Islamofilia memerangi Islamofobia

Islamofilia memerangi Islamofobia

BUKU Bias In Popular Culture yang dilancarkan semasa Forum Antarabangsa: Pendekatan Madani Mendepani Cabaran Islamofobia di Putrajaya, baru-baru ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAPORAN Menteri Luar Negeri yang Malaysia tidak akan membenar Islamofobia berterusan adalah satu penegasan penting. Katanya, ia bukan sahaja berbentuk prasangka tetapi juga melanggar hak asasi manusia.

Ini dinyatakan semasa pembukaan rasmi forum antarabangsa Islamofobia, baru-baru ini. Suatu wacana madani yang bermakna untuk menentang isu tersebut lantas tidak bertolak ansur dan menghormati jutaan manusia dari pelbagai masyarakat.

Jika tidak, ia bakal mengancam nilai yang dianggap penting bagi umat Muslim khususnya. Mereka juga berhak mengamal nilai agamanya tanpa diskriminasi, pelbagai pendakwaan serta ugutan, ujar beliau. Malah, pada 15 Mac 2022, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah pun bersetuju menjadikan tarikh tersebut sebagai Hari Menentang Islamofobia Antarabangsa.

‘Fobia’ daripada kata Yunani membawa maksud kebencian, ketakutan, prasangka khususnya dari sudut pandang politik serta ideologi sempit dan jahat. Ia juga berkaitan aspek kesihatan yang mirip kepada rasa benci atau takut, misalnya kepada haiwan ataupun sesuatu keadaan, tempat dan sebagainya.

Apa pun, apabila dipakaikan kepada Islam sebagai Islamofobia, ia lebih terkesan dari segi politik serta ideologi yang negatif. Pun begitu, ada juga yang menyifatkannya sebagai satu bentuk gangguan mental yang teruk, walaupun agak terpencil halnya.

Berpandukan satu catatan, Islamofobia mula muncul dalam bahan tulisan sejak 1910 lagi dalam kerangka prasangka terhadap Islam yang berleluasa dalam kalangan orang Barat dan tamadun Kristian khususnya dalam lingkungan negara-negara Eropah dan bukan Islam umumnya.

Ia memberi landasan untuk bertindak ganas terhadap masyarakat Islam yang disasar. Atau lebih tepat lagi ditujukan lebih kepada kaum Muslim dan bukan sangat agamanya.

Oleh itu, ia menganjak persoalan kepada pengikut daripada yang diikuti – yakni lebih kepada Muslimfobia yang kini diandaikan tidak wujud umumnya.

ISLAMOFOBIA DALAMAN

Namun, pemerhatian am mendapati bahawa sangkaan ini kian meningkat dengan pantas sehingga kefahaman mula berubah menjadi lebih hebat dari dahulu kala. Apatah dengan beberapa peristiwa mengejutkan seperti 9/11 dan kelangsungan war on terror (peperangan atas keganasan) yang didahului Amerika Syarikat mengejar dan membunuh para ‘pengganas’ Muslim, kononnya.
Ini dilaporkan ekoran perlakuan seakan-akan sama yang kerap berlaku dalam kelompok Muslim sendiri. Mereka acap kaIi membenci, mengaib, mencaci, mengkhianati sehingga ada yang rela membunuh satu sama lain.

Mungkinkah ini satu lagi pola Islamofobia ‘dalaman’ yang turut meyakinkan pandangan dunia luar terhadap kegagalan umat Muslim sesama sendiri? Hatta, kewujudan Muslimfobia berbanding Islamofobia, apa pun ia terus mengekalkan kesan paling hodoh serta kelam terhadap gagasan Muslim sejagat.

Bagi mengatasi hal seumpama ini, satu langkah strategik baharu yang positif wajar segera difikirkan agar mengubah persepsi buruk Islamofobia-Muslimfobia yang mengakar hari demi hari. Tidak menghairankan jika ia merupakan antara faktor desakan utama yang menyebabkan persepsi fobia amnya berpanjangan sehingga Menteri Luar Negeri mengambil keputusan seperti yang dilaporkan.

Langkah paling mudah, mungkin sudah sampai ketikanya agar satu lagi istilah diperkenalkan untuk melawan imej celaru Islamofobia. Utama adalah kata ‘Islamofilia’ yang mempunyai kesan, pandangan serta konsep jelas bertentangan dengan Islamofobia. Ternyata ini tersemat dalam kata ‘filia’ (philia dari sumber Yunani; Inggeris, phillia) itu sendiri.

Justeru, fahaman Islamofilia terarah kepada kemesraan, persaudaraan, mengasihi dan amnya berlegar sekitar prinsip etika yang berlawanan fobia. Misalnya, Islamofilia menonjolkan keupayaan membenamkan Islamofobia, seiring mencerahkan kegelapannya sekali gus menghidupkan sifat-sifat positif, gagah serta utuh yang dikaitkan dengan imbuhan filia.

Konteksnya bagaikan pepohon ilmu bercahaya yang menerangi keseluruhan keadaan serta keberadaan sekitarnya. Ini amat sesuai dengan pancaran sinar Islam yang mula dipudari Islamofobia berdekad-dekad lamanya gara-gara para orientalis serta penjajahan.

ORIENTALIS

Lama-kelamaan dengan cara ini, minda orang Islam mula bersikap dan berfungsi seperti yang diperikan kerana filia dalam Islam mula menipis seadanya. Beransur-ansur Islamofobia mengambil alih seolah-olah itulah Islam sebenar. Maksudnya, para orientalis berjaya mentafsir, mendorong dan memesongkan kewibawaan asas dalam perkara ini. Dan tidak akan berkesudahanlah Islamofobia sebagai cebisan kepada agenda orientalis yang kental sehingga hari ini.

Bak kata Edward Said, pengkritik hebat orientalisme dalam penulisan terkenalnya mendakwa bahawa para pencatat dan penulis Barat serta sarjananya berganding bahu membangunkan sebuah imej buruk bagi budaya Timur sebagai sesuatu yang rendah martabatnya, tidak membina, malah merudum. Di samping menembusi budaya Barat yang mengambil kesempatan memperalatkannya untuk menguar-uarkan dasar imperialis mereka di Timur Tengah serta negara serta wilayah Muslim yang lain.

Pendek kata, mereka menegakkan menara Islamofobia di mana juga khususnya dalam minda global. Dilaung-laungkan merata media yang dikuasai secara langsung atau tidak. Tegasnya, untuk menamatkan cabaran Islamofobia bukannya satu yang calang-calang apabila ia dianggap sebagai ‘cogan’ berpengaruh kepada khalayak ramai bersama contoh-contoh yang sering kali dijaja umpama suatu bukti tulen.

Tambahan pula terdapat kesepian kosa kata melawan ‘cogan’ tersebut untuk dihadirkan sebagai penghalang maksud. Lantas bertindak menyaingi Islamofobia yang telah lama bertapak. Jika tidak, mana mungkin mampu mengikis karat-karat yang sudah sebati dengan kuat sekian lama. Hanya selepas itu baru boleh diselaputi dengan ‘cat tahan karat’ berjenama Islamofilia, seandainya dapat menzahirkan perihal yang amat berbeza sama sekali nilainya.

Bermula di peringkat diri sendiri, kemudian keluarga dan masyarakat setempat yang masing-masing pernah dirasuk Islamofobia, apa lagi negara dan dunia supaya ia kurang mempersembahkan silat sepak terajang politik ganas ala Islamofobia tatkala bergelumang menindas sesama sendiri.

Sebaliknya ikhlas membawa ikatan mesra, mengenang budi dan bahasa, memulihara adab susila dalam semangat jati Islamofilia, bahkan Muslimfilia sekali, terus menerobos kubu Islamofobia musuh. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzuklifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN