Politik kotor khianati negara

Politik kotor khianati negara

KITA perlu menolak politik kotor yang sering membuat tohmahan kononnya sistem kehakiman kita bukan sahaja lemah, tetapi gagal pula. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGAMPUNAN diraja adalah hak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan setelah dibicarakan mahkamah negara ini. Ia juga merupakan hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Tuanku di negeri yang beraja di mana berlakunya sesuatu kesalahan itu.

Ini termaktub pada Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Selain pengampunan, hak ini ikut melibatkan penggantungan pelaksanaan hukuman, antaranya pembatalan, penangguhan dan pengurangan.

Sehubungan Perkara 42 ini, ia merupakan hak diraja yang tidak pun memerlukan dalil semasa memberikan pengampunan dan penggantungan pelaksanaan hukuman untuk semacam membantah keputusan mahkamah. Ini kerana ia merupakan hak yang diperuntuk khas yang hanya berdasarkan kebaikan hati raja yang memerintah.

Oleh itu, tidak benar bahawa ada pengampunan tertentu yang ikut diberikan dalilnya, misalnya kesilapan mahkamah, yakni hukuman yang dikenakan oleh mahkamah adalah silap kerana pihak yang dituduh tidak pun melakukan kesalahan yang disabitkan itu.

Kenyataan begini, iaitu mahkamah melakukan kesilapan dalam penghakimannya untuk menghukum walhal orang yang dituduh tidak pun melakukan perkara yang dituduh terhadapnya, bukan sahaja sangat tidak baik, ia amat mudarat kepada sistem kehakiman negara.

Ini kerana ia membayangkan kelemahan sistem kehakiman yang sangat bobrok sehingga mensabit dan menghukum seseorang yang tidak pun melakukan kesalahan berkenaan.

Selanjutnya, kenyataan begini juga memperlihat implikasi serius bahawa sistem kehakiman negara gagal sehingga boleh membuat keputusan silap, walaupun setelah ternyata tidak pun ditemui sebarang bukti sebagai unsur penting pada sesuatu kesalahan jenayah yang disabitkan itu.

Sebenarnya kenyataan itu yang berupa tohmahan hendaklah dihentikan serta-merta. Ini kerana pertama-tamanya tidak benar sama sekali terdapatnya kesilapan mahkamah pada mana-mana kes di negara ini yang telah pun melalui proses perbicaraan sepenuhnya dan secara adil pula, termasuklah yang pernah sampai ke peringkat penyemakan kehakiman sesudah dimuktamadkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Tambahan lagi, tohmahan begini biarpun untuk apa-apa jua tujuan, antaranya menyelamat air muka dan menyalahkan pihak tertentu, adalah bukan sahaja amat buruk dampaknya kepada Badan Kehakiman itu sendiri, antaranya Ketua Hakim Negara serta seluruh mahkamah di negara ini.

Ia juga sebenarnya memalitkan Badan Pentadbiran, iaitu Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan seluruh jentera kerajaan. Bukan sahaja Badan Kehakiman dan Pentadbiran terpalit, ia ikut melumangkan Badan Perundangan, iaitu Parlimen Malaysia yang terdiri dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Yang lebih dahsyat lagi ialah dampak tohmahan ini turut mencorengkan Majlis Raja-Raja, khususnya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara.

MULIA

Oleh itu, tohmahan kesilapan mahkamah yang dihelahkan itu tidak patut diteruskan lagi untuk sebarang tujuan, apatah lagi bagi maksud melebun (menipu).

Ini kerana ia bukan sahaja tidak benar, ia melumaskan institusi raja sebagai berpihak, sedangkan ia tidak pun begitu kerana selalu bersikap berkecuali dalam semua hal, lebih-lebih lagi yang bersifat politik sempit yang melibatkan ahli dan parti politik.

Dengan ini, semua pihak digesa, khususnya ahli politik untuk tidak sesekali melibatkan institusi raja, khususnya entiti Majlis Raja-Raja dalam soal pengampunan untuk tujuan politik tertentu yang rakus sifatnya.

Ini kerana institusi ini adalah terlalu mulia untuk dicalitkan oleh sesiapa sahaja dalam apa-apa bentuk jua, apatah lagi permainan politik kotor.

Sepatutnya kita harus sudah lama matang dalam berpolitik dengan langsung tidak terjerumus ke dalam politik kotor setelah sudah 65 tahun merdeka.

Politik kotor ini bukan sahaja menjejaskan citra negara, baik pada mata rakyat sendiri mahupun warga dunia, ia ikut memudaratkan negara kerana ditohmahkan, antaranya sebagai memiliki sistem kehakiman yang bukan sahaja lemah, tetapi gagal pula.

Sehubungan pengampunan diraja, ia harus dihormati sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, ia tidak patut disensasikan, apatah lagi dipolitikkan dengan mencadangkan cara tertentu untuk dikendalikan.

Ini kerana ia hak, iaitu kekuasaan dan keistimewaan yang khusus diberikan secara mutlak kepada raja yang memerintah, untuk memberi pengampunan dan yang seumpamanya kepada mana-mana pesalah.

Dengan ini, semua pihak diminta menghormati hak diraja ini. Ini penting bukan sahaja untuk memperlihat kita beradab, yakni beretika dengan kesantunan dan akhlak luhur serta ada kasih sayang dan pertimbangan wajar, ia juga mustahak dalam menunjukkan kita berakal, iaitu mempunyai kebolehan berfikir yang rasional selain yang dapat memahami sesuatu dengan penuh kebijaksanaan.

Sebetulnya, semua ini amat penting untuk kedaulatan kita sebagai sebuah negara dan juga bangsa. Oleh itu, mustahak sekali untuk kita sangat berpada-pada dalam berpolitik untuk memastikannya tidak sesekali menjadi kotor. Sebenarnya politik tidak sebegitu apabila dikendalikan ahli politik baik. Dalam hal ini, politik menjadi kotor kerana adanya ahli politik tidak baik.

Sebaliknya, ia boleh menjadi tidak kotor apabila arenanya disarati ahli politik baik yang tidak akan sesekali mengkhianati negara tercinta ini dan rakyatnya yang patriotik dalam apa-apa cara jua, antaranya dengan tohmahan kegagalan sistem kehakiman negara. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×