SELESAI sudah bahang persaingan pilihan raya di enam negeri. Pemenang juga sudah diketahui, maka inilah masanya untuk yang menang membentuk kerajaan negeri, menunaikan segala janji dilafazkan melalui manifesto.
Pengundi telah menunaikan tanggungjawab dengan memberi mandat kepada calon dan parti yang dilihat mampu menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka untuk tempoh lima tahun akan datang. Justeru, mandat diberikan itu perlu diterjemah dengan pelaksanaan segala janji dilontarkan sepanjang berkempen tempoh hari.
Kita tidak mahu janji tinggal janji atau sekadar menjadi gula-gula politik sebelum hari pengundian untuk mengkaburi mata rakyat dan meraih undi. Setiap calon yang menang perlu segera turun padang mendekati para pengundi tidak kira dari parti mana untuk menyantuni dan menyelesaikan masalah menghantui mereka selama ini.
Ironinya, inilah masa terbaik untuk semua parti dan ahli politik baik kerajaan mahupun pembangkang melakukan gencatan senjata dan letak titik noktah kepada soal politik dan perebutan kuasa. Tiada keperluan lagi untuk terus mempertikai mandat diberikan sehingga mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri.
Dalam konteks ini, semua pihak perlu menghormati pilihan dibuat oleh pengundi dan terima keputusan tersebut dengan hati terbuka. Buang jauh-jauh segala perbezaan ideologi politik yang ada, sebaliknya carilah titik persamaan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
Hakikatnya, proses pilihan raya diadakan bagi memilih pemimpin dan kerajaan secara demokratik. Oleh itu, jangan lazimi sebarang budaya tidak sihat seperti menyokong atau menggerakkan apa-apa usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang baharu dibentuk di luar proses demokrasi seperti rampasan kuasa atau menggunakan keganasan. Ini bukan budaya kita dan juga bukan budaya politik matang dan sihat.
Sewajarnya pembangkang memberikan ruang secukupnya kepada kerajaan untuk melaksanakan amanah mereka melalui perancangan teliti tanpa sebarang gangguan. Laksanakan tugas semak dan imbang selaku pembangkan yang kredibel, matang dan profesional demi memastikan kerajaan menunaikan janji sekali gus membantu rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti seperti dijanjikan.
Dalam hal ini juga, kita tidak mahu adanya amalan budaya politik dendam, yakni yang menang menekan dan membalas dendam terhadap yang kalah. Parti yang menang perlu menginsafi kemenangan ini dan menerima sebagai satu tanggungjawab dan amanah yang besar kepada rakyat di negeri masing-masing. Jangan terlalu ghairah meraikan kemenangan kerana kita tidak mahu yang kalah jadi abu dan yang menang jadi arang. Tuntasnya, jangan jadikan rakyat sebagai mangsa keadaan setelah memberikan kepercayaan untuk memerintah.
BOSAN
Percayalah, rakyat sudah bosan dengan budaya berpolitik berlebihan yang ditonjolkan oleh ahli politik mutakhir ini. Rakyat tidak mahu semua perkara dipolitikkan tatkala kehidupan harian semakin dicengkam pelbagai masalah seperti kenaikan kos sara hidup serta kesukaran menjana pendapatan untuk menampung kehidupan seisi keluarga.
Ironinya, kita perlu keluar dari kerangka budaya hidup dalam dunia politik sebaliknya membudayakan ekosistem politik hanya sebahagian daripada kehidupan dan satu platform yang boleh membantu membangunkan rakyat dan negeri serta negara secara keseluruhannya.
Justeru, melangkah ke hadapan sewajarnya parti pemerintah berjiwa besar dan berlapang dada membuka laluan kerjasama yang matang dan profesional dengan pembangkang demi mewujudkan kestabilan politik di negeri masing-masing.
Antara langkah awal boleh diambil ialah meterai memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pembangkang bagi meredakan suhu politik yang semakin membahang dan membimbangkan. Buktikan ahli politik semakin matang dan mempunyai satu tujuan yang sama, iaitu memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Dalam kerangka lebih besar, perkara sama wajar berlaku antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang diperintah oleh parti berbeza.
Amalan politik matang serta menghormati pembangkang bukan sahaja boleh menaikkan populariti dan imej pemerintah sebaliknya turut merintis jalan ke arah pembentukan kerajaan yang kuat dan stabil di samping membentuk budaya politik lebih sihat dan menguntungkan semua pihak, khususnya rakyat.
Antara pendekatan matang wajar dilaksanakan ialah jangan sesekali menafikan sebarang hak dan bantuan kepada pengundi di kawasan yang tidak menyokong atau dimenangi oleh pembangkang. Sebaliknya hulurkan bantuan sama dan seimbang untuk semua lapisan rakyat sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab terhadap seluruh rakyatnya. Biar rakyat menilai sikap ikhlas kerajaan memerintah.
Langkah-langkah untuk memupuk dan memperkasa perpaduan kaum juga perlu terus diberi nafas baharu di setiap negeri terbabit yang selama ini turut berantakan disebabkan politik kepartian dan perkauman. Hentikan budaya menjadikan kaum dan agama sebagai senjata dan alat untuk menakutkan rakyat dan memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Ayuh, kita tutup sementara buku pilihan raya dan segera fokus kepada segala usaha untuk membalas kepercayaan diberikan oleh rakyat. Tanggungjawab pengundi sudah selesai manakala tanggungjawab Yang Berhormat baru sahaja bermula. Jangan kecewakan harapan rakyat. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis isu semasa.










