‘Tukar rizab AS$100b kita jadi emas’

‘Tukar rizab AS$100b kita jadi emas’

BARJOYAI BARDAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Isu kenaikan harga barangan sering menjadi keluhan rakyat. Selepas pelbagai langkah diusahakan kerajaan seperti menyuntik bantuan kewangan serta melaksanakan dasar-dasar monetari, namun harga barang tetap tidak turun-turun.

Namun dalam tidak sedar, faktor utama mendorong masalah itu adalah ekosistem perbankan di negara ini. Rupa-rupanya sistem perbankan kita mengakibatkan wang ringgit sentiasa beredar dengan banyak dalam pasaran, mendorong kenaikan harga barangan.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, FAHMI FAIZ, pakar ekonomi, PROFESOR DR. BARJOYAI BARDAI mengulas mengenai perkara ini dan menceritakan kisah sebenar di sebalik tabir perbankan di negara ini.

UTUSAN: Bagaimana ekosistem bank di negara ini? Adakah mereka buat duit di atas kesempitan hidup rakyat?
BARJOYAI: Sebenarnya bank memang buat duit. Perbankan adalah sektor paling menguntungkan bukan saja di Malaysia, malah seluruh dunia. Bank sebenarnya bekerjasama dengan bank pusat, dalam kes kita, Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membekalkan wang ke dalam ekonomi.

Tapi cara mekanismenya adalah sah, yang memang diwujudkan oleh sistem bank konvensional. Maknanya, sistem bank kita sebenarnya diasaskan daripada tradisi pihak tertentu. Pihak ini sudah beribu tahun pendapatan utama mereka adalah menyewakan duit. Pada zaman dahulu, pihak ini menyewakan duit untuk buat duit. Peniaga-peniaga akan menyewa duit pihak ini untuk berniaga.

Jadi, tradisi itu sudah bersambung, tapi pihak ini pun jelas bahawa mereka mempunyai jumlah wang yang terhad. Jadi, mereka mewujudkan satu sistem yang dipanggil sistem perbankan pecahan.

Apa maksudnya?
Sistem ini bermaksud bank komersial memasukkan satu peratus deposit ke bank pusat. Ini dipanggil deposit berkanun. Bila bank komersial sudah masukkan deposit, mereka boleh berikan pinjaman. Adakah mereka mencetak wang? Sebenarnya bukan cetak wang, tapi memberikan pinjaman kepada pelanggan. Kadarnya lebih kurang sembilan kali ganda.

Ada contoh?
Contohnya, katakan rizab deposit mereka 10 peratus, mereka boleh beri pinjaman sampai sembilan kali ganda. Jadi, bila memberikan pinjaman, mereka sebenarnya mewujudkan wang baharu ke dalam pasaran.

Sudah tentu kepada bank pusat, ini bukan wang sebab apa yang dikeluarkan itu (oleh bank komersial) adalah pinjaman. Kemudian pinjaman itu dimasukkan ke dalam akaun setiap pelanggan sebagai baki deposit. Jadi, sebenarnya mereka menambahkan deposit kepada pelanggan dan kemudian dengan deposit kepada pelanggan itu, mereka (bank komersial) boleh memasukkan deposit lagi kepada bank pusat dan memberikan pinjaman lagi. Jadi, akan keluar berganda-ganda.

Macam mana pula dari segi keuntungan bank komersial?
Yang penting kepada bank komersial margin faedah. Ini adalah margin untung kasar bank, iaitu perbezaan di antara kadar pinjaman yang dikenakan bank ke atas pelanggan (BLR) dan kadar dasar semalaman (OPR). Jadi, perbezaan itu yang dipanggil margin faedah. Margin faedah inilah yang menentukan keuntungan bank. Katakan sekarang margin faedah dalam lingkungan 2.3 sehingga tiga peratus, jadi kalau tiga peratus (keuntungan bagi) setiap pinjaman yang mereka buat, mereka akan dapat tiga peratus untung kasar.

KENAIKAN HARGA BARANGAN

Adakah sistem ini mengakibatkan inflasi dan kenaikan harga barangan?
Memang betul, sebab duit beredar banyak dalam pasaran. Cuma BNM, mereka risau tentang duit tunai dalam pasaran. Jadi, bila BNM menaikkan OPR, mereka mahu menyapu bersih duit tunai dari pasaran supaya dimasukkan ke dalam bank sebagai deposit.

Di mana nilai sandaran sebenar duit dalam pasaran sekarang?
Ia tak disandarkan kepada apa-apa, cuma disandarkan kepada pengukuhan ekonomi saja.

PERJANJIAN BRETTON WOODS

Ini berlaku sejak bila?
Sejarahnya, sebelum 1970, semua duit kita disandarkan dengan emas. Kita pada masa itu berada dalam sistem Bretton Woods. Dalam perjanjian Bretton Woods, setiap ringgit yang dikeluarkan mesti disokong oleh emas. Tapi kemudian pada 1970, Presiden Amerika Syarikat (AS) waktu itu, Richard Nixon isytiharkan AS tidak sanggup lagi meneruskan perjanjian Bretton Woods. Sebab masa itu Presiden Perancis, Charles de Gaulle ada banyak mata wang dolar, beliau nak tukar mata wang dolar itu dengan emas. Jadi, Presiden Nixon kata, maaf kita tiada emas sebenarnya. Jadi, dia sudah tipu dunia. Maka, pada waktu itu kebanyakan negara dunia sebenarnya sukalah, sebab mereka tak perlu mempunyai deposit emas untuk mengeluarkan wang.

Kemudian apa berlaku?
Kebanyakan negara pada waktu itu menggantikan emas dengan dolar AS. Jadi, dolar AS dijadikan sebagai sandaran kepada mata wang dan ini masih berlaku di Malaysia, secara tidak langsung kita hari ini ada lebih kurang AS$100 bilion sebagai rizab asing. Ini merupakan sandaran kepada mata wang kita.

Adakah sistem ini mapan?
Sistem ini memanglah tidak mapan, sebab ini dipanggil sistem dominasi AS. Maksudnya, AS adalah negara yang menguasai ekonomi dunia. Kerana, pertama sekali kebanyakan urus niaga antarabangsa menggunakan dolar AS. Kedua, kebanyakan negara dunia juga menyimpan mata wang dolar AS sebagai rizab. Jadi, jika seandainya dolar AS runtuh, semua negara juga akan runtuh.

Termasuk Malaysia?
Ya, termasuk negara kita, sebab kita ada kira-kira AS$100 bilion sebagai rizab. Jadi, seluruh negara dunia tidak akan mampu belot daripada AS.

SANDARKAN PADA EMAS

Bagaimana mahu keluar daripada sistem ini?
Russia pada enam bulan lepas sudah mula berani dan mewujudkan semula sistem Bretton Woods. Mereka buat langkah ini secara bersendirian sebab mereka ada banyak rizab emas, iaitu kira-kira 2,300 tan emas. Mereka menggunakan rizab emas itu untuk menyandarkan mata wang ruble. Sebenarnya perang Russia-Ukraine sekarang bukan perang antara Ukraine dengan Russia, tapi perang di antara AS dengan Russia. Tapi sekarang ada perang yang dipanggil ‘peperangan ekonomi dan kewangan.’

Boleh jelaskan lebih lanjut?
Maknanya AS cuba membunuh ekonomi Russia dengan cuba menjatuhkan nilai ruble. Dan macam-macam cara yang dilakukan AS. Tapi bila Russia sudah wujudkan semula sistem Bretton Woods dan menggunakan simpanan emas mereka sebagai sandaran kepada ruble, tiba-tiba ruble meningkat kepada 12 peratus dalam masa enam bulan. Jadi sekarang AS sudah panik. AS cuba bunuh Russia, tapi siapa terbunuh? Bukan Russia, tapi semua negara Eropah dan negara-negara miskin.

Bagaimana Malaysia boleh bebaskan diri daripada cengkaman sistem bank yang tidak mapan ini?
Apa yang perlu kita buat ialah tukar rizab AS$100 bilion itu jadi emas. Kita beli emas dan kita gunakan itu sebagai sokongan kepada ringgit. Cuma ada banyak penganalisa berkata, kalau semua negara dunia ikut langkah ini, harga emas akan melambung tinggi. Hakikatnya, baguslah harga emas melambung tinggi. Pada masa itu nanti, mata wang kita pun akan melambung tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN