Faktor ekonomi sandaran utama hubungan KL-Berlin

Faktor ekonomi sandaran utama hubungan KL-Berlin

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Frank-Walter Steinmeier (kiri) di Putrajaya, baru-baru ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAWATAN Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier ke negara ini, minggu lalu mencerminkan lembaran baharu wadah kepentingan hubungan bilateral Kuala Lumpur-Berlin terutama dalam spektrum geopolitik dan pembangunan kritikal sektor ekonomi dan teknologi yang memberikan pulangan penting kepada kedua-dua negara.

Sektor penting yang diutamakan dalam lawatan ini termasuk ekonomi digital dan hijau, kekentalan jaminan rantaian bekalan dan keselamatan makanan, teknologi berimpak tinggi termasuk industri semikonduktor dan keterjaminan sumber tenaga. Kesemuanya memberikan kepentingan strategik kepada Kuala Lumpur dan Berlin dalam menempuhi tuntutan cabaran perubahan geopolitik dan impak kemelut di Ukraine.

Jerman tetap memberikan pulangan ekonomi kepada negara, dicerminkan dalam jumlah perdagangan sebanyak RM59.87 bilion pada tahun lepas, peningkatan daripada RM53.99 bilion (2021), sekali gus kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah (EU).

Malaysia perlu terus bijak mengintai peluang bagi memperkukuh keyakinan, membina spektrum holistik merangkumi penyediaan sistem sokongan dan faktor tarikan yang jitu dan konsisten dalam memperluas jaringan pertalian ekonomi, perdagangan dan kemasukan pelaburan berimpak tinggi berterusan daripada Jerman. Penyediaan kapasiti kemudahan pembentukan perniagaan dan pembangunan industri berimpak tinggi serta pemberian insentif kredit dan cukai memberikan tarikan jangka masa panjang dan pulangan berkualiti yang dapat menjamin kepentingan strategik kepada kita terutama dalam bidang semikonduktor yang menjadi persaingan sengit China-Amerika Syarikat dan kuasa dunia lain.

Kapasiti dan kepakaran dalam teknologi tinggi dan pengaruh dunia saintifik, penyelidikan dan pengajian tinggi dimiliki Jerman menjadi medan luas bagi Malaysia untuk terus menanam sinergi intelektual dan pulangan holistik dalam kelestarian dan pembangunan negara berasaskan prinsip dan etika dalam mendukung pegangan madani.

ISLAMOFOBIA

Malaysia juga dilihat sebagai penggerak utama ASEAN serta wadah dan wakil negara Islam progresif yang menjadi suara dan kuasa penting dalam merapatkan jurang ketamadunan dan toleransi Barat-Islam dan Barat-Timur. Kepakaran dan kapasiti Malaysia dalam konteks antikeganasan dan terorisme serta keupayaan yang diiktiraf global menjadi sandaran Barat dan Eropah dalam usaha berdepan Islamofobia dan sentimen xenophobia serta nasionalisme yang kian meningkat.

Faktor ekonomi terus menjadi sandaran utama, dicerminkan melalui keyakinan lebih 700 syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia, kebanyakannya menjadi hab pembuatan seterusnya meningkatkan jumlah eksport kepada negara-negara lain di seluruh dunia. Pangkalan ini akan terus dipertahankan oleh Jerman dan dapat dilihat dalam konteks Malaysia dijadikan hab kritikal bagi Berlin di rantau Asia Tenggara dan Indo-Pasifik.

Usaha berterusan untuk memperluas kapasiti syarikat Infineon dengan pangkalan di Kulim berjumlah RM8 bilion menjadi testimoni kepada perancangan strategik Jerman dan Barat secara keseluruhannya dalam memperkukuh benteng terhadap impak krisis di Ukraine dan juga persaingan dengan Beijing.

EU secara holistiknya, turut menerima pulangan positif daripada orientasi baharu Berlin di rantau ini. Hubungan bilateral yang kukuh ini juga akan mencipta anjakan baharu kepada pertalian EU-ASEAN, di mana kedua-dua Jerman dan Malaysia menjadi negara penggerak kedua-dua blok serantau itu. Pengaruh soft power dan kekuatan hard power Jerman dalam konteks EU dan usaha terbaharu di Indo-Pasifik dan Asia Tenggara menjadi medan geostrategik penting kepada negara dalam membentuk kapasiti dan kesepakatan bersama menangani cabaran kemanusiaan dan konflik konvensional.

LNG

Sandaran penting Berlin kepada Malaysia juga perlu digunakan untuk kepentingan keselamatan dan sektor pertahanan. Ancaman langsung daripada ketidakstabilan keselamatan rantau menuntut Malaysia untuk terus berwaspada dalam melaksanakan dasar dan polisi pertahanan serta untuk melonjak kapasiti cegah rintang sedia ada yang banyak bergantung kepada mekanisme preventive diplomacy dan conflict prevention measures termasuk dialog dan platform serantau.

Isu sumber tenaga yang menghimpit Berlin, mencetus keperluan untuk menerokai peluang baharu dengan Petronas dalam membuka rantaian bekalan baharu gas asli cecair (LNG) kepada Jerman untuk memenuhi keperluan tenaganya dan mempercepat proses peralihan daripada kebergantungan kepada sumber tenaga Rusia. Sandaran strategik ini terhadap kapasiti kita perlu terus digunakan dengan bijak dalam memastikan bentuk dan jenis pulangan yang diraih akan memberikan impak langsung dan jangka panjang kepada bukan sahaja industri minyak dan gas, bahkan sektor pemangkin lain yang akan mempercepat proses penstrukturan semula economic fundamentals negara bersandarkan faktor masa depan.

Berlin terus mengintai peluang untuk memperkukuh kedudukan dan kepentingan di rantau ini dalam mencipta orientasi baharu untuk mempertahankan kepentingan sumber, ekonomi dan faktor kelangsungannya yang akan terus dipengaruhi oleh China dan persaingan Beijing-Barat. Malaysia kekal berada dalam radar Jerman dalam konteks ini dan kita perlu terus mengatur langkah untuk berpandangan jauh dalam merangka sudut pertalian baharu dan lebih mendalam yang akan memberikan pulangan bersama dalam menghadapi cabaran sama.

Pulangan komprehensif dan berkonsepkan kesinambungan jangka masa panjang menjadi faktor kritikal dan peranan serta pulangan daripada sandaran terhadap pertalian penting dengan Jerman menjadi faktor pemangkin penting kepada kepentingan geopolitik negara. – UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pendaftar di Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN