Projek indie penulis pelbagai kaum

Projek indie penulis pelbagai kaum

PROJEK indie, The Painted Cat berjaya kerana menerima sokongan padu daripada para penterjemah, penyunting, pereka letak dan penyumbang modal sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN peruntukan khas sudah diumum dalam pembentangan belanjawan pada Februari lalu khusus bagi menggerakkan usaha menterjemah karya bermutu, kita masih menanti pihak terbabit melaksanakan tugas yang diamanahkan. Sementara itu, peri penting menterjemah karya pengarang tempatan dalam bahasa Inggeris, Tamil, Mandarin, Iban, Kadazan dan sebagainya kepada bahasa kebangsaan turut dibincangkan peserta Pertemuan Penulis Malaysia di Pusat Kebudayaan India, Brickfields, Kuala Lumpur pada 14 Mei lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Persatuan Penulis Berbilang Bahasa (PEN Malaysia) yang baru sahaja diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada Jun lalu turut ada biro khas bagi menjayakan projek terjemahan silang karya pelbagai bahasa oleh pengarang Malaysia. Persatuan Penulis Malaysia yang bermula sebagai Komuniti Penulis Malaysia pada 2014 turut mengambil langkah menyatukan penulis pelbagai kaum walaupun kebanyakan karya dan buku terbitannya dalam bahasa Inggeris.

Bagi Kumpulan Sasterawan Kavyan yang giat melaksanakan program bahasa dan sastera di seluruh negara sejak 1999, perhatian turut diberi kepada usaha menterjemah karya penulis tempatan kepada bahasa rasmi di negara ini. Program pertemuan, interaksi dan perkongsian ilmu melibatkan penulis pelbagai kaum yang menghasilkan karya pelbagai bahasa diadakan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai pihak. Usaha seperti ini dilakukan kerana kita tidak boleh terlalu bergantung kepada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang mungkin sahaja tidak memiliki kepakaran dan iltizam untuk melaksanakan kerja-kerja terjemahan secara menyeluruh dan bersungguh-sungguh.

Saya baru sahaja menerbitkan kumpulan cerpen yang ditranskreasi (transcreate) ke bahasa Inggeris dengan judul The Painted Cat. Projek ini berjaya hasil sokongan padu para penterjemah, penyunting, pereka letak dan penyumbang modal sosial. Berbekalkan pengalaman dan semangat daripada kejayaan projek indie ini, saya dan rakan-rakan bercadang mengusahakan pula projek terjemahan karya sekumpulan penulis Malaysia dalam bahasa kebangsaan.

BORNEO

Selain karya bahasa Inggeris, Tamil dan Cina, kita usah lupa akan karya bahasa-bahasa lain seperti Iban dan Kadazan yang mungkin akan pupus jika tidak diberi perhatian. Keunikan dan keistimewaan karya bahasa-bahasa itu wajar disajikan dalam terjemahan untuk dinikmati semua lapisan masyarakat.

Pemilik syarikat penerbitan Buku Fixi, Amir Muhammad yang berada di Sarawak baru-baru ini mencatatkan pengalaman dan pemerhatian bahawa ada banyak karya bahasa Iban tetapi tiada usaha bersungguh-sungguh menterjemah kepada bahasa kebangsaan. Malah, Biro Kesusasteraan Borneo diasaskan pada 1958 bagi menerbitkan banyak buku bahasa suku etnik tetapi lupus selepas diambil alih Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah pada 1977.

Sebagaimana dilakukan dalam projek The Painted Cat, terjemahan yang bakal dilakukan merujuk kepada transkreasi dan bukan semata-mata terjemahan (translation) secara konvensional seperti lazim dilakukan DBP.

Projek ini masih pada peringkat awal perancangan dan mencari penulis serta tenaga penterjemah yang sesuai. Tentulah peluang hanya dibuka kepada warganegara Malaysia kerana projek ini bertujuan mengangkat karya bermutu mewakili ‘suara’ dan ‘identiti’ penulis pelbagai kaum di Malaysia.

Bagi melaksanakan kerja terjemahan, penulis terbabit boleh sama ada melakukan sendiri, mendapatkan khidmat penterjemah yang dikenalinya, atau menyerahkan tugas itu kepada pihak penyelaras projek.

Tentu sahaja tenaga penterjemah diperlukan bagi menjayakan projek ini kerana melibatkan karya pelbagai bahasa dan perlu pula disajikan dalam bahasa kebangsaan bermutu untuk bacaan umum. Individu yang mahu menjadi penterjemah dalam projek ini tidak semestinya memiliki sijil rasmi sebagai bukti kelayakan. Sebaliknya, berdasarkan pengalaman peribadi dalam projek The Painted Cat, saya mendapati individu yang benar-benar memiliki minat mendalam mampu memberikan hasil lebih baik berbanding individu yang sekadar melakukan terjemahan sebagai suatu pekerjaan.

ROYALTI

“Penterjemah tidak semestinya berdaftar dengan Institu Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Mereka juga boleh menggunakan kepakaran yang ada dengan menjadi penterjemah sambilan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Sakri Abdullah pada acara Borak Santai ITBM pada 7 Januari 2022.

Hak cipta karya dipastikan masih milik penulis asal manakala nama penterjemah dinyatakan pada buku yang bakal diusahakan. Memandangkan projek ini diusahakan secara indie, mungkin sahaja penulis dan penterjemah tidak dibayar royalti atau honorarium.

Sebaliknya mereka yang terbabit akan menerima buku dalam jumlah tertentu. Terpulang kepada mereka jika mahu menjual buku berkenaan dan mendapatkan wang.

Tentu sahaja akan ada pihak yang membandingkan projek terjemahan ini dengan apa-apa yang sudah dan mampu dilakukan oleh DBP atau ITBM.

Memanglah kedua-dua institusi gergasi itu mampu mencetak buku dalam jumlah yang lebih besar, diedarkan ke seluruh negara secara meluas serta membayar royalti lumayan kepada penulis dan penterjemah.

Kita perlu ingat bahawa ITBM dan DBP menerima dana khas daripada kerajaan untuk melaksanakan kerja-kerja itu. Sebaliknya, projek yang sedang saya usahakan dengan bantuan rakan-rakan penulis pelbagai kaum merupakan usaha kecil-kecilan oleh pihak yang benar-benar terlibat secara langsung dan sepenuh jiwa dalam bidang penghasilan karya pelbagai bahasa.

Mungkin sahaja antologi cerpen yang terhasil nanti tidak sehebat buku terbitan DBP dan ITBM. Tidak mengapa kerana kami tidak mampu dan tidak mahu bersaing dengan pihak yang menerima dana khas RM20 juta daripada kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab hakiki. Sebaliknya, kami mahu menyumbang kepada usaha memperkaya khazanah bahan bacaan bahasa kebangsaan menerusi kerja-kerja terjemahan membabitkan pelbagai pemegang taruh yang berusaha secara sukarela dan sepenuh jiwa.

Biarlah nanti budaya masyarakat majmuk yang disajikan penulis pelbagai kaum dalam karya berbilang bahasa dipersembahkan dalam satu bahasa yang difahami seluruh Bangsa Malaysia, iaitu bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kita. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN