Bantuan rakyat pun nak dipolitikkan

Bantuan rakyat pun nak dipolitikkan

MAJLIS Peluncuran Memperkasa Ekonomi Madani yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, kelmarin memperincikan secara jelas mengenai dasar ekonomi negara yang akan dibawa kerajaan. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini kerajaan perpaduan dikecam oleh beberapa pihak kerana didakwa tidak mempunyai dasar jelas untuk membawa hala tuju negara ke arah kestabilan ekonomi lebih baik. Perkara ini dikatakan menimbulkan ketidakyakinan dalam kalangan para pelabur untuk melabur di negara ini malah sesetengahnya menarik balik pelaburan masing-masing.

Pagi kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membacakan ucapan bertajuk Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang teksnya setebal 40 muka surat bersempena Majlis Peluncuran Memperkasa Ekonomi Madani.

Di dalamnya terdapat pernyataan dasar yang jelas bagaimana ekonomi negara ini akan dibawa kerajaan perpaduan yang diperincikan oleh beberapa lagi dasar khusus bakal diumumkan kelak. Antaranya Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

Pada petangnya pula, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli melancarkan Fasa 1 NETR yang merupakan satu tindakan radikal sebuah kerajaan reformis untuk memacu ekonomi negara. Ia akan menjana pelaburan melebihi RM25 bilion, mewujudkan 23,000 peluang pekerjaan berkemahiran dan bernilai tinggi serta mengurangkan 10,000 gigagram pelepasan karbon dioksida setahun.

Apa diungkapkan oleh Anwar kelmarin adalah satu perancangan teliti seorang Perdana Menteri untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara dengan menstruktur semula ekonomi sebagai peneraju di rantau Asia Tenggara yang akhirnya akan memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan lebih bermutu.

Satu bahagian daripadanya ialah menangani segera isu-isu semasa. Ini dilakukan melalui penetapan sasaran jangka pendek yang sudah pun digerakkan termasuk menyegerakan pelaksanaan projek sekolah dan klinik daif, menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini juga serta pengenalan konsep Payung Rahmah untuk menangani kenaikan kos sara hidup.

Satu bahagian lagi ialah isu-isu jangka panjang terkait daya saing dan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan melalui penetapan tujuh penanda aras yang mahu dicapai sebelum 10 tahun, iaitu:

Pertama, Malaysia berada di antara 30 ekonomi terbesar dunia.

Kedua, indeks daya saing global di tangga ke-12 teratas dunia.

Ketiga, peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

Keempat, kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus.

Kelima, indeks pembangunan manusia di tangga 25 teratas dunia.

Keenam, indeks persepsi rasuah di tangga 25 teratas dunia.

Ketujuh, kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3 peratus atau lebih rendah.

Untuk meletakkan negara sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara, Anwar menetapkan sasaran untuk mencapai pertumbuhan ekonomi antara 5.5 hingga 6 peratus yang boleh dicapai jika kita berusaha gigih dan melaksana pembaharuan berbanding pertumbuhan antara 4 hingga 5 peratus jika kita hanya berpuas hati dengan keadaan sekarang.

GAJI BERMAKNA

Untuk merealisasikan sasaran besar ini, Anwar berkata, kita perlu membentuk integrasi ekonomi lebih besar dengan negara jiran yang perlu melangkaui perjanjian perdagangan bebas, diikuti pengenalan misi baharu perindustrian di bawah NIMP akan menumpukan aktiviti dengan nilai tambah tinggi atau kecanggihan ekonomi serta pengenalan insentif cukai berasaskan pencapaian.

Bagi meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama pula, Anwar meletakkan sasaran untuk tergolong antara 12 ekonomi terbaik di dunia dari segi daya saing dan ease of doing business. Dan buat permulaannya, beberapa syarikat menzahirkan komitmen pelaburan, antaranya Sumitomo Corporation, Tesla, Rongsheng dan Samsung Engineering.

Antara usaha akan dilaksanakan ialah memperkukuh agensi galakan pelaburan di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), mengkaji semula insentif pelaburan supaya tertumpu kepada galakan pelaburan yang menjana pekerjaan berpendapatan tinggi serta daripada sumber tempatan, dan menaik taraf kawasan perindustrian dengan prasarana lengkap serta meningkatkan pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan pelabur.

Banyaklah lagi diperkatakan oleh Anwar untuk membawa Malaysia menjadi peneraju ekonomi Asia. Antaranya, perniagaan – syarikat pemula; perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS); firma tersenarai; peneraju ekonomi Islam global; usahawan mikro dan sektor tidak formal; pertumbuhan hijau serta penggunaan tanah dan keterjaminan makanan.

Untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat pula, Anwar menekankan perancangan dari sudut peluang pekerjaan dengan gaji bermakna; kesaksamaan peluang; jaringan perlindungan sosial untuk semua; reformasi perkhidmatan kesihatan; reformasi pendidikan dan sumber manusia; infrastruktur dan pengangkutan awam; kemudahan asas dan perumahan mampu milik.

Aspek seterusnya yang diperkatakan oleh Anwar ialah betapa kerangka ini hanya berhasil dengan dukungan dan kepercayaan semua pihak. Hanya dengan tata kelola yang baik serta sistem penyampaian perkhidmatan tangkas mampu merealisasikan hasrat ini. Pembaharuan struktur, sistem dan institusi memerlukan kerjasama penjawat awam khususnya.

Dalam konteks supaya penjawat awam terus berusaha gigih untuk menyokong hasrat melaksanakan pembaharuan ekonomi madani inilah, Anwar mengumumkan pemberian bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM200 kepada pesara kerajaan sementara kajian gaji dan elaun diperincikan.

Begitu juga dalam konteks kejayaan dan impak besar program e-tunai kepada masyarakat, maka Anwar mengumumkan menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah dengan bilangan penerima yang layak dianggarkan melebihi 10 juta orang dengan dana sekitar RM1 bilion.

Malangnya, daripada ucapan panjang Anwar, hanya dua pengumuman kecil ini yang dipetik oleh pembangkang yang kononnya disifatkan sebagai gula-gula untuk pilihan raya negeri (PRN) walhalnya kami penjawat awam menyambutnya dengan baik, begitu juga pesara kerajaan serta golongan B40 dan M40 kerana ia membantu mereka dan ekonomi negara.

Politik politik juga, tapi janganlah sampai usaha membantu rakyat hendak dijadikan isu politik. – UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pegawai Tadbir di Institut Kajian Strategik & Komuniti (IKSK), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×