Pilih bukan egois, tidak sempit - Utusan Malaysia

Pilih bukan egois, tidak sempit

PILIHAN RAYA negeri Sabtu ini akan menjadi kayu pengukur awal bagi kerajaan perpaduan yang baru dibentuk oleh Anwar Ibrahim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACAM-MACAM bacaan penganalisis yang kita dengar dan dibacakan tatkala kempen pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri berbaki 48 jam sahaja lagi. Ada meramalkan status quo kekal 3-3. Tidak kurang pula mendendangkan 4-2 yang memihak kepada Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Saya sempat berkampung di Kelantan selama empat hari. Kisah ‘ribut dalam ca­wan’ antara kumpulan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Nik Mohd. Amar Nik Abdullah dengan pencinta legasi arwah Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat membabitkan anaknya, Nik Mohamad Abduh terus diperkatakan ramai.

Khabarnya seorang dua pemimpin kanan Pas turut kurang senang dengan tindak-tanduk seorang lagi ayam sabung parti itu yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perdebatan Muhammad Sanusi dengan pihak istana di luar Kelantan meresahkan kepimpinan atasan Pas. Di Langkawi pula sampai dua kerusi yang sepatutnya ditandingi Pas, tiba-tiba terlepas kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kata orang kuat UMNO, beri peluang sepenggal sahaja (lima tahun) kepada PH-BN untuk mentadbir Kelantan. Lihat adakah masalah bekalan air bersih dapat diatasi dalam setahun dua mendatang ini.

Biarpun begitu, PRN Sabtu ini tidak hanya menentukan komposisi kerajaan di negeri-negeri tersebut, malahan akan menjadi kayu pengukur awal bagi kerajaan perpaduan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru dibentuk.

Kemenangan atau kekalahan PH-BN akan menentukan tahap sokongan bagi Kerajaan Persekutuan. Ini sekali gus mempengaruhi senario politik yang semakin dinamik pada keseluruhannya.

Selangor, sebagai salah satu negeri industri penting memiliki peranan kritikal dalam ekonomi negara. Oleh itu, kemenangan PH-BN di negeri ini dianggap penting sebagai asas bagi kerajaan untuk memperoleh populariti dan sokongan daripada masyarakat serta pembangunan ekonomi berterusan.

Rekod prestasi pentadbiran negeri yang berkuasa sekarang memberikan PH kelebihan pada awalnya, tetapi kehadiran Perikatan Nasional (PN) yang membawa naratif baharu politik terutama kepada orang Melayu sedikit sebanyak mempengaruhi keadaan politik dan menyumbang kepada momentum yang mungkin meningkat bagi PN.

Jika dilihat situasi semasa, potensi untuk PRN Selangor dan Negeri Sembilan, terdapat tiga kemungkinan perlu dijangkakan. Pertama, PH dijangka dapat mempertahankan kuasa dengan mengambil kira rekod prestasi mereka dan sokongan pengundi terhadap perubahan dijanjikan kerajaan.

Kedua, PN mempunyai peluang untuk memperoleh kuasa dengan mengambil keuntungan daripada politik ketidakpuasan dan kekecewaan tertentu serta mendapatkan sokongan pengundi tambahan dalam kalangan kelompok Melayu.

Ketiga, terdapat peluang untuk berkembangnya pilihan raya sengit dengan kemungkinan majoriti kemenangan tipis dan pengundian berubah-ubah menyebabkan perubahan politik yang tidak terduga.

MANIPULASI

Faktor yang mungkin mempengaruhi keputusan PRN ini adalah tingkah laku pengundi dan jumlah kehadiran mereka di tempat pengundian. Kekuatan sesuatu pakatan politik bergantung kepada sokongan pengundi dan tahap kepercayaan serta kepuasan mereka terhadap kerajaan yang sedang berkuasa.

Selain itu, pengaruh kempen dan gerakan politik semasa juga akan memainkan peranan penting dalam meraih sokongan pengundi di atas pagar. Oleh itu, kempen ke arah peratusan keluar mengundi yang tinggi dan meraih sokongan dalam kalangan kaum Melayu akan menjadi faktor penentu dalam PRN kali ini.

Kehilangan sokongan orang Melayu yang besar akan mengakibatkan PH kehilangan kuasa di Selangor dan Negeri Sembilan. Ini kerana golongan ini merupakan pengundi penting dan memainkan peranan dalam politik.

Walaupun PH dianggap mempunyai peluang besar untuk mengekalkan kuasa, potensi peralihan sokongan pengundi dan kehadiran ramai pengundi atas pagar boleh membuka jalan bagi PN untuk memperoleh kuasa.

PRN ini akan memberi impak besar terhadap landskap politik negara secara keseluruhan. Keputusan PRN ini tidak hanya akan mempengaruhi kerajaan di negeri-negeri terbabit, tetapi juga memberikan petunjuk awal tentang populariti dan sokongan bagi kerajaan perpaduan. Oleh itu, ia menjadi penting dalam meramalkan masa hadapan politik negara dan arah yang akan diambil dalam beberapa tahun akan datang.

Secara umum, Malaysia dipandang sebagai negara yang relatif stabil dari segi politik. Negara ini telah mengalami perubahan kuasa yang aman melalui beberapa pilihan raya umum. Walaupun terdapat beberapa perbalahan politik dan perubahan kerajaan dari semasa ke semasa, peralihan kuasa dilakukan dengan cara aman dan lancar.

Dalam mencapai kestabilan politik, penting untuk meneruskan usaha-usaha memperkuatkan institusi demokratik, memupuk budaya dialog dan kompromi serta memupuk kesedaran politik dan kebebasan awam.

Rakyat juga harus memainkan peranan penting dalam mengawal kuasa dan menjaga agar politik negara tetap stabil dan berteraskan kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Oleh itu, adalah wajar untuk pengundi memilih gabungan parti yang tidak berfikiran sempit. Perjuangan politik sempit ini disebabkan oleh sifat ego dan sikap lebih mementingkan kepentingan peribadi atau golongan tertentu, bukannya kepada kepentingan umum.

Dalam perjuangan politik sempit, pemimpin politik cenderung kepada menjaga kekuasaan dan memperoleh keuntungan peribadi atau parti sendiri daripada bertindak untuk mengatasi masalah dihadapi masyarakat.

Mereka sering kali menggunakan pelbagai taktik politik manipulasi seperti strategi membina persepsi negatif dan mencipta retorik yang memecahbelahkan masyarakat majmuk di negara ini untuk memperkuatkan kedudukan mereka.

Akibatnya, ia membantutkan kemajuan dan pembangunan negara. Oleh itu, pada Sabtu ini, pilihlah gabungan yang mempunyai pandangan dan pemikiran politik terbuka.

Yang penting, calon-calon yang masuk senarai pilihan pengundi mestilah memiliki ciri-ciri bak kata orang Kedah – kelolo, hemoi, tak perongoih sebaliknya senang didampingi. Dan mengambil pengalaman Kedah, kalau depa nak menang, depa kena buat kelaku (perangai) elok, sebab sejarah dah tunjuk dah, pengundi Kedah boleh kalih. – UTUSAN

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×