Wajibkan ujian poligraf, tapis perasuah dari awal

Wajibkan ujian poligraf, tapis perasuah dari awal

SPRM pernah mencadangkan ujian poligraf dalam dasar pengambilan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi kumpulan pengurusan dan profesional bertujuan menghentikan masalah rasuah yang melanda sektor awam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLIGRAF digunakan oleh agensi penguat kuasa undang-undang, sistem kehakiman, sektor swasta dan media di beberapa negara untuk menentukan sama ada seseorang itu bercakap benar.

Ujian poligraf patut dijadikan prasyarat untuk jawatan sedemikian supaya bakal majikan boleh menilai calon untuk melihat sama ada mereka layak untuk menangani sejumlah besar wang, rahsia negara, hal keselamatan negara atau gangguan seksual dan keganasan, kafir-mengkafir, rasuah serta kesalahan-kesalahan lain yang tidak dapat dibuktikan dengan fizikal.

Poligraf mengukur perubahan fisiologi dalam tiga sistem, iaitu tekanan darah, pernafasan dan tindak balas kulit elektro, iaitu berpeluh tapak tangan atau tindak balas kulit galvanik dalam pelbagai bentuk sejak 2016.

Ujian poligraf melibatkan tiga peringkat, iaitu praujian, ujian dan pascaujian. Peringkat praujian ialah apabila subjek ditemu bual berdasarkan latar belakangnya, diikuti dengan pembinaan soalan. Bergantung kepada isu atau kes, peringkat ini mengambil masa kira-kira satu hingga dua jam.

Peringkat ujian ialah apabila subjek duduk di atas kerusi khas dan perlu hanya menjawab ‘Ya’ atau ‘Tidak’ kepada soalan. Ini melibatkan tiga peperiksaan yang mengandungi sekurang-kurangnya 10 soalan.

Semasa peringkat pascaujian, akan ada analisis diagnostik dan soal siasat. Terdapat banyak contoh di mana poligraf telah membawa kepada kejayaan atau pengakuan. Tetapi ketiga-tiga peringkat itu mengambil masa beberapa jam, bergantung kepada kemahiran pemeriksa dan kerumitan kes.

Alat poligraf hanya menghasilkan graf. Pemeriksa menentukan sama ada orang itu berbohong atau bercakap benar. Pemeriksa yang berkelayakan adalah sebenarnya pengesan pembohongan dan pengesah kebenaran, bukannya alat poligraf.

Apabila seseorang berbohong, ia akan menghasilkan perubahan fisiologi yang mana pemeriksa poligraf akan dapat mentafsir tanda-tanda ini dengan tepat dan membezakan antara corak graf dalam kegelisahan atau jujur.

Pemeriksa mampu menentukan bila seseorang yang diperiksa terlibat dalam tingkah laku untuk memesongkan pengesanan poligraf dan mempengaruhi keputusan ujian.

Bagaimanapun, untuk memastikan dan mengekalkan tahap integriti sseseorang, ujian poligraf perlu dijalankan secara rawak dari masa ke masa. Ia adalah langkah pencegahan kerana seseorang kakitangan akan berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan kerana mengetahui bahawa mereka boleh pada bila-bila masa untuk menduduki ujian. Inilah keindahan ujian poligraf.

CIA, FBI

Persatuan Poligraf Amerika (APA) telah menjalankan lebih 250 kajian yang menunjukkan kebolehpercayaan dan ketepatan poligraf adalah tinggi. Ia adalah 98 peratus tepat menggunakan soalan-soalan yang betul, teknik sahih, bilik dan kerusi khas, diagnostik keputusan skor berasaskan empirikal secara manual serta dibantu perisian sistem komputer dan ujian mesti dilaksanakan oleh pemeriksa poligraf bertauliah.

Di Singapura, polis, Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), Kementerian Tenaga Manusia, Jabatan Penjara, kastam, Biro Narkotik Pusat, Agensi Keselamatan dan Perisikan serta tentera menggunakannya untuk pemeriksaan dan penyiasatan kakitangan.

Di Taiwan, hakim akan tertakluk kepada ujian poligraf sebelum menjatuhkan hukuman. Sekiranya tertuduh gagal dalam ujian itu, hukuman yang lebih berat mungkin akan dijatuhkan.

Agensi seperti Agensi Perisikan Pusat (CIA), Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Agensi Keselamatan Negara, Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) dan Jabatan Pertahanan AS, majoriti Jabatan Polis AS menggunakan ujian poligraf dalam pengambilan dan penyiasatan atau untuk menentukan kaitan dengan aktiviti pengganas.

Di England dan Wales, ujian poligraf digunakan oleh polis dalam pemantauan pesalah seks yang dibebaskan.

Beberapa tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) harus mempertimbangkan untuk menjadikan ujian poligraf sebagai sebahagian daripada dasar pengambilannya, pemohon jawatan dalam kumpulan pengurusan dan profesional kerana mereka terdiri daripada individu yang akan mengisi jawatan kritikal dalam agensi awam. Beliau berkata, barulah perkhidmatan itu dapat menghentikan masalah rasuah yang melanda sektor awam dan jika ujian itu diperkenalkan semula, ia akan memberi petanda baik untuk integriti sektor itu kerana mereka yang mempunyai kecenderungan rasuah akan ditapis dari awal.

Bekas Ketua Pengarah Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Negara, Tan Sri Abu Kassim Mohamed menegaskan, ujian poligraf boleh dijadikan bukti dalam kes mahkamah apabila diperiksa oleh pemeriksa bertauliah, namun ini terpulang kepada badan kehakiman untuk menentukannya.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, berdasarkan undang-undang sedia ada, ujian poligraf boleh dijadikan bukti di mahkamah tetapi akhirnya hakim yang berhak menerimanya atau tidak

Hasilnya, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menyatakan bahawa badan kehakiman sedang mengkaji cadangan untuk menggunakan keputusan ujian poligraf sebagai bukti di mahkamah tetapi ia akan melibatkan pindaan Akta Keterangan 1950.

Pada masa ini, tiada duluan (precedent) mengenai kebolehterimaan bukti poligraf di Malaysia dan Singapura kecuali mahkamah sivil Malaysia menerima poligraf sebagai sebahagian daripada keterangan dalam kes penipuan insurans. SPRM, polis, tentera termasuk syarikat swasta menggunakan poligraf dalam penyiasatan dan tapisan.

Jika anda bertanya. sejauh manakah poligraf efektif dan boleh dipercayai? Jawapannya, ia lebih baik daripada tiada langsung. – UTUSAN

Datuk Seri Akhbar Satar ialah Pemegang Kerusi Profesor dan Pengarah di Institut Jenayah & Kriminologi (ICC), Universiti HELP serta Pemeriksa Poligraf Bertauliah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN