BUDAYA kerja terlalu selesa dengan amalan sedia ada seringkali menjadi duri dalam daging yang menyekat usaha pembaharuan tadbir urus dan tata kelola baik dalam sesebuah organisasi. Justeru, tatkala kita sedang berhadapan pelbagai cabaran untuk mengurus negara dan rakyat khususnya dalam kerangka memacu pertumbuhan ekonomi, pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat, setiap organisasi dan pemimpin serta kakitangannya perlu lebih terbuka dan berjiwa besar untuk meneroka laluan kepada proses pembaharuan yang sewajarnya dilakukan segera.
Ironinya, kita perlu terima kenyataan bahawa sektor swasta dan korporat lebih bersedia untuk melakukan perubahan dan pembaharuan secara berterusan demi memenuhi harapan pelanggan dan pemegang taruh selain memastikan dapat mencapai sasaran prestasi ditetapkan. Mungkin kerana objektif dan matlamat utama mereka adalah berorientasikan keuntungan. Jika tidak berubah dan memberi apa yang pelanggan mahu, sudah tentu perniagaan mereka akan merosot dan mengalami kerugian.
Maka kita dapat lihat kesungguhan sektor ini yang sentiasa tampil dengan pelbagai idea kreatif dan inovatif. Hal ini sering ditonjolkan melalui proses pemasaran yang cukup efisien dan cekap selain meningkatkan kualiti perkhidmatan diberikan. Kita sering dengar komen seperti bayar mahal maka pihak swasta memang patut dan wajar menyediakan perkhidmatan berkualiti sepadan dengan kadar bayaran dikenakan.
Walaupun ada kebenarannya, namun bila bercakap tentang aspek kualiti dan penambahbaikan berterusan, ia tidak boleh berpaksikan kepada faktor tertentu sahaja seperti kadar bayaran yang tinggi memerlukan penyediaan perkhidmatan lebih baik. Sewajarnya semua organisasi baik swasta mahupun awam yang berpaksikan perkhidmatan perlu sentiasa berfikir di luar kotak untuk mencari idea baharu bagi melaksanakan proses pembaharuan berterusan.
Sepatutnya proses pembaharuan ini perlu berorientasikan prinsip dan amalan tadbir urus dan tata kelola yang baik dan mapan serta berdaya saing. Jadi, sudah tiba masanya setiap organisasi khususnya sektor awam melihat keperluan untuk keluar secara total daripada budaya kerja terlalu selesa yang kebanyakannya diwarisi dari generasi ke generasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri baru-baru ini ada bangkitkan keperluan anggota perkhidmatan awam untuk tidak mengamalkan budaya selesa dalam sebarang urusan dan pentadbiran negara.
Sebaliknya, mereka perlu mempunyai keinginan dan berhasrat untuk membawa perubahan kepada sistem pentadbiran dan urusan tanpa mengetepikan kekuatannya. Tambah Anwar lagi, budaya selesa apabila sudah memegang sebarang jawatan utama, baik sebagai menteri mahupun pegawai kanan kerajaan perlu diubah.
Jadi, saya berharap seluruh warga perkhidmatan awam dari lapisan atas hingga ke bawah segera bermuhasabah dan menilai. Apakah tugasan dan proses penyampaian perkhidmatan kepada rakyat yang sedang dilaksanakan selama ini boleh dikatakan berada pada tahap paling maksimum atau masih ada banyak ruang untuk penambahbaikan serta pembaharuan sewajarnya?
Kita percaya masih terdapat banyak ruang dan peluang untuk menambah baik sistem pentadbiran awam yang menjadi tonggak dan tulang belakang kerajaan.
TANGAN GHAIB
Dalam hal ini, baik pegawai kanan mahupun kakitangan lapisan bawah perlu bersedia untuk mengenal pasti dan mengakui kelemahan yang ada. Ini sepatutnya menjadi rukun dan prinsip setiap anggota organisasi yang mahu melihat jabatan masing-masing terus berkembang maju dan memacu kecemerlangan.
Proses kerja sedia ada perlu diteliti semula secara terperinci dengan mengambil kira kemajuan aspek pendigitalan dan perkhidmatan dalam talian yang semakin berkembang pesat. Selain itu, ruang dan peluang untuk seseorang pekerja melakukan penyelewengan, salah guna kuasa dan menerima rasuah juga perlu ditutup sepenuhnya melalui proses reformasi yang mapan.
Dilaporkan negara mampu menyelamatkan sehingga RM10 bilion daripada kebocoran terus berlaku dalam sistem perolehan kerajaan jika amalan rasuah dapat dihentikan di semua peringkat. Jadi, jika kita mahu membantu dan menyelamatkan dana awam daripada terus dihilangkan oleh tangan-tangan ghaib seperti ini, maka perlu keluar dari sistem selesa sedia ada. Ini termasuk pengubahsuaian terhadap pendekatan cara lama tanpa campur tangan politik atau kepentingan golongan peniaga besar dalam sebarang kontrak kerajaan.
Misalnya, penjawat awam yang terlibat dalam proses perolehan wajar mencari kaedah baharu lebih mapan untuk menyekat pihak tidak bertanggungjawab daripada terus mengaut wang rakyat. Kebocoran dan keterlanjuran didedahkan menunjukkan ia sangat serius dan melibatkan jumlah cukup besar. Jadi, kita tidak boleh tutup mata mahupun membiarkan ia terus berlaku, sebaliknya segera keluar dari sistem yang ‘memudahkan’ proses kebocoran itu dan berpindah ke sistem baharu yang lebih telus dan berpaksikan nilai dan amalan integriti tinggi.
Jujurnya, sistem dan budaya kerja sedia ada bukan semuanya tidak betul tetapi kita mengharapkan perubahan generasi pekerja yang sentiasa silih berganti serta penggantian kepimpinan baharu di setiap organisasi akan menyediakan ruang dan peluang untuk proses pembaharuan itu mengambil tempat.
Kita berharap pekerja dan pemimpin organisasi dalam kalangan generasi baharu mampu tampil dengan pelbagai idea reformasi selain menyediakan pelan perubahan jangka pendek dan jangka panjang yang boleh mengeluarkan mereka dari sistem dan budaya kerja terlalu selesa, lapuk dan ketinggalan zaman.
Ingat, hanya organisasi yang bersedia untuk melakukan perubahan dan penambahbaikan berterusan mampu meletakkan diri mereka kekal relevan dan kompetitif. Jadi, jangan takut untuk melakukan pembaharuan dan keluar dari kerangka budaya kerja yang rutin dan selesa diamalkan selama ini. Semoga kita dapat melahirkan kelompok pekerja madani, yakni boleh memajukan diri dan organisasi melalui pemikiran strategik. – UTUSAN
PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.










