“KITA kena cuba Bukh!” Itulah ayat pertama daripada sahabat saya, Mohamad Gadafi Sam apabila beliau melontarkan idea untuk melaksanakan projek ibadah korban di Edinburgh dan agihannya dibuat secara terbuka seperti di tanah air. Saya sedikit khuatir dan masih belum yakin untuk meneruskan idea tersebut. Namun, dek kerana kematangan dan kecekalan beliau, menjadikan saya yakin dan percaya yang projek ini berimpak tinggi.
Berbekalkan sedikit pengalaman di Malaysia, satu kertas kerja dihasilkan. Ia bertujuan meyakinkan sahabat-sahabat lain agar dapat merealisasikan projek julung kali tersebut. Beberapa individu dilantik secara sukarela untuk menjadikan projek ini berjalan lancar serta mendapat kepercayaan daripada orang lain yang ingin menyertainya.
Siapa sangka, daripada angan-angan berubah kepada kertas pelaksanaan rasmi yang dinamakan Projek Korban Edinburgh 1444H ini menerima respons positif daripada komuniti Malaysia di Edinburgh. Bermula daripada permohonan sumbangan, promosi untuk meyakinkan pihak yang ingin berkorban, proses mendapatkan anggaran harga kambing dan saiz bersesuaian dan terakhir, sesi memantapkan ilmu pengetahuan mengenai ibadah korban yang dilihat sangat penting.
Kejayaan awalnya ialah kami menerima respons positif dari aspek sumbangan kewangan, keyakinan individu yang berkorban serta tertarik dengan objektif projek ini. Kami turut mendapat anggaran harga dan saiz kambing yang menepati syarat dan turut berjaya menjawab soalan-soalan berkaitan fiqah dengan memberi sandaran dari sumber-sumber sahih.
Di atas kertas, kami berjaya mendapatkan enam penyertaan individu dan menjadikan kambing sebagai binatang yang ingin dikorbankan pada tahun ini. Maka bermulalah pencarian kambing untuk dikorbankan.
Jangan terperanjat, di sini kami tidak berpeluang ke kandang kambing untuk memilih binatang yang ingin dikorbankan seperti di Malaysia.
Kami hanya mampu ke kedai pembekal daging halal dan maklumkan nama yang demikian akan berkorban dan pihak mereka menerima nama-nama tersebut dan proses sembelihan, lapah serta pembungkusan dilakukan oleh kedai tersebut. Kami hanya menerima daging korban yang telah siap diproses. Mudahkan?
Kami turut dimaklumkan, berat bagi setiap ekor kambing tidak boleh kurang daripada 22 kilogram yang mana saiz tersebut cukup untuk ibadah korban. Dari segi harga, ia telah diselaraskan 260 pound untuk seekor kambing. Pada tahun lalu, harga seekor kambing masih dalam anggaran 180 pound sahaja. Kenaikan harga mendadak tidak menghalang ibadah korban dilaksanakan di sini.
Tiba-tiba saya teringat situasi semasa, kenaikan harga barangan bukan sahaja di tanah air, malah kebanyakan negara turut mengalaminya. Maka bersyukurlah walaupun harga barangan meningkat mendadak, namun kita masih mampu meneruskan kehidupan walaupun secara bersederhana. Jangan rasa negara kita buruk, negara orang lain bagus. Baik buruknya, ada Malaysia yang kita cintai dan ingati.
Tanggal 1 Julai 2023, Sabtu tepat pukul 10.30 pagi, kami membawa enam ekor kambing yang telah disembelih, dilapah, dipotong, dibersihkan dan dibungkus ke sebuah taman awam. Ratusan warga Malaysia menanti kehadiran kami.
GEMBIRA, SEBAK
Yang menariknya, konsep agihan daging korban sambil picnic (berkelah) telah kami rancang lebih awal. Masing-masing membawa juadah makanan dan minuman. Ada juga membawa rakan-rakan dari Bangladesh, Pakistan dan Scotland. Suasana saling tidak tumpah seperti di Dataran Shah Alam, Selangor di mana orang ramai membentang tikar sambil menikmati makanan dan bertukar-tukar juadah sesama mereka.
Gembira, sebak, sedih dan pelbagai perasaan wujud di saat kami memberi agihan kepada rakan-rakan sama ada dalam kalangan pelbagai warganegara. Jangan terperanjat, projek korban ini juga melibatkan saudara kita dalam kalangan bukan Islam yang turut memeriahkan majlis dan sama-sama bergotong-royong.
Sebelum kami memutuskan untuk turut memberi daging tersebut kepada bukan Islam, pelbagai persoalan timbul dari aspek fiqah. Kami merujuk kepada artikel Irsyad Al-Fatwa Khas Haji dan Korban Siri 4: Hukum Memberi Makan Daging Korban Kepada Bukan Islam. Yang bagusnya, kemusykilan ini rahmat buat kami untuk menjadikan setiap individu peka dengan ilmu fiqah dan tidak berharapkan hanya daripada satu atau dua pihak.
Memeranjatkan juga, di saat memberikan daging-daging korban, kami didekati penduduk tempatan yang bertanyakan apa sedang kami lakukan. Yang seronoknya, mereka yang menjawab persoalan bukannya penganjur tetapi dalam kalangan komuniti Malaysia yang berada berhampiran kami. Ini membuktikan dakwah adalah tugas bersama dan tidak terletak di bahu ustaz dan ustazah semata-mata.
Mereka enjoy (seronok) bercerita mengenai sirah nabi, menceritakan pensyariatan ibadah korban. Sedar tidak sedar, menitis air mata saya menyaksikan keindahan ini turut dikongsikan kepada masyarakat luar.
Benarlah, dakwah ini sangat luas dan tidak pada ruang tertentu.
Di saat rasa sukar ingin melaksanakan ibadah korban di negara asing, ada sesuatu yang kami belajar, iaitu berani menonjolkan budaya. Ia menjadikan kita ingin dikenali.
Berkorban apa saja,
Harta ataupun nyawa,
Itulah kasih mesra,
Sejati dan mulia.
Bait-bait lagu ini seakan memberi semangat kepada kami agar terus konsisten untuk menyebarkan dakwah dengan kaedah pengenalan budaya kepada seantero dunia. Laut mana tidak berombak, bumi mana tidak ditimpa hujan. Terus pandang ke depan, jangan dipikul kesukaran tetapi hadapilah supaya sukar itu berlalu pergi.
Turut tidak dilupakan, sekalung penghargaan kepada Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor yang memberi sumbangan dan sedikit sebanyak melancarkan program. – UTUSAN
PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang kini berada di Edinburgh, Scotland.










