SEMAKIN banyak dan bertambah kerap seruan ke arah perpaduan disuarakan. Ramai yang mahu melihat dan menikmati damai dan sejahtera. Mereka mengharapkan senang dan tenang, dua aspek penting dalam kehidupan.
‘Senang’ mungkin dijuruskan kepada berharap untuk menikmati mutu kehidupan yang tidak meresahkan. Ini baik dari segi memperoleh sumber pendapatan yang sesuai, penjagaan kesihatan terjamin, kemudahan-kemudahan awam yang selesa serta aspek keselamatan terkawal.
‘Tenang’ pula secara mudahnya tentulah terarah kepada suasana kehidupan yang tidak diekori serabut, bosan, tidak dikejar kebimbangan, tidak terganggu emosi dan fikiran.
Sebaliknya dapat menelusuri kehidupan yang kondusif sambil dapat melihat masa dengan meyakinkan. Tenang, nilai harganya tiada tandingan. Bukan barangan niaga yang semudah boleh dijual beli.
Bertepatan pula dua aspek ini boleh dijadikan teras penting untuk menterjemahkan konsep Malaysia Madani yang sedang diberi penekanan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sedia maklum, konsep ini menitikberatkan usaha membina masyarakat bertamadun tinggi dan menyemarak perpaduan. Sebarang dasar dan perancangan hanya mudah dilaksanakan apabila terdapatnya asas atau tapak yang kukuh dan tidak tergoyang.
Justeru, apabila ada senang dan tenang, persefahaman mudah dijalin, perhubungan di antara kaum tidak terganggu. Masing-masing boleh saling menerima dan menghormati dengan acuan yang seadanya.
Malah, isu perbezaan daerah dan wilayah tidak lagi diungkit, dipersoal. Apalah sangat mampu dinikmati jika suasana kehidupan susah dan pertelagahan politik tiada berkesudahan?
Malang kalau masih ada yang cuba mengasingkan di antara konsep yang bernas dengan individu yang tidak disukai atau diminati. Tidak perlu diremehkan perkara yang baik jika itu bermanfaat. Untungnya adalah untuk kepentingan semua. Perlu sikap terbuka, berlapang dada dan sedia menerima demi kebaikan bersama.
Secara berterus terang, apa yang dicatatkan di sini sekadar melontar kebarangkalian bahawa masih ada mana-mana warga yang mungkin tidak begitu gemar dengan pemimpin negara yang ada hari ini. Tapi tentunya tidak bererti perlu menolak segala konsep atau perancangan bernas untuk rakyat.
Jangan ada yang menyoal kewajaran menyuarakan tentang membina tamadun tinggi. Mungkin ada yang kurang gemar dan merasakan kurang relevan lagi aspek ini diperkatakan setelah sekian lama dunia melangkah maju dan kehidupan manusia sejagat penuh sofistikated.
Tetapi bertanyalah sendiri-sendiri, “Apa makna bertamadun jika sikap mencela, mengata, fitnah-memfitnah, caci-mencaci, dihadirkan dengan galak melalui media sosial saban waktu?”
ADAT
Sejauh mana boleh dibuktikan kepada umum bahawa masih ada sikap segan silu, menghargai adat, menyantuni budi dan susila, atau tahu menghormati batas peradaban dalam kehidupan harian masyarakat?
Atau sejauh mana pula isu-isu mengenai perebutan kuasa dan mengaut harta boleh dibebaskan daripada sebarang tohmahan dan prasangka? Bertanyalah pada diri kita.
Apa yang dicatatkan di atas, ingin juga dikaitkan dengan senario dalam UMNO, sebuah parti politik yang pernah mendominasi pemerintahan tanah air selama berpuluh dekad dengan stabil, makmur, progresif.
Masih pun bersama menerajui kerajaan.
Namun, sayangnya sehingga kini, riuh ribut mengenai isi-isu dalaman parti terus rancak bergema meskipun Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 sudah berlalu. Macam-macam alasan diiring bagi menghalalkan ulasan dan pertikaian.
Semua orang tahu fokus persoalan. Perkara mengenai usul diputuskan tiada pertandingan di peringkat dua jawatan teratas dalam parti terus dipolemik. Bukan sahaja dalam kalangan ahli parti malah mereka yang tidak ada kena-mengena atau yang sudah tidak ada kena-mengena lagi dengan parti terus mengaung, mencemuh dan mengapung persoalan yang sudah terjawab.
Persoalannya, kenapa sebuah parti yang terbukti berupaya meneraju negara, membawa pembelaan berkesan kepada rakyat dan negara itu terus-terusan dilingkari permasalahan persepsi, reputasi, diracik-racik dengan mengumpul puak mengatur rangkaian?
Sukar sangatkah untuk dirungkai kekusutan, dicari penyelesaian? Seeloknya, perkemaslah dengan apa yang ada. Sepatutnya tidak payah lagi diintai dan tidak perlu lagi dipertikai. Para ahli sepatutnya kuat bersepadu, perkukuh semangat setiakawan, sedia menghadapi ancaman atau sebarang cabaran. Jadi, bertenanglah. Hujan ribut lagikan berhenti.
Ada seorang kawan menutur beberapa patah ungkapan yang saya percaya pembaca boleh mentafsir sendiri, “Adakala lebih baik diselenggarakan kereta yang sudah ada daripada memikirkan untuk membeli kereta yang bertaraf lebih kurang serupa.” Lagi katanya, “Periuk di dapur lebih kurang sama, putih di atas di bawahnya warna kehitaman sedikit sebanyak tetap ada.”
Apa yang penting difikirkan sekarang adalah kelangsungan survival bangsa dan tanah air. Berapa banyak sudah negara persekitaran global sedang menghadapi kesukaran ekonomi, pendapatan rakyatnya terlalu rendah untuk menampung kos sara hidup, susah mendapat sumber makan, ditambah dengan perubahan iklim sehingga sering dilanda bencana.
Bersyukurlah dengan suasana yang ada di Malaysia, banyak yang sudah ada, cuma memerlukan kestabilan dan perpaduan untuk mengurus tadbir dengan berkesan. Bersyukur ibarat umpan mendapat rahmat, bersabar ibarat penawar luka terubat. – UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.










