Konflik dua Korea tiada jalan penyatuan?

Konflik dua Korea tiada jalan penyatuan?

HASRAT untuk Korea Selatan dan Korea Utara bersatu kini semakin berkurang khususnya dalam kalangan generasi muda yang tidak pernah merasai suasana Perang Korea yang mengorbankan berjuta nyawa. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONFLIK antara dua bekas negara jajahan Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat (AS) yang masih tiada penghujungnya ini telah berlangsung sudah hampir lapan dekad.

Rentetan dari Perang Korea (1950-1953) menjadikan hubungan yang dahulunya persis abang dan adik terkubur begitu sahaja meskipun antara dua Korea ini pernah mencapai satu perjanjian gencatan senjata pada 27 Julai 1953. Malangnya, ia tidak dapat bertahan lama dek sikap rejim Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK).

Mengapakah Korea masih berpecah walhal banyak negara yang dahulunya berpisah kepada dua tetapi sekarang sudah bersatu kembali seperti Jerman Timur dan Jerman Barat berpisah selama 45 tahun?

Hal ini berikutan tindak-tanduk Korea Utara yang sering kali mencetuskan api pergaduhan dengan melancarkan peluru berpandu ke arah Korea Selatan tanpa sebab munasabah, di samping kerangka geopolitik Asia Timur yang mempunyai tarikan tersendiri.

Sebagaimana dapat dilihat dalam Sunshine Policy yang diperkenalkan pada 1998 sebagai langkah untuk berbaik-baik dengan DPRK, Republik Korea (ROK) menghulurkan bantuan berbentuk ekonomi dan menjalin kerjasama dalam bidang kemanusiaan di samping membaiki hubungan ke arah penyatuan Korea. Akan tetapi, Sunshine Policy dibubarkan sejurus Kim Jong-il melancarkan peluru berpandu serta ujian nuklear pada 2006.

Secara tidak langsung hubungan mereka berubah menjadi semakin tegang sedangkan pada Olimpik 2000 dan 2004, kedua-dua Korea ini menjunjung panji yang sama.

KEPENTINGAN GEOPOLITIK

Kedudukan Korea dikelilingi negara kuasa-kuasa besar dunia seperti Jepun, China dan AS menjadikannya sasaran untuk memperluaskan kuasa malah menyukarkan lagi penyatuan semula negara bekas pemerintahan Dinasti Joseon dan Goryeo tersebut.

Hal ini dikatakan demikian kerana perpecahan Korea lebih memberi faedah kepada mereka, maka melambatkan-lambatkan proses penyatuan merupakan jalan terbaik bagi mengambil kesempatan ke atas Korea.

Memandangkan Korea dianggap pesaing yang hebat serta mampu membawa nama ke persada antarabangsa, maka ia merupakan satu bentuk ancaman kepada Jepun.

Lebih-lebih lagi jika Korea yang bersatu memilih untuk menjalin kerjasama atau bergabung dengan China, hal ini akan memberi ruang dan peluang yang besar terhadap China untuk menyerang Jepun.

Persahabatan yang terjalin antara China dan Korea Utara atau DPRK sejak peristiwa pertumpahan darah dalam Perang Korea 1950-an merupakan satu kelebihan bagi China apabila memikirkan Korea yang bersatu akan lebih condong kepada AS. Kekhuatiran China tersebut dapat ditangani melalui keadaan sekarang di mana Korea Utara menjadi kawasan penyangga (buffer zone) antaranya dan AS.

Dari perspektif AS, sekiranya ROK dan DPRK bersatu, maka alasan bagi menempatkan tenteranya di Semenanjung Korea seperti yang tertakluk dalam perikatan ketenteraan antara Korea Selatan akan terhapus.

JALAN PENYATUAN KEMBALI KOREA

Mutakhir ini seperti dicanangkan dalam media sosial dan di dada akhbar, Korea Utara semakin aktif melancarkan beberapa siri ujian peluru berpandu balistik. Beberapa bedilan telah jatuh di zon penampan atau dikenali Selarian Ke-38 (38th Parallel) sebagai garis pemisah antara Korea Utara dan Selatan atau Zon Bebas Tentera (DMZ) yang mana ia dianggap mencabuli perjanjian antara Korea yang berusaha ke arah ‘matlamat bersama’ penyahnuklearan di semenanjung yang ditandatangani pada 2018.

Hal ini mengundang kemarahan pihak Selatan serta sekutunya, AS dan memberi amaran keras bagi menghentikan segala bentuk provokasi yang boleh mengundang kepada masalah lebih besar.

Tambahan pula hasrat untuk bersatu kini semakin berkurang khususnya dalam kalangan generasi muda kerana tidak pernah merasai suasana Perang Korea yang mengorbankan berjuta nyawa anak watan Korea.

Menurut tanggapan mereka, Korea Utara hanyalah sebuah negara asing yang jauh berbeza dari sudut budaya dan identiti persis langit dengan bumi.

Oleh demikian, perdamaian antara kedua-dua Korea ini tidak akan tercapai dengan mudah meskipun mereka berkongsi satu budaya, sejarah dan bertutur bahasa serupa kerana masing-masing mempertahankan ideologi dan identiti yang diimani sejak sekian lama menjadikan ia sukar untuk disatukan kembali sehingga kini.

Sungguhpun begitu, perdamaian antara dua Korea ini bukan suatu yang mustahil terjadi pada masa akan datang memandangkan masih ada kepentingan bersama dalam bentuk kesejahteraan dan ekonomi.

Sekiranya diamati, Korea Selatan sentiasa menunjukkan sifat keterbukaannya terhadap Korea Utara walaupun pihak Utara merupakan ancaman besar. Bak kata pepatah, air yang dicincang tidak akan putus walaupun berbeza pandangan tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak mempergunakan Korea Selatan sebagaimana dilakukan negara asing.

Kunci utama bagi menyatukan semula Korea yang berpisah adalah dengan memulihkan satu komuniti kebangsaan untuk mengatasi heterogeniti (perbezaan) sedia ada antara dua masyarakat.

Menurut pakar hubungan antarabangsa dari negara seberang, Teuku Rezasyah, proses penyatuan mestilah beransur-ansur, berkeadilan dan saling percaya akan pentingnya penyatuan antara dua Korea itu agar dapat bergerak dan melahirkan sebuah ideologi baharu berbentuk ‘demokrasi terpimpin.’ Dialog antara kedua-dua pemimpin juga harus acap kali dilaksanakan tanpa melibatkan campur tangan pihak luar.

Akhirnya, masyarakat Korea perlu menjadikan titik tolak sejarah sebagai dasar dalam mencorakkan Korea yang hebat dan bersatu pada abad ke-21. Mandat bersejarah ini hanya boleh dicapai melalui pengorbanan dan kesabaran generasi Korea sekarang. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor ialah Ketua Jabatan Sejarah & Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) dan Nurbatriesya Abd. Rahim ialah pelajar jabatan berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×