DAP tiba-tiba menggugurkan tujuh penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang. Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ketika membuat pengumuman tersebut menegaskan, parti itu perlu memberikan peluang berpolitik kepada bakat-bakat baharu demi kesinambungannya.
Beliau memohon agar mereka yang digugurkan itu akur dengan keputusan parti dan terus membantu Pakatan Harapan (PH) merebut tampuk pemerintahan Pulau Pinang buat penggal keempat.
Antara nama-nama digugurkan termasuklah lima Exco, iaitu P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri), Chong Eng (Ketua Wanita DAP), Phee Boon Poh, Yeoh Soon Hin dan Soon Lip Chee. Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pula ialah M. Satees (bekas ADUN Bagan Dalam) dan Chris Lee Chun Kit (bekas ADUN Pulau Tikus).
Beberapa pemimpin DAP beras kesal atas keputusan pucuk pimpinan Pusat. Ada mendakwa terdapat tangan tersembunyi telah menentukan barisan calon DAP dalam pilihan raya negeri (PRN). Mereka menuduh pemilihan calon PRN DAP tidak dilakukan secara telus dan adil.
Beberapa bulan lepas, terdapat khabar angin dari media dalam talian yang menguar-uarkan Pengerusi Nasional DAP, Lim Guan Eng mendapat sokongan sekumpulan ADUN DAP untuk menyandang semula jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang selepas PRN nanti. Laporan itu mengulas sumber maklumat dalaman mengkritik Ketua Menteri, Chow Kon Yeow kekurangan kepimpinan dan tidak berkarisma tinggi. Beliau juga dianggap terlalu lemah semasa berhadapan musuh politik.
Namun, hal itu menerima tentangan agak tegas daripada beberapa pemimpin DAP negeri yang memihak kepada Kon Yeow.
Sesungguhnya, DUN Pulau Pinang pernah meluluskan ketetapan bahawa seseorang ketua menteri hanya boleh menyandang jawatan tersebut selama dua penggal. Guan Eng telah pun memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang untuk dua penggal mulai 2008 sehingga 2018.
Tiga ahli Exco pada masa itu, iaitu Chong Eng, Yeoh Soon Hin and Soon Lip Chee segera mengekspresikan sokongan penuh agar Kon Yeow dikekalkan sebagai ketua menteri jika DAP berjaya menubuhkan kerajaan negeri selepas PRN nanti.
Bagaimanapun, pucuk pimpinan DAP Pusat segera memadamkan polemik itu agar tidak semakin memarak. Seterusnya DAP menegaskan, Kon Yeow akan terus menyandang jawatan ketua menteri jika mereka menang dalam PRN nanti.
Ramai percaya, nama-nama lama yang disingkirkan itu adalah dari kem Kon Yeow. Nama-nama baharu yang dicalonkan pula memihak kepada pucuk pimpinan DAP Pusat. Oleh demikian, barisan baharu mengancam kekuatan kem Kon Yew dalam DAP pada masa depan.
Kini, hanya tinggal Teh Lai Heng (bekas ADUN Komtar), iaitu Setiausaha Politik Ketua Menteri di sisi Kon Yeow. Nama Lai Heng masih dikekalkan dalam senarai calon baharu DAP untuk PRN, 12 Ogos ini.
Umum tertanya-tanya, ketiga-tiga Exco yang menyokong Kon Yeow telah digugurkan dari senarai calon ADUN yang baharu. Adakah ini merupakan ‘denda’ terhadap mereka yang memberanikan diri menyokong Kon Yeow?
RAHMAT
Sementara itu, seorang lagi Exco, Phee Boon Poh telah digantikan oleh anak perempuannya, Phee Syn Tze. Anak perempuannya diberi mandat untuk mempertahankan kerusi pegangan ayahnya.
Difahamkan kesemua 19 calon PRN Pulau Pinang kali ini merupakan barisan yang telah mendapat ‘rahmat’ daripada pucuk pimpinan Pusat.
Memandangkan barisan Exco yang bakal dibentuk adalah dalam kalangan ADUN yang berhaluan kepada pemimpin Pusat, maka mungkinkah mereka akan sehati dan sejiwa dengan ketua menteri?
Pemilihan DAP negeri dijadualkan berlangsung tahun depan. Para penyokong Kon Yeow juga risau sekiranya beliau tidak dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Negeri dan tidak berjaya mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang kelak, maka apa-apa sahaja mungkin boleh berlaku ke atasnya.
Krisis ini menunjukkan walaupun pada zahirnya DAP kini sudah merupakan sebuah parti yang besar dan kuat, namun komunikasi dalaman masih kurang sempurna. Prasangka sesama pemimpin dan konflik antara parti dengan akar umbi tetap wujud.
Sesungguhnya parti-parti politik biasanya mencungkil bakat baharu melalui proses pemilihan dalaman dari peringkat bawah. Hanya calon yang menonjol melalui pemilihan bawahan akan dicadangkan kepada pimpinan Pusat untuk pertimbangan lanjut.
Malangnya, amalan ini jarang sekali dipratik di negara kita. Kebanyakan masa, kuasa mutlak menentukan calon yang bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) terletak dalam tangan pemimpin tertinggi sesebuah parti politik. Oleh demikian, tidak hairanlah kadangkala calon yang dihantar pihak atasan ditolak oleh peringkat bawahan.
Pengguguran nama penyandang dan pengemuka calon baharu tanpa konsultasi dengan akar umbi disifatkan sebagai tindakan tidak patuh pada prinsip dan semangat demokratik.
Untuk mengelakkan kerap kali berlakunya perselisihan antara calon dan parti tentang isu pelantikan, perlu dihadkan penggal perkhidmatan maksimum pada saat pelantikan pertama sesuatu jawatan. Dengan itu, penyandang akan mengundurkan diri secara automatik apabila tamat tempoh perkhidmatan dan memberi laluan kepada barisan pelapis.
Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang baru meninggal dunia pernah berkata, “Apa pun jawatan yang kita pegang hari ini, sedarlah ia hanyalah sementara.” Amanat beliau itu seharusnya dijadikan peringatan kepada ahli-ahli politik.
Para pengundi sebenarnya menaruh harapan tinggi terhadap DAP. Maka parti itu perlu menghindari pergaduhan sesama pemimpin mereka. Hargailah barisan muda yang berbakat dan ikhlas. Jauhilah akhlak-akhlak keruntuhan seperti ego, tamak haloba dan gila kuasa.
Kesimpulannya, para pengundi lebih cenderung mengundi parti daripada memilih calon. Bahkan, dipercayai krisis pengguguran penyandang DUN DAP dijangka tidak terlalu menjejaskan kemenangan parti itu dalam PRN, 12 Ogos ini. – UTUSAN
PENULIS ialah lepasan program Sarjana Pengajian Media dari Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.










