MUKADIMAH
TIDAK dapat dipastikan sama ada kukuhnya atau tidak semangat setiakawan antara parti di bawah naungan Kerajaan Perpaduan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) setakat ini.
Melihat kepada pendirian parti komponen BN yang hanya menyokong calon UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan, sudah semestinya menimbulkan 1,001 persoalan.
Malah ada segelintir pihak melihat tindakan tersebut yang merupakan protes terhadap PH bakal memberi implikasi sendiri kepada MCA dan MIC.
Justeru wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Naib Presiden MCA, DATUK SERI TI LIAN KER bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu jurufoto FAUZI BAHARUDIN.
MINGGUAN MALAYSIA: MCA dilihat paling lantang dan agak ‘keras’ dalam Kerajaan Perpaduan. Mengapa?
LIAN KER: Sekarang ini kecoh sebab ramai yang main politik dan tidak ikhlas. Saya selalu cakap kita sebenarnya memerlukan pekerja politik dan bukannya pemain politik. Masalahnya sekarang DAP nampak jelas bermain politik. Sebab apa saya katakan begitu?
Pertama kerana Deklarasi Setapak. Persoalan, mengapa ada perbezaan isi kandungan dalam bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Inggeris?
Inilah saya katakan sebagai mainan politik yang menumpukan kepada kumpulan berbeza untuk mengikut nada dan rentak berbeza. Ia sudah tentu berbahaya lebih-lebih lagi dalam struktur kepelbagaian rakyat Malaysia.
Dahulunya kita ada BN, jadi boleh wujudkan semangat tolak ansur dan hormat menghormati. Maknanya di sini isu dalaman akan diselesaikan tanpa perlu kecoh di luar sana. Begitu juga di peringkat akar umbi.
Bagaimanapun, itu semua dicabar DAP pada masa dulu, kononnya sebab kita terima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan akur pada dasar kerajaan yang menerapkan nilai agama dan Melayu. Ini kemudian dijadikan provokasi perkauman DAP. Selepas itu, pemimpin MCA satu ketika dulu ada yang dibenci masyarakat Cina seperti Tun Tan Siew Sin.
Semua pemimpin Cina dibenci sebab kita rai kemajmukan. DAP pula dengan Deklarasi Setapaknya yang menuntut penghapusan kuota bumiputera sebagaimana terkandung dalam bahasa Cina. Tapi apabila dalam bahasa Melayu dan Inggeris lain isi kandungannya.
Begitu juga dengan perkara lain seperti mahu menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan menjadikan bahasa Cina serta Tamil dapat digunakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Dewan Rakyat.
Apabila kaum Cina terutama golongan muda baca, ini menunjukkan DAP memperjuangkan hak orang Cina dan ini semestinya dapat meraih sokongan. Orang Melayu pula akan menganggap mereka ini parti yang sederhana walhal versi bahasa Melayu sudah ditapis.
Maka sebab itu, saya terus angkat isu ini dan mahu DAP bertanggungjawab, lebih-lebih lagi mereka sekarang sudah jadi kerajaan. DAP perlu ikhlas meminta maaf sebab bertanggungjawab dengan naratif perkauman mereka dahulu yang ditulis dan sehingga sekarang masih ada.
Walhal semasa kita jadi kerajaan dahulu, mereka lah yang selalu mengadu dombakan MCA dan UMNO. Semua isu yang telah kita selesaikan dan kita bersetuju untuk tidak bersetuju, DAP akan bangkitkan dan paksa MCA selesaikan. Apabila jadi begini, mestilah kaum Cina lain lihat MCA tidak berani. Jadi, untuk berlaku adil kita perlu perbetulkan keadaan. DAP perlu memulakan bab baharu dan meminta maaf.
DAP TIDAK IKHLAS
Adakah tindakan menarik diri daripada PRN memberi gambaran negatif terhadap hubungan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan?
DAP nampak tidak ikhlas. Di satu pihak, mereka suruh kerjasama tetapi di satu pihak lain mereka kata semua kerusi yang mereka menang tidak akan diberi laluan.
Itu namanya bukan tolak ansur. Selepas itu, ada satu ketika Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching kata hanya sokong UMNO tapi bukan sokong BN. Apabila diminta berbincang, mereka hanya mahu dilibatkan dengan UMNO sahaja.
Saya juga masih ingat DAP pernah mengatakan satu perkataan dalam bahasa Cina ‘Jiaomie’ iaitu mahu menghapuskan MCA. Itu laungan mereka yang pada saya terlalu ekstrem. Masyarakat Cina pula pada masa itu berpegang kepada prinsip asalkan bukan UMNO dan hapuskan MCA. Kebencian ini masih ada dalam naluri penyokong dan mereka yang ‘atas pagar’. Jadi, sudah tentu DAP perlu minta maaf dahulu.
Kalau tidak (minta maaf) dan kita teruskan bekerjasama, maka lahir perasaan tidak ikhlas. Malah kita tahu lambat laun mereka akan bergaduh dengan UMNO (seandainya tiada permohonan maaf), sama sebagaimana ketika bekerjasama dengan Pas dulu.
Satu lagi perlu ingat DAP seringkali menekankan prinsip Cekap, Telus dan Amanah (CAT). Tapi sekarang apa sudah jadi? DAP sudah tidak cakap lagi mengenai CAT. Begitu juga sijil peperiksaan bersepadu (UEC).
DAP sekarang perlu beri penjelasan agar mereka yang sokong tidak tertipu. Ini dalam masa sama dapat mengembalikan maruah MCA, MIC, UMNO dan BN. Kerana apa? Kerana maruah parti dan ia bukan lagi soal menang atau kalah. Kalau kalah atau menang pun siapa jadi kerajaan akhirnya kena menghormati rakyat.
Kita tidak kisah sangat siapapun boleh jadi kerajaan asalkan rakyat sokong. Akan tetapi kita janganlah melampau sangat sebagaimana DAP buat. Mereka menjadi radikal untuk mengaut undi. Sekarang ini, dalam DAP masih ada golongan radikal 30 peratus lagi dan kalau tidak mendidik, mereka akan jadi radikal pada platform lain pula.
MAIN POLITIK
Apakah jangkaan Datuk Seri terhadap hubungan parti komponen BN bersama PH ketika menghadapi PRU16?
Sekarang kita bukan satu gabungan yang telah didaftarkan dan cuma satu kerajaan di bawah nama Kerajaan Perpaduan. Sebelum PRU15, tiada pun wujudnya Kerajaan Perpaduan. Jadi, apakah perjuangan Kerajaan Perpaduan sebenarnya?
Semasa PRN Melaka dan Johor pun kita bertanding tiga penjuru.Tapi masing-masing mempertahankan perjuangan sendiri. Misi DAP sebenarnya mahu berkuasa. Asalkan dulu siapa yang mereka boleh bekerjasama. Apabila sampai masa mereka juga boleh bergaduh.
Sepatutnya jelaskan juga penyokong untuk mereka memahami dan menyerap perubahan yang telah dilakukan. Pimpinan DAP perlu bertanggungjawab dan beritahu mana silap mereka serta mana yang mereka fitnah. Kalau setakat minta maaf dengan Sarawak sahaja itu tidak kena. Ini bermakna mereka pilih-pilih dan main politik.
Lagipun gabungan sekarang (BN dan PH) adalah kerajaan bersama dan bukannya parti bersama. Kalau hendak parti bersama perlu panggil semua untuk duduk dan bukan semata-mata panggil UMNO sahaja dengan mengetepikan MCA dan MIC. Kalau ini berlaku sudah pasti ia menunjukkan ketidakikhlasan. Malah, ia bukan budaya kita
Kita (BN) boleh wujud disebabkan keikhlasan MCA, MIC dan UMNO pada masa dulu. Walaupun ada beberapa perkara masyarakat Cina tidak setuju, tetapi kita boleh terima landasan UMNO dan realiti politik. Berbanding dengan DAP, dasar mereka mengatakan satu kaum tidak boleh dominan. Semua isu ini masih ada lagi dalam naluri kebanyakan penyokong mereka.
Kalau mahu menidakkan retorik politik mereka yang berlandaskan 3R (agama, bangsa dan raja), mereka kena tarik balik provokasi menerusi dasar dan deklarasi yang dibuat sebelum ini. Kalau tidak selagi mana ia tidak ditarik balik kita bukan di atas landasan ikhlas dan suci.
Sama juga kalau hari ini sebagai contoh 90 peratus orang Melayu sokong Pas. Ini bermakna Melayu telah pun jadi radikal. Dalam erti kata lain, negara kita sekarang semakin tegang walaupun sudah bergabung dengan PH dan BN. Ketegangan perkauman itu timbul, sekaligus menunjukkan Pas dan DAP menjadi dua kuasa radikal dalam PN serta PH.
Seandainya tiada permohonan maaf daripada DAP?
Saya sekarang atas peribadi akan terus dedahkan elemen tidak sihat seperti propaganda dan dan keburukan serta ketidakikhlasan mereka. Dulu pun ada orang cakap saya kacau DAP. Tapi bukan kacau sebenarnya. Kita mahu jadi semak dan imbang.
Kita tidak mahu menteri DAP hanya pandai bercakap tanpa ada rasa tanggungjawab dan amanah. Pada saya, sama ada parti setuju atau tidak dengan kenyataan saya, suara hati akan terus dilontarkan.
MCA SUDAH CUKUP KUAT
Adakah MCA rasa dianaktirikan?
MCA cukup kuat. Kita ada jalinan dan hubungan baik dengan semua peringkat termasuk akar umbi. Paling penting ahli MCA tidak tinggalkan parti secara dalam kumpulan sebab kita bukan golongan oportunis. Ramai yang masuk MCA kerana mahu berkhidmat dan menjadi jambatan serta perantara kepada akar umbi.
Kalau dilihat pada sejarah pun, kita bermula sebagai parti kebajikan. Kita masuk politik apabila ada kekosongan suara untuk mewakili masyarakat Cina. Kita juga bukan mahu menjadi menteri pada masa itu. Satu lagi perlu diingat walaupun ada orang kata MCA kaya, tetapi kita cuma ada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT).
Itu pun amanah. Kita langsung tidak sentuh wang itu untuk tujuan politik. Sampai sekarang kita ada ratusan juta simpanan untuk pembangunan pendidikan tanpa mengira kaum dan bukannya untuk orang Cina sahaja.
Malah kita tidak pernah tukar ‘kawan’ dan sentiasa ikut landasan BN. Ada satu masa kita fikir mahu bubarkan BN kerana merasakan pada masa itu (BN) sudah tidak relevan. Kita bukan hendak tinggalkan UMNO. Kita mahu bubarkan pada masa itu seandainya BN tidak mahu bergerak diatas landasan BN.
Tetapi orang salah faham kata kita mahu tarik sokongan keluar BN. Masa hari ini, kalau kata PH dan BN mempunyai maruah dan mahu menjadi satu parti sahaja, carilah UMNO. Janganlah buat atas nama BN. DAP sekarang misi mereka hendak menjelma sebagai parti Melayu.
Dulu mereka memperalatkan Pas, selepas itu Parti Amanah Negara (Amanah) selain beberapa tokoh Melayu lain. Sebenarnya, DAP takut sangat untuk menghadapi fakta atau kenyataan mereka yang lepas.
Bagaimanapun sejarah adalah pelajaran terbaik. Kita memerlukan imbasan (sejarah ) bukan mahu balas dendam, tetapi sebagai keadilan untuk MCA. Kita selama ini bukan menggadaikan orang Cina atau tunduk pada UMNO, tetapi keputusan patriotik berlandaskan semangat kebangsaan dan demi negara.
Dan dulu pemimpin MCA dicaci, merupakan satu kesilapan buat DAP. Jadi, DAP perlu minta maaf. Ini juga hutang sejarah DAP pada MCA. Selepas itu (minta maaf) barulah boleh jadi kawan tanpa waspada. Pada masa ini saya merasakan mereka masih tidak ikhlas dalam laungan perpaduan dan kerjasama dengan BN. Ia hanya mainan politik semata-mata untuk mengaut sokongan orang Melayu melalui UMNO.
Saya bukanlah mahu memainkan isu 3R. Tetapi saya cuma secara menyatakan secara ilmiah apa yang pernah dimainkan DAP dan berharap mereka perbetulkan keadaan.
MCA BUKAN PARTI ‘USAHAWAN’
MCA tidak lagi relevan?
Kita sentiasa relevan. Parti kita lebih besar daripada DAP dan kita bukan bergantung pada kuasa atau projek. Akar umbi kita tidak dapat projek dan kalau dapat projek pun atas inisiatif sendiri. Bukannya parti.
Tetapi DAP buat tohmahan bahawa MCA parti ‘usahawan’ walhal usahawan cari kita. Kini semua ahli perniagaan pun cari DAP.
Hakikatnya adalah MCA satu parti yang ada infrastruktur. Setiap pelosok kampung baru Cina ada MCA kerana kita menyuarakan suara kaum kita secara sederhana.
DAP pula menyuarakan suara orang Cina secara lantang. Sebab itu, mereka dapat menanam persepsi bahawa merekalah yang memperjuangakan kepentingan orang Cina dan MCA pula sebaliknya, konon kita menggadaikan kepentingan orang Cina.
Sebab itu, saya katakan DAP perlu minta maaf bukan pada Sarawak terlebih dahulu sebaliknya pada kita. MCA tidak akan mainkan isu perkauman semata-mata mahu undi.
MCA bantu dalam PRN?
Kita bukan dalam satu pakatan atau bukan dalam DAP. Sekarang ini saya mahu bertanya adakah parti yang bertanding dalam PRN bergerak atas nama parti atau kerajaan?
Atas parti bukan? Jadi, kita akan bertindak atas parti. Macam PRN Melaka dan Johor, kita tidak menyokong Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tetapi kita bergerak sebagai sebuah kerajaan pada masa itu. Cuma sekarang DAP pula ubah peraturan dan mahu untungkan mereka sahaja. Cuba anda bayangkan bagaimana kalau saya berdiri satu pentas dengan tokoh DAP yang dulu kita maki dan kutuk mereka? Sudah tentu penyokong tawar hati. Apabila Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berdiri bersama Pengerusi DAP Lim Guan Eng, banyak undi UMNO akan lari.
Sebab itu, kita tetapkan syarat DAP perlu tarik balik fitnah dan tohmahan terhadap MCA. Itu asas paling mudah. DAP ada kesilapan. Mereka perlu tunjuk keterbukaan dan kita boleh saja ikut mereka selepas itu. Kita bukan mahu bermusuhan, kita hanya mahu perbetulkan keadaan dengan naratif politik lebih sederhana dan positif untuk masa depan negara.
Bagaimana dengan barisan kepimpinan baharu DAP sekarang?
Ada segelintir yang oportunis dalam DAP sama sebagaimana MCA.Tetapi perbezaannya, pemimpin MCA tidak pernah mahu melemahkan orang Melayu. Amalan dan budaya MCA bertanggungjawab. Ramai suara masyarakat Cina mahukan sesuatu yang mungkin bertelagah dan bercanggah dengan kehendak pandangan politik majoriti.
Kita hanya akan terima sesuatu isu itu mengikut kesesuaian ekosistem politik tempatan. Namun itu tidak bermakna MCA menidakkan golongan ini. Kita tetap menyuarakan tuntutan dan hasrat mereka secara sopan santun dan bukan secara biadab. – Mingguan Malaysia










