Lantikan tingkat keyakinan rakyat - Utusan Malaysia

Lantikan tingkat keyakinan rakyat

AHMAD TERRIRUDIN MOHD. SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, mengenai lantikan Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh, sebagai Peguam Negara yang baharu berkuat kuasa 6 September ini selepas ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan adalah khabar yang menggembirakan semua pihak.

Lantikan ini bagus dan tidak menimbulkan sebarang kontroversi, malah disambut baik, kerana ia merupakan lantikan dalaman Jabatan Peguam Negara (AGC) yang dibuat dengan mengambil kira aspek kekananan (senioriti) para pegawainya. Berbanding lantikan tokoh luar yang pastinya mengundang beberapa isu, lantikan Ahmad Terrirudin dilihat sesuatu yang lebih natural.

Lebih meyakinkan lagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, sendiri menyifatkan lantikan Ahmad Terrirudin ini adalah tepat kerana beliau seorang peguam pakar yang profesional. Ini terbukti bila beliau meletakkan “crème de la crème legal minds” dari AGC mengetuai kes Sulu hingga berjaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pertamanya, Ahmad Terrirudin telah menjawat jawatan kedua tertinggi di AGC sejak lebih setahun yang lalu, iaitu mulai 25 Mac 2022. Selaku Peguam Cara Negara, beliau telah banyak membantu Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, melaksanakan kewajipan dan menjalankan kuasa Peguam Negara serta biasa bertindak sebagai Pendakwa Raya dalam hal ketiadaan Peguam Negara.

Ahmad Terrirudin juga mahir dengan semua bahagian di AGC. Selaku Peguam Cara Negara, salah satu tanggungjawab besar beliau ialah untuk mengetuai, menyelia dan memantau Sektor Litigasi (yang terdiri daripada Bahagian Pendakwaan, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Bahagian Guaman dan Unit Litigasi Khas) dan Bahagian Pengurusan bagi pihak Peguam Negara.

Beliau juga mahir dengan Sektor Penasihat (yang terdiri daripada Bahagian Penasihat, Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa dan Bahagian Penyelidikan) yang secara rasminya berada di bawah bidang kuasa Peguam Cara Negara II selain Bahagian Gubalan, Bahagian Penyemakan dan Pembaharuan Undang-Undang serta Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang.

Tokoh luar jika dilantik pastinya memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan semua bahagian di AGC ini, tetapi apabila pegawai dalaman yang dilantik maka beliau terus boleh melaksanakan segala tugasan dan mendapatkan kerjasama daripada semua bahagian, apatah lagi bila beliau sendiri mempunyai hubungan baik dan dihormati oleh semua pegawai di AGC.

Lebih penting lagi, lantikan Ahmad Terrirudin ini meningkatkan moral dan semangat kerja di kalangan semua pegawai di AGC. Mereka kini percaya bahawa kepakaran dan pengalaman mereka diiktiraf oleh kerajaan, tokoh luar tidak diperlukan untuk mengemudi organisasi mereka dan mereka juga berpeluang untuk menjawat jawatan tertinggi di AGC pada satu hari nanti.

Ahmad Terrirudin sendiri mempunyai kelayakan yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang perundangan dan kehakiman sejak mula dilantik sebagai Pegawai Undang-Undang (Kehakiman) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 April 1995 dengan memegang pelbagai jawatan baik di peringkat Negeri ataupun Pusat.

Di AGC, sebelum menjadi Peguam Cara Negara, beliau pernah bertugas sebagai Ketua Unit Pendakwaan, Bahagian Pendakwaan Negeri Sembilan, mulai 15 Mac 2013, Peguam Kanan Persekutuan merangkap Ketua Unit Kontrak dan Kecuaian Perubatan, Bahagian Guaman, mulai 1 Januari 2016, dan Timbalan Ketua Bahagian Guaman III, Bahagian Guaman, mulai 17 April 2017.

Beliau juga pernah menjadi Majistret di Mahkamah Majistret Sibu mulai 2 Januari 1997, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mulai 15 Jun 2007, Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Pulau Pinang, mulai 1 Oktober 2007 dan Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Kuala Lumpur, mulai 2 September 2008 selain menjadi Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah mulai 5 Januari 2019.

TANGGUNGJAWAB

Beliau juga arif dengan urusan mahkamah kerana pernah menjadi Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Taiping, mulai 2 Mei 1995, Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, mulai 16 April 1999, Pegawai Khas Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mulai 20 Disember 2000 dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mulai 3 Mei 2019.

Selain itu, beliau juga pernah diberikan kepercayaan sebagai Pegawai Penyelidik, Bahagian Penyelidikan, Mahkamah Persekutuan, pada 2 April 2002 dan Pegawai Khas kepada Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, pada 17 Mac 2003. Semua jawatan ini memberikan beliau kefahaman jelas kepada segala isu dan permasalahan di mahkamah.

Kini di bahu Ahmad Terrirudin terpikul kuasa dan tanggungjawab amat besar di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

Perkara 145 (3) ini telah ditanggapi sebagai menunjukkan bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa besar yang tidak boleh dipengaruhi atau dicabar oleh sesiapa. Dengan banyaknya kes-kes berprofil tinggi sekarang, kuasa besar ini pastilah menjadi tumpuan rakyat tetapi dengan latar belakang Ahmad Terrirudin ia tentunya lebih kepada refleksi AGC sebagai satu organisasi.

Masa sama, peruntukan Perkara 145 (2) mengenai kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri, walau kadang-kadang di‘overlook’, adalah amat penting sekali.

Dengan timbulnya pelbagai isu dalam negara yang memerlukan penyelesaian tuntas, daripada cabaran menangani isu agama, raja dan kaum (3R) serta isu-isu lain yang memerlukan kepada lebih mantapnya penguatkuasaan atau kepada pembaharuan undang-undang, nasihat mahupun tindakan atau gubalan Peguam Negara dan para pegawai beliau di AGC sangat diperlukan.

Kepakaran dan pengalaman luas Ahmad Terrirudin pastinya amat berharga. Dalam Majlis Libat Urus Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bersama Badan Perundangan Sivil dan Syariah berkaitan penggunaan kalimah “Allah” pada 17 Ogos lalu contohnya, beliau dan pegawai beliau di AGC mendapat pujian Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas nasihat mantap yang diberi.

Di bawah teraju Ahmad Terrirudin, AGC diharapkan akan terus memainkan peranan penting sebagai agensi sokongan utama dalam memberikan khidmat nasihat perundangan kepada pelaksana-pelaksana dasar di kementerian/agensi bagi memastikan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat direalisasikan.

Dengan masa agak panjang di hadapan beliau, Ahmad Terrirudin, dengan dukungan penuh para pegawai beliau di AGC, diyakini berkemampuan untuk mengubah status AGC menjadi Organisasi Perundangan Awam Bertaraf Dunia selaras dengan Pelan Strategik AGC 2021-2025 khususnya dalam menangani kompleksiti isu dan hal perkara undang-undang mutakhir ini.

Tegasnya, lantikan Ahmad Terrirudin ini adalah langkah tepat yang dibuat oleh kerajaan. Ia membantu meningkatkan keyakinan orang ramai ke atas sistem pentadbiran dan dasar undang-undang di Malaysia. Ia juga akan lebih meyakinkan para pelabur asing ke atas sistem politik negara kita dan ini akan membantu usaha memulih dan menambahbaikkan situasi ekonomi negara. – UTUSAN

FAIDHUR Rahman Abdul Hadi ialah Pengamal Undang-Undang merangkap Penasihat Undang-Undang di PCA Corp. Sdn. Bhd.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×