BARU-BARU ini, seorang ahli ekonomi terkemuka di tanah air menganalisis kadar pertumbuhan ekonomi negara-negara ASEAN. Beliau memberi amaran, jika Malaysia tidak cuba merapatkan jurang kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan negara-negara serantau seperti Vietnam, 10 tahun lagi rakyat kita mungkin terpaksa menjadi pekerja asing di negara-negara jiran.
Menurut bekas ahli ekonomi kanan Bank Negara Malaysia itu, Tan Sri Andrew Sheng, kadar pertumbuhan ekonomi negara sedang mengalami arah aliran merosot. Kadar pertumbuhan KDNK pada 2017 ialah 5.8 peratus, kemudian meluncur turun kepada 5.7 peratus (2020). Pada 2027 nanti, kadar pertumbuhan KDNK negara kita dijangka hanya mencapai empat peratus.
Andrew menambah, kadar pertumbuhan ekonomi Vietnam dan Filipina boleh mencecah enam hingga tujuh peratus setahun, sedangkan Malaysia hanya sanggup mengembangkan ekonominya pada paras empat peratus setahun. Ini menunjukkan sesuatu yang tidak kena sudah berlaku pada ekonomi negara kita.
Beliau berkata, Vietnam kini mempunyai penduduk berjumlah 100 juta orang. Dengan kadar pertumbuhan ekonomi setinggi tujuh peratus setiap tahun, saiz KDNK negara tersebut akan menjadi dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun.
Menurut beliau lagi, pada masa itu, ekonomi Malaysia akan jauh ketinggalan di belakang Vietnam, malah akan diatasi Filipina dan Indonesia. Berdasarkan pemerhatiannya, negara kita terlalu bergantung kepada perbelanjaan individu untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Negara kita sedang menghadapi masalah kritikal kerana rakyat tidak melabur di dalam negara sendiri, tetapi asyik membeli harta dan melabur di syarikat luar negara mengakibatkan pengaliran keluar pertukaran asing secara besar-besaran.
Kini, kerajaan dan sektor swasta di Malaysia merupakan antara kumpulan peminjam utama di dunia. Sehingga 2022, hutang negara mencecah hampir RM1.2 trilion. Jikalau diambil kira amaun liabiliti dan komitmen jaminan kerajaan, jumlah besar itu menjadi RM1.5 trilion atau bersamaan 81 peratus daripada angka KDNK.
Sehubungan itu, beban membayar balik hutang tahunan negara juga berlipat ganda, iaitu daripada RM14.2 bilion (2019) menjadi RM46 bilion (2023). Beban membayar balik hutang negara turut meningkat sebanyak 8.9 peratus setiap tahun.
Baik kerajaan mahupun sektor korporat atau individu, meminjam untuk tujuan perbelanjaan semasa semata-mata bukannya penyelesaian masalah kewangan untuk jangka panjang. Tanpa pelaburan yang terancang dan secukup amaunnya daripada kerajaan dan swasta, ekonomi Malaysia mustahil dapat bergerak maju.
Teknologi maju juga tidak dapat dibawa masuk. Dengan ini, generasi muda kita tidak mungkin mempunyai peluang pekerjaan yang memadai pada masa depan.
Dalam Belanjawan 2023, negara kita sekali lagi mengamalkan dasar fiskal mengembang yang perlu menanggung defisit sebanyak lima peratus ke atas KDNK. Jumlah perbelanjaan negara (RM388.1 bilion) mengatasi jumlah pendapatan kerajaan (RM291.5 bilion), yakni kerajaan perlu meminjam kira-kira RM97 bilion untuk menampung jurang belanjawan.
Sesungguhnya, kerajaan kita menanggung beban pemberian subsidi yang terlalu besar kepada rakyat. Ketirisan kewangan dan salah laku rasuah pula menjadi-jadi.
Malang sekali, ramai ahli politik negara dilihat seolah-olah tidak memiliki ilmu pengurusan kewangan negara yang sewajarnya. Mereka sering kali berpendapat, negara kita memiliki kekayaan yang tidak akan kehabisan. Mereka asyik mendesak kerajaan berbelanja untuk bermacam-macam projek rangsangan ekonomi sedangkan kedudukan kewangan negara yang kian lesu tidak diambil peduli oleh golongan tersebut.
Bagi ahli ekonomi itu, perancangan dan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memang sangat baik, namun beliau menyoal, di mana letaknya daya keterlaksanaan kita untuk membawa kejayaan?
Andrew bertanya, “Dengan memegang mentaliti kelas kedua, bagaimana kita dapat mencapai kejayaan kelas pertama?”
Malaysia sesungguhnya sebuah negara bertuah. Negara kita terletak di bahagian selatan benua Asia, satu lokasi yang cukup strategik. Selat Melaka dari dahulu lagi merupakan jalan perairan sedunia yang sangat penting dalam perdagangan global. Tanah Malaysia subur sekali, cuaca dan iklim juga sangat elok. Tiada bencana alam yang dahsyat seperti gempa bumi, tsunami dan taufan yang mengancam.
Bukan itu sahaja, Malaysia dikurniakan pelbagai sumber galian termasuk petroleum dan gas asli. Tanaman komersial seperti kelapa sawit begitu bermutu sehinggakan kita menjadi antara negara pengeluar minyak sawit utama di dunia.
Secara umum, jumlah penduduk Malaysia sebanyak 33 juta (2023) dikira tidak terlalu kecil pasarannya dan dapat membantu menjana tenaga buruh yang stabil bekalannya. Tambahan lagi, rakyat mempunyai taraf pendidikan dan kemahiran agak sempurna. Warganegara Malaysia juga menguasai bahasa antarabangsa dan sanggup berkomunikasi dengan dunia luar secara berkesan.
Apakah sebab kita tidak muncul sebagai negara yang lebih berjaya berbanding negara-negara jiran?
Sesungguhnya rakyat didapati menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga dalam berpolitik dan bertikam mulut sesama lain. Pemimpin-pemimpin negara kelihatan sibuk berpolitik sehingga mengabaikan rakyat dari segi meningkatkan produktiviti dan kemahiran masing-masing untuk bersaing secara cekap di dunia yang penuh cabaran.
Pada hakikatnya, kemelut politik negara yang kian meruncing menyebabkan para pelabur asing mengalihkan dana dan teknologi mereka ke negara-negara ASEAN lain. Jika keadaan negatif ini dibiar berterusan, ia akan menjejaskan masa depan negara.
Demi kepentingan negara, saya memohon kepada ahli-ahli politik agar mengetepikan perselisihan faham politik antara satu sama lain dan berganding bahu untuk memajukan ekonomi negara.
Akhir kata, saya juga menyeru kepada pelapis muda dan tonggak negara agar rajin menuntut ilmu serta memperlengkapkan diri untuk menyumbangkan tenaga dalam pembangunan ekonomi negara kelak. – UTUSAN
Penulis ialah lepasan program Sarjana Pengajian Media dari Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.










