Di Negeri Sembilan sering dibuat perbandingan berkenaan pentadbiran negeri ini semasa di bawah kepemimpinan Tok Mat sebagai Menteri Besar sejak 2004 sehingga 2018 dan juga Tok Min dalam tempoh selepas itu sehinggalah ke hari ini. Tok Mat merujuk kepada Datuk Seri Mohamad Hasan manakala Tok Min ialah Datuk Seri Aminuddin Harun.
Meskipun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Negeri Sembilan yang berlangsung ketika ini tidak melibatkan pemilihan wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), tumpuan rakyat tetap ke arah kedua-dua pemimpin tersebut. Apa tidaknya, pilihan raya kali ini mencipta sejarah dalam kerjaya politik masing-masing apabila kedua-duanya buat pertama kali akan mencuba nasib menjadi wakil rakyat di peringkat Parlimen.
Aminuddin kini calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Port Dickson manakala Mohamad menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Rembau.
Ramai berkata, PRU15 kali ini juga menjadi medan terbaharu untuk menguji pengaruh kedua-dua pemimpin ini. Mereka telah teruji di peringkat parti masing-masing dengan Tok Mat kini bergelar Timbalan Presiden UMNO manakala Tok Min merupakan Naib Presiden PKR. Di peringkat DUN pula, Mohamad sudah bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau sejak 2004 manakala Aminuddin menjadi ADUN Sikamat bermula 2008.
Walaupun PRU ini menyaksikan kedua-duanya tidak bertembung secara langsung di kerusi sama, namun keputusan PRU15 yang akan diketahui pada malam 19 November nanti sangat penting bagi memberi gambaran awal trend pengundian menghadapi pula Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun hadapan. Ia mungkin memberi lebih tekanan kepada Aminuddin selaku ketua eksekutif kerajaan negeri, sama ada dasar dan inisiatif yang dilaksanakan beliau dalam tempoh empat tahun ini berjaya menambat hati pengundi atau sebaliknya.
Jika beliau menang di kerusi Port Dickson dan PH yang diketuainya di peringkat negeri berjaya menambah jumlah kerusi berbanding PRU14, kelebihan pasti memihaknya ketika PRN NS berbaki maksimum tujuh bulan. Bagaimana pula jika keputusan sebaliknya berlaku? Aminuddin dijangka menerima tekanan kuat termasuk dari dalam partinya sendiri.
Bagi BN, PRU15 juga menjadi ruang buat mereka untuk melihat peluang merampas kembali kerajaan negeri daripada PH. Hanya dibezakan dengan empat kerusi, ini adalah masanya buat mereka menilai kekuatan sendiri dan lawan selain mengatur strategi sebaiknya kelak.
Selepas beberapa hari proses kempen berlangsung, persaingan di NS sememangnya dilihat lebih menjurus kepada dua parti utama iaitu BN dan PH bagi meraih undi keseluruhan 850,865 pemilih di negeri ini. PH menjadi pilihan untuk tiga daripada lapan kerusi Parlimen keseluruhan iaitu Seremban, Rasah dan juga Port Dickson. Ketiga-tiga kerusi ini dimenangi mereka untuk beberapa penggal sebelum ini.
KERUSI SELAMAT
Bagi BN pula, dijangka mereka dapat mempertahankan Rembau, Jelebu dan Jempol manakala baki dua kerusi lagi iaitu Parlimen Tampin dan Kuala Pilah, persaingan dilihat terbuka. Kedua-dua kerusi ini boleh dianggap sebagai kerusi selamat buat BN sebelum ini, namun menerima kejutan pada PRU14 lalu apabila dimenangi PH.
Bagaimanapun, kerusi Kuala Pilah diduduki pula oleh Perikatan Nasional (PN) selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dari PH sekali gus menjadikan penyandang kerusi itu, Datuk Eddin Syazlee Shith menjadi satu-satunya wakil rakyat PN di negeri ini. Selain Eddin Syazlee yang juga Pengerusi PN Negeri Sembilan, calon-calon lain yang ditampilkan di kedua-dua kerusi tersebut merupakan muka baharu.
Di NS juga, Parlimen Seremban turut mencuri perhatian apabila Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook akan cuba menduduki kerusi itu untuk penggal ketiga. Pertama kali akan bertanding selaku pemimpin tertinggi parti, Siew Fook kali ini berdepan pertembungan lima penjuru termasuk seorang calon wanita yang ditampilkan oleh BN, iaitu Wong Yin Ting.
Walaupun Siew Fook dilihat sebagai pilihan, Yin Ting menjelaskan mampu mencipta kejutan ketika jentera BN terutama dari UMNO dilihat semakin menerimanya sebagai calon di Parlimen itu. Umum mengetahui, UMNO terutama menerusi Pergerakan Pemudanya paling lantang mendesak agar kerusi Parlimen Seremban kali ini ditandingi oleh calon dari parti Melayu itu.
Selain akan ditandingi oleh Aminuddin, kerusi Port Dickson yang ditinggalkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mendapat tumpuan apabila ia turut ditandingi oleh dua personaliti. Pertama, pengarah dan pelakon, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan aktivis sosial yang bertanding atas tiket Bebas, Abdul Rani Kulup Abdullah.
Kedua-duanya mungkin tidak perlu lagi diperkenalkan terutama Ahmad Idham, namun pengalaman dalam arena politik menjadi perbezaan buat mereka dengan calon lain termasuk dari BN, Datuk P. Kamalanathan.
Kehadiran Kamalanathan yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pendidikan dilihat mampu memberikan saingan kepada Aminuddin.
Seperti di peringkat nasional, tiada isu besar ataupun isu setempat yang dilihat memberi kesan dan boleh mempengaruhi keputusan akhir yang akan dibuat oleh pemilih di NS. Peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan isu perumahan terutama dalam kalangan generasi muda menjadi antara dihasratkan oleh rakyat supaya ia dapat diselesaikan oleh kerajaan yang akan diberi mandat nanti.
Parti manakah yang dilihat dapat memberikan tawaran munasabah bagi penyelesaian bagi isu-isu tersebut, tentu sekali dapat membawa kelapan-lapan kerusi Parlimen di NS bersama mereka ke Putrajaya. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Negeri Sembilan.











