MUKADIMAH
PENCALONAN semula calon yang pernah kecundang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pasti akan menimbulkan ‘suara sumbang’ dalam kalangan pemimpin lain yang ada bersama dalam sesebuah parti.
Apa yang membimbangkan, perkara ini semestinya boleh memberi kesan terhadap hubungan sesama ahli dan pemimpin. Paling dibimbangi boleh mencetuskan perpecahan dalam parti.
Justeru wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan jurufoto FAUZI BAHARUDIN menemu ramah calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, DR. AFIF BAHARDIN bagi mendapatkan perspektif beliau.
UTUSAN: Pernah ditolak dalam PRU-15 dan kini bertanding semula untuk PRN. Adakah Dr. tidak serik dengan kekalahan?
AFIF: Pada saya apabila sudah terlibat dengan satu-satu perjuangan, kita sebenarnya sudah ada pimpinan dan strategi untuk berhadapan dengan apa jua pilihan raya.
Lagipun saya masih ada kudrat dan idea untuk menyumbang kepada masyarakat. Sekarang parti mempertimbangkan saya untuk jadi calon di DUN Taman Medan.
Sebenarnya saya ambil masa. Tapi komitmen saya adalah untuk membantu PN bagi memastikan gabungan ini dapat membentuk kerajaan sekali gus melaksanakan agenda serta prinsip yang kita pegang .
Kita mahu membela nasib rakyat dan apa yang lebih penting sekali majoriti masyarakat akan lebih rasa selamat di Malaysia di bawah PN.
Pada saya juga tidak timbul isu serik atau sebaliknya. Saya menganggap diri saya sebagai orang parti dan akan teruskan (perjuangan) selagi mana parti perlukan saya.
Seandainya Dr. kalah lagi dalam PRN kali, adakah masih mahu bertanding pilihan raya akan datang?
Kalah menang dalam pilihan raya adalah lumrah dalam perjuangan. Saya fikir, aset terbesar saya bukanlah wang ringgit atau harta, tapi prinsip saya dan komitmen untuk membantu rakyat.
Selain itu dalam masa yang sama, saya ada kelebihan daripada segi umur. Untuk pengetahuan sekarang saya sudah mencecah umur 38 tahun tapi pengalaman saya sebagai wakil rakyat sudah lebih 10 tahun. Jadi saya melihat inilah peluang dan ruang untuk dimanfaatkan demi kepentingan komuniti serta masyarakat.
Masih ada lagi suara sumbang dalam parti mempertikaikan pencalonan Dr. sebagai calon. Komen?
Pada saya itu biasa. Dalam keluarga pun adakalanya tidak semua yang sependapat. Soalnya, bagaimana kita nak uruskankan perkara tersebut.
Bagi saya sesiapa sahaja ada hak untuk menyuarakan pendapat. Lagipun keputusan sudah dibuat dan saya harapkan agar mungkin orang-orang berkenaan boleh datang dan bantu saya untuk PRN kali ini.
Seandainya kalah dalam PRN bagaimana Dr. melihat tahap prestasi terutama ketika pemilihan parti hujung tahun nanti?
Saya tidak fikir sejauh itu. Cuma saya rasakan rakan-rakan dalam PN terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tahu komitmen yang saya beri kepada PN sejak ditubuhkan sampailah sekarang.
Dan itu pun (prestasi) tidak menjadi masalah walaupun dalam PRU15 di Parlimen Shah Alam saya tewas. Sokongan pada masa itu agak memberangsangkan dalam kalangan penduduk di sana sehingga mencecah tiga kali ganda daripada apa yang diterima calon sebelum itu.
Justeru, menjelang lagi lima tahun lagi, saya rasa trend (sokongan) itu kalau berterusan insya-Allah kita boleh menang.
Komen Dr. mengenai ada calon yang masih tidak mengumumkan manifesto?
Sebahagian calon itu mungkin masih baru lagi datang ke tempat itu. Pada saya lebih adil kalau berikan mereka sedikit masa untuk faham satu-satu isu di kawasan tersebut, seterusnya bertindak.
Saya masih ingat sewaktu bertanding pada 2013. Saya mula bertanding pada umur 27 tahun. Pada masa itu apabila penduduk Seberang Jaya melihat budak berumur 27 tahun, semacam pelik.
Nasihat saya kepada semua calon, kita perlu dengar pandangan semua orang dan mereka akan beritahu apa yang perlu awak lakukan. – UTUSAN










