Mungkin bukan lagi milik Amanah

Mungkin bukan lagi milik Amanah

CALON-CALON Amanah dalam PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilihat sukar untuk mengulangi kemenangan dalam mengekalkan kedua-dua kerusi tersebut pada PRK kali ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram menjadi medan ujian kekuatan parti kerajaan perpaduan, Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang utama, Perikatan Nasional (PN).

Memuatkan artikel berkaitan…

Jumlah pengundi kawasan Parlimen Pulai adalah seramai 164,811 orang meliputi Melayu (47.36%), Cina (40.43%) dan India (11.18 %). Jumlah pengundi di DUN Simpang Jeram pula adalah 40,151 orang meliputi pengundi Melayu (53.05%), Cina (44.33%) dan India (2.3%). Komposisi pengundi kedua-dua kawasan tersebut jelas menunjukkan pengundi Melayu dan Cina adalah seimbang dan sokongan hebat antara salah satu kaum bersama sokongan minoriti pengundi India boleh menentukan keputusan PRK pada kali ini.

Kedudukan inilah didapati menentukan keputusan pilihan raya umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15. Adalah dikesan sokongan majoriti pengundi Cina dan sebahagian pengundi Melayu telah membantu Parti Amanah Negara (Amanah) menawan kedua-dua kerusi tersebut pada PRU15 (2018) dan PRN15 (2022).

PRU yang terakhir pada 2018, calon Amanah, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub mengalahkan calon BN dan mempertahankan kerusi Pulai dengan undi majoriti 20,989. Beliau juga memenangi DUN Simpang Jeram dengan majoriti 2,239 undi pada PRN 2023.

Namun, suasana politik kini sudah berubah mutakhir ini. Keputusan PRU15 dan PRN15 jelas menunjukkan BN terutamanya UMNO semakin hilang sokongannya dalam kalangan orang Melayu dan India. Sebaliknya, sokongan pengundi Melayu terhadap PN pula kelihatan semakin meningkat. Misalnya, undi majoriti calon PKR (PH) bagi Parlimen Pulai pada PRU14 merosot daripada 28,924 kepada 20,989 pada PRU15. Undi popular PH (Amanah) serta UMNO pula merosot, manakala undi popular Pas/Gerakan semakin meningkat.

GELOMBANG HIJAU

Begitu juga jumlah undi majoriti yang diperoleh calon Amanah (PH) bagi DUN Simpang Jeram merosot daripada 7,687 bagi PRU14 kepada 2,399 (PRU15) ataupun daripada 14,640 kepada 8,749. Undi UMNO merosot daripada 6,953 kepada 6,062 bagi jangka waktu yang sama. Sebaliknya, undi Pas meningkat daripada 2,135 pada PRU14 kepada 6,350 (PRU15).

Memandangkan pola pengundian pada PRN di enam negeri yang baharu selesai jelas menunjukkan PN meraih sokongan hebat daripada pengundi Melayu, maka momentum tersebut kelihatan akan terus kekal dalam PRK ini. Malah dengan pengundi Melayu terus berpecah belah, pengundi India yang kecewa dengan kepimpinan kerajaan perpaduan atas beberapa insiden yang menimbulkan ketidakpuasan hati mereka, maka apakah gabungan PH-BN mampu menghalang gelombang hijau dari timur yang meniup kencang ke arah kawasan pantai barat dalam mempertahankan kedua-dua kerusi dipertandingkan dalam PRK ini?

Tidak dapat dinafikan, antara faktor utama menyebabkan kemenangan kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram oleh Amanah pada masa-masa lepas adalah disebabkan calon, iaitu Salahuddin. Beliau merupakan seorang pengasas Amanah yang menjawat jawatan Timbalan Presiden sejak parti itu ditubuhkan pada 2015. Beliau juga merupakan Pengerusi PH Johor.

Selain itu, beliau juga seorang ahli jemaah menteri kerajaan PH, malah merupakan bekas Ketua Pemuda Pas yang dianggap sebagai seorang veteran yang banyak menyumbang kepada Pas sebelum menyertai Amanah. Tambahan pula, sikap dan keperibadian beliau menawan hati pengundi di kedua-dua kawasan itu merupakan penyumbang utama kepada kemenangan Amanah. Beliau yang merupakan anak kelahiran Johor berketurunan peranakan Melayu-Cina yang peramah dan mudah didampingi rakyat telah banyak membantu kemenangan Amanah pada pilihan raya lepas.

Dengan itu, tidaklah keterlaluan sekiranya dibuat kesimpulan bahawa faktor yang menyumbang kepada kemenangan Parlimen Pulai dan Simpang Jeram oleh Amanah adalah kerana calonnya, Salahuddin dan bukan kekuatan Amanah. Jadi, calon-calon Amanah yang menggantikan beliau dalam PRK ini tidak mudah untuk mengulangi kemenangan dalam mengekalkan kedua-dua kerusi tersebut. Ini kerana mereka tidak setanding dengan Salahuddin yang berpengaruh serta menambat hati pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. – UTUSAN

Datuk M. Periasamy ialah penganalisis sosiopolitik tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN