah agung, gabenor dan datuk bandar yang percaya mereka berada di atas undang-undang.

Tidak dinafikan bahasa kewartawanan itu adakalanya tajam dan boleh menyinggung, tetapi ia masih bersandar kepada fakta, adil dan dipandu etika.

Justeru, memang akan ada laporan yang tidak menyebelahi kerajaan, namun ia ditulis atas rasa tanggungjawab bahawa yang benar perlu disebar dan yang salah perlu disanggah. – UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×