Percepat RUU Dana Politik demi pilihan raya telus

Percepat RUU Dana Politik demi pilihan raya telus

DI United Kingdom terdapat Akta Parti-Parti Politik, Pilihan Raya dan Referendum 2000 bertujuan mengawal selia perundangan berkenaan pendanaan politik. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“APABILA menjadi pemimpin, tugasmu menjadi payah – Jangan ikut resmi ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul kerana yang berjalan betul itu bukan kaki tetapi hati nurani” – Sasterawan Negara Baha Zain.

Saya kira mutiara kata ini amat bersesuaian dengan keadaan semasa di mana kerajaan digasak agar mempercepatkan Rang Undang-Undang (RUU) Dana Politik seperti telah dicadangkan dan didraf sebelum ini. Di Malaysia, masih tiada perundangan yang mengawal selia pendanaan politik. Malah menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), tiada undang-undang sedia ada yang membenarkan sumbangan dana kepada parti politik. Menurutnya lagi, penyaluran dana kepada parti politik boleh disabitkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 sekiranya dikesan mempunyai elemen rasuah. Oleh demikian, Akta Dana Politik penting untuk memastikan sumbangan kepada parti politik tidak termasuk dalam kategori rasuah lebih-lebih lagi apabila melibatkan parti pemerintah.

Benar, RUU ini tidak memberikan kesan secara langsung kepada kualiti hidup atau kebajikan rakyat. Barangkali kerana itu, ramai tidak mengambil endah sama ada RUU ini digubal kerana tidak mempunyai hubungan langsung dengan mereka. Kendatipun begitu, RUU ini signifikan kepada pembentukan negara lebih berintegriti dan demokrasi telus, lebih-lebih lagi pemimpin-pemimpin di Parlimen yang lahir daripada sistem pilihan raya. Justeru, sistem pilihan raya yang telus, seimbang dan kompeten amat diperlukan.

Pendanaan politik ini bukanlah suatu yang asing. Di negara-negara luar telah lama memperkenalkan akta khusus berkaitan pendanaan parti politik. Misalnya, di United Kingdom (UK) terdapat Akta Parti-Parti Politik, Pilihan Raya dan Referendum 2000. Akta ini diperkenalkan hasil daripada perbincangan parti-parti politik dan cadangan daripada jawatankuasa bebas ditubuhkan oleh Perdana Menteri ketika itu, John Mayor bertujuan mengawal selia perundangan berkenaan pendanaan politik.

Di Bahagian IV akta ini menyatakan secara terperinci berkenaan derma kepada parti-parti politik dan ahlinya. Misalnya dalam Seksyen 54, ada menggariskan pihak-pihak yang boleh menderma kepada parti-parti politik dan sekiranya derma diperoleh tidak daripada pihak yang dibenarkan, suruhanjaya boleh memohon kepada mahkamah untuk merampas derma tersebut sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 58. Akta ini juga mempunyai peruntukan khusus di Bahagian V berkenaan kawalan terhadap perbelanjaan kempen yang mana semuanya perlu dilaporkan kepada suruhanjaya pilihan raya di UK.

SPRM

Begitu juga di Australia, terdapat perundangan berkenaan pendanaan melalui Akta Pindaan Perundangan Pilihan Raya (Pendanaan Pilihan Raya dan Akta Pendanaan Pilihan Raya dan Pendedahan Pembaharuan) 2018. Menurut akta ini, objektif utama adalah untuk mewujudkan pendanaan pilihan raya yang adil dan telus, selain mengekang rasuah dan pengaruh tidak wajar dalam kerajaan negeri atau tempatan dan membantu kesedaran masyarakat berkenaan derma politik. Akta ini telah diluluskan oleh Parlimen Australia dan berkuat kuasa 1 Disember 2018. Melalui akta ini, derma dari negara atau individu asing adalah dilarang sama sekali. Malah definisi penderma asing dinyatakan secara jelas dalam Seksyen 287AA.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu, Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan RUU ini akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3 Oktober hingga 29 November 2022. Namun, Parlimen telah dibubarkan pada 10 Oktober 2022 untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijalankan. Kerajaan baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ke-10 turut memberikan komitmen untuk memperkasakan sistem danaan politik dalam negara. Pun begitu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) kini mengatakan RUU

Dana Politik akan dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen agar semua ahli Dewan Rakyat boleh memberi pandangan dan cadangan bagi menjamin semua aspek penting diambil kira. Sehingga kini, tiada makluman bilakah RUU Dana Politik akan dibahas di Parlimen.

Jadi, persoalannya kini, bilakah RUU Dana Politik akan dibentangkan di Parlimen? Sedangkan di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terdahulu, RUU Pembiayaan Dana Politik telah dibincangkan, malah dilakukan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara. Yang masih berbaki hanyalah libat urus bersama pelbagai pemegang taruh belum lagi dilakukan pada masa itu.

Wujud gesaan daripada pelbagai pihak, misalnya Kumpulan Rentas Parti Politik Parlimen Malaysia yang menggesa RUU ini dapat dibentangkan selewat-lewatnya Mac 2024. Sehubungan itu, kerajaan harus bertindak pantas kerana RUU ini adalah suatu yang mustahak dan mendesak bagi mewujudkan persekitaran politik lebih sihat.

Tuntasnya, RUU untuk mengawal pendanaan politik perlu dilakukan dan kaedah berkesan bagi memastikan tiada pihak yang cuba memanipulasikan perundangan perlu disegerakan. Diharapkan juga kerajaan dapat mempertimbangkan mewujudkan peruntukan khas dalam RUU tersebut untuk melarang pendanaan daripada entiti asing. Ini penting untuk memastikan tiada tangan asing mengatur politik tempatan atau tiada ahli politik Malaysia rela dijadikan buah catur asing yang mencampuri urusan negara.

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA); dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×