Risau sekali lagi dipimpin puak tiada pengalaman

Risau sekali lagi dipimpin puak tiada pengalaman

MOHD. ALI MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

WALAUPUN jumlah koperasi berdaftar meningkat kepada 14,834 buah dengan keahlian 7.4 juta orang, cabarannya agak kritikal kerana sumbangan sektor ini terlalu kecil, iaitu antara dua hingga tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekitar 30 peratus setahun.

Justeru, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang juga Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), DATUK MOHD. ALI MANSOR menubuhkan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia bagi menarik minat golongan muda menyertai sekali gus berjaya dalam sektor ini.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto, SHIDDIQIN ZON di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. Kata beliau, penubuhan universiti itu akan membuka peluang lebih luas kepada masa depan belia dan pada masa sama membawa pulangan besar dalam sektor percukaian negara.

UTUSAN: Apa peranan IKMa?
MOHD. ALI: IKMa atau sebelum ini dikenali sebagai Maktab Kerjasama Malaysia dan Maktab Koperasi Malaysia ditubuhkan pada 1956 dengan tujuan melatih ahli-ahli koperasi khususnya lembaga pengarah dan ia berterusan sehingga sekarang.

Cuma tanggungjawab kita sekarang lebih luas dengan melaksanakan juga program-program di peringkat profesional dan pendidikan tinggi sehingga ijazah doktor falsafah (PhD). Ketika itu jumlah koperasi 1,000 hingga 2,000, sekarang 14,834.

Jarak angka itu agak besar dan beberapa garis panduan dibuat SKM melibatkan tanggungjawab IKMa secara lebih serius terutama dalam soal transformasi koperasi bagi 2021 hingga 2025. Ini termasuk Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).

Siapa sasaran dan kelebihan menyertai IKMa?
Buat masa ini sasaran kepada ahli lembaga pengarah kerana mereka merupakan nadi utama kepada pergerakan koperasi. Kami juga menerima ahli-ahli lembaga pengurusan untuk mendapat latihan di sini. Kita juga melebarkan lagi di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan masyarakat supaya lebih ramai sedar tentang kewujudan koperasi dan terlibat dalam satu sektor ekonomi yang penting. Hampir 70 hingga 80 peratus bayaran pengajian ditanggung oleh IKMa.

Apa perubahan Datuk lakukan sejak dilantik menjadi Ketua Pengarah IKMa pada Februari 2021?
Saya datang sini hanya untuk menjalankan tugas. Yang pertama, ubah nama kerana ada kekeliruan dengan Institut Kemahiran Mara.

Tetapi masalah paling besar dalam sektor ini adalah generasi muda. Kita perlu melihat bagaimana cara untuk generasi muda terlibat dalam sektor ini. Sebab itu kita buat keputusan memohon kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk menubuhkan Universiti Keusahawanan Koperasi dan ia telah diluluskan.

Mampukah sektor koperasi yang dilihat agak perlahan bersaing dengan perniagaan lain?
Memang (koperasi) agak perlahan dengan pulangan sekitar RM40 bilion setahun. Kalau pergi ke swasta, kita pada kadar dua hingga tiga peratus daripada KDNK, sebenarnya terlalu rendah. Sebab itu mahu tak mahu, kita terpaksa melatih generasi baharu dan dalam masa sama patut beri penekanan kepada kerajaan untuk melihat sektor ini secara lebih baik dengan memberi kelonggaran, peluang dan bantuan secepat mungkin agar setanding dengan sektor swasta dan akhirnya akan bantu kerajaan dalam percukaian negara.

Difahamkan Datuk mencadangkan lesen koperasi diperbaharui setiap lima tahun. Boleh jelaskan?
Sebelum cadangan ini dibuat, saya lihat kekuatan SKM dari segi kewangan. Mereka merupakan pihak kawal selia. Jadi, dalam soal ini saya cadangkan supaya lesen koperasi diperbaharui setiap lima tahun bagi tujuan memudahkan program kawal selia oleh SKM.

Dari sini kita boleh lihat koperasi yang aktif, tidak aktif, bayar hutang, tidak bayar hutang atau yang bermasalah.

Koperasi menerima RM100 juta daripada RM668.3 juta yang diperuntukkan dalam Bajet 2023 kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Komen?
Tak cukup tetapi kita harus sedar bahawa Kementerian Kewangan atau kerajaan mempunyai pandangan tersendiri. Dalam sektor ini, kita ada cukai spesifik iaitu kita kenakan cukai-cukai kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan, Wang Amanah Pembangunan. Jadi, kita ada tabung tertentu bagi mendukung gerakan ini.

Jika kerajaan berhasrat mahu menjana pendapatan sebanyak RM100 bilion menjelang 2030, maka sekurang-kurangnya 10 peratus (RM10 bilion) perlu ada suntikan dalam sektor ini. Barulah boleh dapat sasaran itu.

Bagaimana mahu tarik minat golongan belia sertai koperasi?
Kalau cakap soal ringgit dan sen sebenarnya penubuhan universiti ini tidak begitu berbaloi sebab Malaysia ada 400 lebih IPTS, 20 IPTA tetapi dalam soal ini kami melihat IKMa yang ditubuhkan sejak 65 tahun lalu tidak berkembang. Sebab itu kita lihat perlu ada perubahan dan salah satunya adalah meningkat pencapaian dalam sebuah boutique university. Kita mengambil sekitar 2,000 pelajar sahaja dalam satu-satu masa.

Kami mempelawa koperasi besar terlebih dahulu untuk menghantar anak atau ahli keluarga belajar di universiti ini.

Kalau kita lihat, jumlah pengangguran sangat tinggi khususnya dalam kalangan mahasiswa dan IKMa sedar peluang pekerjaan yang baik wujud dalam sektor koperasi. Kerana itu kita harus buka satu lagi peluang kerjaya kepada mahasiswa untuk menyertai sektor koperasi.

Mampukah bersaing dengan universiti yang mempunyai kursus perniagaan sedia ada?
Kami yakin mampu bersaing. Pertama, kita adalah universiti yang mempunyai hubungan dengan kerajaan. Sama seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Telekom Sdn. Bhd.

Dengan jumlah koperasi yang ada dan jika kita lahirkan 500 pelajar setahun, sudah cukup untuk serap dalam sektor ini. Jadi, ia sebenarnya membantu pelajar mendapat kerjaya yang lebih baik.

Bagaimana masa depan universiti jika kerajaan bertukar selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?
Kalau dalam kalangan Barisan Nasional (BN), saya fikir tiada masalah kerana mereka memahami Dasar Koperasi Negara. Mereka berada dalam sektor ini lebih awal. Cuma kita bimbang jika negara dipimpin oleh mereka yang tidak berpengalaman dalam sektor pembangunan usahawan. Sedikit sebanyak akan menjejaskan usaha ini.

Yang paling terjejas semestinya universiti kerana tak semua faham tentang konsepnya, lebih-lebih lagi jika mereka hanya fikirkan keuntungan semata-mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN