MUKADIMAH
PELBAGAI kritikan dilemparkan terhadap beliau yang sebelum ini banyak memberikan cadangan apabila memperkatakan tentang hal-hal yang menjana pendapatan rakyat dan ekonomi negara.
Apatah lagi ada segelintir yang melihat beliau yang digelar ‘Raja Formula’ ini, bagaikan tidak memberi apa-apa impak bagi kesejahteraan rakyat sebaik memegang jawatan penting dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan. Bagaimanapun, individu yang merupakan Timbalan Presiden PKR ini kekal tenang dan tidak melatah.
Wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL; MAISARAH SHEIKH RAHIM dan MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Menteri Ekonomi, MOHD. RAFIZI RAMLI bagi mendapatkan perspektif beliau terutama berkenaan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) .
Turut membantu jurufoto FAISOL MUSTAFA dan MOHD. FIKRI FADZIL.
MINGGUAN MALAYSIA: Apakah yang sepatutnya rakyat tahu tentang intipati KSP?
MOHD. RAFIZI: Kalau dibaca dan dihadam, ada beberapa perkara rakyat perlu tahu. Pertama, model ekonomi ini yang sebelum ini pada pandangan saya sudah tidak mampu membawa negara ke peringkat baharu.
Oleh sebab itu, untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kajian ini membuat anjakan besar, perkara yang tidak pernah ada. Bukan sahaja baharu tetapi ada perubahan drastik di pihak kerajaan dan memerlukan sambutan daripada semua pihak termasuk syarikat swasta dan rakyat.
Mengapa saya katakan model sebelum ini tidak lagi boleh membantu negara ke peringkat tertinggi?
Pertama, sudah tentu pentadbiran kerajaan sekarang mewarisi hutang besar dan ia datang daripada beberapa perkara. Sebahagiannya adalah keputusan yang dibuat disebabkan skandal. Jadi, tadbir urus lemah menyebabkan kita menanggung hutang seperti Felda, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bayangkan, kita perlu bayar semua ini untuk satu jangka masa tujuh ke lapan tahun akan datang. Jadi, ada kekangan kepada kemampuan negara dengan model ekonomi yang wujud sebelum ini.
Kita juga perlu menanggung perbelanjaan infrastruktur besar yang sebelum ini, apabila pentadbiran lepas memaklumkan kepada rakyat bahawa ia (perbelanjaan infrastruktur) tidak memerlukan wang negara kerana dilaksanakan pihak swasta,
Namun akhirnya ditanggung kerajaan. Contoh, transit aliran massa (MRT) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Banyak lagi projek yang kata sebelum ini usaha sama swasta akhirnya berbalik kepada kerajaan untuk ditanggung.
Perkara ketiga, sebagai sebuah ekonomi, kita sekarang tidak boleh lagi bersaing dengan negara serantau kerana kita mahu jadi negara berpendapatan tinggi dengan gaji yang mahal. Kalau mahu bersaing dengan model lama, ia tidak dapat menarik minat pelabur dan akhirnya gaji pekerja dibayar pada kadar yang sama dengan 10 atau 15 tahun lepas.
Ketiga-tiga ini memerlukan semakan keseluruhan bukan sahaja untuk memperbaiki keadaan sekarang, tetapi meletakkan negara di landasan baharu bagi membolehkan kita tumbuh lebih cepat dan dalam masa sama memerlukan dasar perlindungan untuk rakyat demi memenuhi kehendak dan aspirasi mereka.
Justeru, KSP dokumen baharu untuk memberi gambaran bukan sahaja visi masa depan, tetapi laluan kepada tindakan yang perlu diambil secara bersama dengan semua pihak agar kita kekal berdaya saing.
Adakah ini bermakna perbelanjaan negara lebih ketat?
Soal pengurusan kewangan negara yang lebih ketat dan tersusun is given (pemberian). Itu memang kita perlu buat, kalau tidak kita tergelincir lebih teruk.
Kalau kita kawal perbelanjaan dengan lebih baik pada masa sekarang, ia masih tidak dapat selamatkan negara kerana kita ada tanggungan besar daripada pentadbiran lepas.
Kita perlu meletakkan tata kelola pada tahap paling tinggi. Model sedia ada ini tidak akan berjaya menambah pendapatan dan potensi ekonomi.
Saya beri contoh katakanlah kita kerja gaji RM3,000 sebulan. Tetapi, kita ada hutang dan tiba-tiba kena tanggung pula orang yang kita jamin sebab tidak bayar hutang.
Kalau kita kekal dengan gaji RM3,000 sebulan, kita jimat macam mana pun, kita masih tidak mampu menanggung. Jadi, sebab itu kita perlu mencari kaedah untuk melangkah agar gaji daripada RM3,000 meningkat kepada RM5,000.
HUTANG NEGARA
Berapakah jumlah hutang yang ditanggung?
Begini, ada beberapa jenis hutang yang sebahagiannya dibayar dalam bentuk belanja mengurus. Contoh, hutang biasa kerajaan membiayai perbelanjaan tahunan. Kemudian satu lagi kategori hutang khusus membaiki dan membina infrastruktur tertentu atau hutang yang memang disebabkan skandal termasuk Tabung Haji dan sebagainya.
Ada hutang yang diambil secara berterusan oleh kerajaan dan pada masa tertentu perlu membayar faedah.
Selain itu, ada hutang khusus yang kita kena bayar pada tahun tertentu.Anggarannya begini. Kalau belanja menguruskan hutang yang termasuk dalam perbelanjaan mengurus, ia lebih kurang 15 peratus daripada hasil kerajaan setiap tahun. Kalau hasil kerajaan dalam RM300 bilion maksudnya RM40 bilion. Ini hutang biasa yang kerajaan ambil seperti bon.
Akan tetapi pada masa sama, ada hutang khusus yang tidak berkala tetapi setiap tahun disediakan peruntukan untuk bayar seperti hutang infrastruktur, 1MDB dan sebagainya.
Untuk beberapa tahun lepas dan tahun akan datang, hutang ini berjumlah RM30 bilion. Jadi keseluruhannya RM 70 bilion. Itu jumlah yang sangat besar dan kalau tidak lakukan sesuatu, hidup kita tidak lari daripada cukai, dikutip untuk bayar hutang lepas.
Saya sebenarnya tidak mahu cakap soal hutang sebab benda sudah berlaku. Sebab itu tumpuan kita dalam KSP, model yang macam mana kita perlukan dan perubahan drastik yang kita boleh buat.
PEMBAZIRAN
Adakah KSP ini model yang realistik untuk mengelakkan pembaziran?
Bukan soal hutang atau pembaziran. Tapi mengenal pasti enjin-enjin pertumbuhan baharu yang boleh melipat gandakan pertumbuhan ekonomi kita.
Sebab itu, kita boleh tengok di bawah tema berpendapatan tinggi, kita berjaya mengenal pasti lima sektor strategik high growth good value (kadar pertumbuhan tinggi bernilai baik).
Antaranya ekonomi hijau, industri atau ekonomi digital, teknologi maklumat (IT), pertanian moden dan unsur nadir bumi.
Kelima-lima ini pada perancangan kita apabila diberi tumpuan dan dapat mempercepat pertumbuhan, ia melipat kali gandakan ekonomi dan pendapatan rakyat serta negara sehingga membolehkan kita menambah kekayaan di samping menanggung hutang.
RISIKO BESAR
Tidak gusar sekiranya KSP memberi implikasi dalam siri pilihan raya akan datang?
Sudah tentu ia satu risiko cukup besar. Hendak kata tidak bimbang, sudah tentu kami bimbang lebih-lebih lagi penerimaan rakyat dan bagaimana ia dijadikan bahan politik.
Saya tidak bimbang soal hilang kuasa atau tidak menjadi menteri. Akan tetapi perlu diingat. Dasar apabila diperkenalkan ia mengambil masa beberapa tahun untuk perbetulkan keadaan. Kerajaan sekarang berada dalam dilema besar. Satu perkara radikal perlu dibuat, jika tidak negara parah.
Tetapi kita tahu ia sentiasa dipolitikkan. Kalau ada kesan kepada politik, kita tidak pasti sama ada dasar yang penting tadi dibuat dalam satu tempoh masa mencukupi atau tidak untuk mendatangkan kesan kepada ekonomi negara.
Sebab itu, apabila adanya KSP, ia satu komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan. Walau apa pun gelombang yang datang dan ribut politik dengan mendepani pelbagai isu, akhirnya rakyat akan faham dan fikir ia satu keputusan tepat.
JURANG PENDAPATAN KAUM
Terdapat jurang pendapatan antara kaum Cina dan Bumiputera yang agak ketara tahun lepas. Sejauh mana model ini mampu menyelesaikan masalah ini?
Isu lebih besar dalam soal jurang pendapatan bukan antara kaum, tetapi dalam kalangan kaum itu sendiri. Apabila tengok perbezaan kesenjangan, ada dua cara untuk melihatnya. Satu kita bandingkan pendapatan antara Bumiputera, Cina dan India.
Tetapi, kita kena lihat dalam pendapatan kumpulan Bumiputera antara paling kaya dan rendah. Sebenarnya masalah paling besar ialah yang dalam kumpulan itu.
Ia bukan sahaja untuk Bumiputera tetapi Cina dan India juga begitu. Bagi saya ada beberapa perkara dan perspektif kita kena perlu lihat.
Kalau kita lihat semata-mata perbandingan antara kaum, ia mudah untuk diputar belitkan. Seolah-olah bahawa paling tinggi pendapatan, contohnya kaum Cina, kedua, India dan ketiga, Bumiputera.
Ini soal berapa banyak pekerja dalam satu kaum yang terlibat dengan pekerjaan yang menawarkan gaji lebih tinggi. Kalau Cina, yang lebih banyak ialah profesional. Akauntan, peguam dan jurutera. Mereka kerja swasta dan banyak juga yang bekerja dengan syarikat asing. Begitu juga dengan India. Jadi, cabaran kita ada bukannya hendak bandingan antara kaum Cina dapat lebih atau India juga dapat dapat lebih.
Kita perlu melihat kenapa banyak budak-budak kita (Bumiputera) yang keluar universiti tetapi tidak terus kepada bidang profesionalisme. Saya lihat ini masalah mikro negara. Saya tidak lihat soal kaum. Agihan ini soal ekonomi dan kemahiran. Sebab itu, dalam KSP kita beri tumpuan bagaimana hendak tambah pendapatan kepada golongan kumpulan bawah
Maka, projek rintis yang kita jalankan dalam KSP ini menyentuh cara bagaimana nak tambahkan penyertaan semua terutama golongan bumiputera dalam bidang teknikal.
Kita tahu lebih kurang 30 peratus sahaja Bumiputera melanjutkan pelajaran. Berbanding sekolah Cina yang peratusan melanjutkan pelajaran jauh lebih tinggi.
Justeru apa hendak buat dengan 70 peratus ini? Mereka ini yang membawa gaji itu turun sebab hanya segelintir Bumiputera dalam peratusan kecil yang melanjutkan pelajaran dan berpeluang mendapat gaji lebih tinggi.
Sebab itu, dalam projek rintis akademik industri kita mahu membangunkan satu sistem yang mana anak-anak selepas menamatkan alam persekolahan boleh terus bekerja dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET).
KETERJAMINAN MAKANAN
Salah satu keutamaan KSP ini adalah meningkat pengeluaran makanan dan keterjaminan. Bagaimana ia perlu dilihat dalam aspek realistik?
Ada dua perancangan yang serentak. Satu adalah daripada segi industri tanaman ruji yang diusahakan pada skala besar seluruh negara termasuk beras. Sebagai contoh, usaha untuk menambahkan bekalan jagung. Ia di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Jadi mereka menaikkan taraf infrastruktur untuk industri besar seperti ini.
Sebab itu, dua bulan lepas Anwar mengumumkan peruntukan berjumlah RM6 bilion bagi menaik taraf pengairan di Kedah supaya padi boleh dituai lima musim.
Begitu juga tanaman padi di Sabah. Mereka lihat kepada keperluan untuk jangka masa panjang, sediakan infrastruktur, dana dan buat perancangan agar kapasiti ditambah pada skala nasional.
Di bawah Kementerian Ekonomi pula kita ada komponen untuk memperkukuhkan keterjaminan makanan.Tetapi tumpuan kita adalah infrastruktur tanaman kontan yang bukan ruji sebab itu ada lada, halia dan nenas. Ini semua diimport pada jumlah besar.
Fokus antara dua kementerian ini saling berkait walau berbeza. Fokus di peringkat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ialah petani sedia ada. Untuk di bawah Kementerian Ekonomi pula, ia di bawah inisiatif pendapatan rakyat yang kita panggil sebagai Program Usahawan Tani (Intan).
Tujuan kita adalah mewujudkan pertanian moden sebagai satu profesion dan industri di seluruh negara. Ia ada beberapa objektif yang terangkum sekali, bukan semata-mata keterjaminan makanan.
Adakah contoh model pertanian moden sebagaimana di Sekinchan diguna pakai?
Di Sekinchan padi itu diusahakan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Mereka pun ambil model dan pendekatan yang sama. Faktornya (kejayaan) banyak daripada segi benih, infrastruktur pengairan, baja dan amalan penjagaan bendang. Prosedur operasi standard (SOP) itu diterapkan di tempat lain. Sebab itu dibawah Kementerian Ekonomi di bawah Intan kita beri penekanan kepada tanaman kontan.
Teknologinya sama daripada segi keperluan asas. Semua ini dikawal secara elektronik dan akan diusahakan secara profesional.
Pertanian turut melibatkan negeri pembangkang sehingga timbul isu birokrasi atau red tape. Komen?
Kita buka inisiatif ini seluas-luasnya. Masalah utama adalah tanah. Perlu diingat yang banyak tanah kerajaan negeri. Kita buka awal permohonan bermula sejak Mac lalu. Sebenarnya prestasi bergantung kepada sikap pentadbiran kerajaan negeri dan pegawai daerah.
Saya pernah sebut sebelum ini bahawa sambutan di negeri pembangkang lemah walaupun daripada segi jumlah miskin tegar paling banyak di kawasan negeri Perikatan Nasional (PN). Sebaliknya sambutan yang besar diberikan negeri lain seperti Sabah, Perak dan Selangor.
Yang berlaku di Terengganu, memang ada tapak besar lebih kurang 300 ekar setakat ini. Tetapi saya lihat ia bukan diusahakan kerajaan negari, sebaliknya pegawai daerahnya yang rajin. Dia betul-betul hendak buat.
Justeru, saya berharap ia tidak menjadi isu politik. Kita sudah buka peluang dan kalau tidak disambut sangat sudah tentu kita perlu tumpu di negeri lain. Sebagai contoh Sabah.
Ada sebut pasal projek RMK terdahulu yang belum dimulakan. Berapa anggaran kos dan jumlah projek terlibat?
Masalahnya pelaksanaan ini memang diwarisi daripada kerajaan terdahulu. Ada projek dari RMK8 lagi dan ada dari RMK9 atau 10. Terdapat pelbagai sebab.
Sebahagian biasanya mengenai soal tanah kerana ia tidak dapat diselesaikan. Walaupun status dipindahkan kepada kerajaan pusat, projek masih tidak menjadi. Sebahagian pula disebabkan kelewatan kontraktor dan lain-lain.
Saya tidak dapat mengingati secara terperinci dan saya sendiri tidak mahu menyebut projek yang mana kerana ia melibatkan kementerian masing-masing. Sekarang ini kita mahu uruskan di peringkat dalaman.
Cuma apabila Anwar buat pengumuman seperti itu, ia menjadi dasar KSP dan memberi isyarat tata kelola penting di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Ini kerana tanah sebahagian besar adalah di bawah kerajaan negeri. Kalau kerajaan negeri sebagai contoh mahukan projek, mereka perlu mempercepatkan proses pindah milik tanah pengurusan. Kalau tidak serius memang mudahlah untuk menuding jari pada Kerajaan Persekutuan.
RAJA FORMULA
Banyak menuntut saudara yang digelar ‘Raja Formula’ mengetengahkan segala formula dalam menghadapi cabaran semasa. Komen saudara?
Ini (KSP) bukan formula ke? Mana ada menteri sebelum saya yang laksanakan gaji progresif ? Mana ada menteri sebelum saya buat satu pangkalan data untuk rakyat? Cuba tengok balik semasa saya berkempen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini. Dalam kempen Ayuh Malaysia, saya katakan ada lima perkara negara perlu berikan perhatian.
Antara peralihan tenaga solar, cukai dan pertanian. Semua ini sedang berjalan satu persatu. Cuma kalau kita jadi pembangkang, mereka hendak ungkit apa lagi? Ulang perkara (kritikan) yang sama sahajalah.
Saya sendiri pernah lalui zaman ini semasa Pakatan Harapan (PH) 1.0. Selepas 2018, apabila PKR tidak jadi tulang belakang kerajaan, orang asyik ulang ‘PH hancing’. Menjelang 2022 perkara (kritikan PH hancing) tersebut hilang.
Sebab modal itu lama kelamaan apabila asyik diulang akan membuatkan rakyat berfikir dan bertanya “apa yang mereka katakan ini?”Walhal semua pembaharuan kami sudah buat. Basmi kemiskinan tegar tidak pernah dibuat sebelum ini. Itu formulalah.Tetapi kalau penyokong PN tak akan mereka mahu terima (idea) kita pula. Habislah modal politik mereka.
Mereka juga tidak sedar pengundi biasa akan kata “betullah ini formulanya dan dia sudah bentang satu persatu”. Bagi saya benda sebegini telah dilalui banyak kali yang akhirnya mereka gali kubur sendiri. – Mingguan Malaysia










