SEOLAH-OLAH berjangkit daripada kejadian lif ‘tak halal’ seperti dibincangkan minggu lalu, kini timbul pula desas-desus demokrasi ‘tak halal.’ Mungkin ini berkaitan dengan demam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang datang dengan tiba-tiba walaupun ramai tidak menjangkakannya. Termasuk beberapa anggota jemaah menteri yang menulis surat supaya PRU tidak diadakan pada tahun ini.
Tetapi mengapa pula ‘tak halal’? Ada dua pencerahan. Pertama, ada yang mengatakan ramai tidak setuju dipercepatkan PRU15 atas beberapa sebab terutama untuk mengelak ‘kemarau undi’ akibat ramalan cuaca buruk pada penghujung tahun seperti lazim dialami.
Pada tahun lalu, ia amat teruk sehingga melumpuhkan banyak kawasan di seluruh negara buat pertama kalinya.
Ini bermakna kehadiran yang keluar mengundi akan berkurangan dan boleh menjejaskan keputusan keseluruhan. Ini tatkala rakyat menginginkan sebuah kerajaan stabil dan mendapat mandat kuat untuk membawa perubahan yang benar-benar mencerminkan satu pembelaan atas pengorbanan dilalui sejak munculnya pandemik Covid-19.
Dengan pendekatan seolah-olah memaksa PRU15 untuk dilaksanakan melalui apa cara jua, dianggap sebagai tidak demokratik. Maka digelar sebagai ‘tak halal’ atas dasar sogokan tadi. Apatah lagi terdapat unsur-unsur kelompok tertentu yang agak berpengaruh dalam hal ini.
Namun, tidak semuanya jelas dan telus akan apa sebab perlunya PRU15 dipercepatkan. Apa yang jelas adalah banyak wang, tenaga serta sumber akan dibelanjakan sedangkan derita rakyat terus bukan kepalang hebatnya. Mengapakah nasib mereka tidak diutamakan sewajarnya selepas begitu lama mengikat perut?
Jika begitulah hakikat seterusnya, bagaimana demokrasi sedemikian rupa dapat ‘dihalalkan’? Maka berasaskan ini, pencerahan kedua mengecapnya ‘tak halal’ ditambah pula dengan dakwaan bahawa sumber pembiayaannya diragui serta dipertikaikan bergantung kepada dalil-dalil tertentu.
Ini sahaja sudah barang tentu mengundang andaian bahawa demokrasi berkaitan sumber sedemikian rupa sememang tidak halal statusnya. Hujah logiknya tidak ubah seperti hujah gelaran lif ‘tak halal’ tempoh hari.
Hanya kali ini demokrasi diramalkan sebagai ‘pelantar’ yang mampu mengubah satu kedudukan atau aras kepada yang lain sepertimana sebuah lif yang juga mampu berbuat demikian. Jika demokrasi dipacu atau digerak oleh sumber ‘tak halal’, maka tidak halal pulalah keputusan yang terhasil kelak.
MENYUAP
Kemungkinan ini berlaku agak lazim apabila kini harga demokrasi terus meningkat dari masa ke masa. Hanya mereka yang berharta mampu menjadi calon PRU kerana sudah tentu akan menelan wang banyak sekali. Ia berlandaskan kepada kemampuan ekonomi seseorang atau parti disertainya. Justeru, semakin mahal pembiayaannya, semakin besar pula kemungkinan berlaku langkah tidak berertika termasuk perlakuan rasuah atau umumnya politik wang. Sekali gus perilaku membeli undi atau pengaruh menjadi amalan biasa.
Ini bukan semata-mata membangkitkan persoalan etika-moral sahaja, malah berkait dengan struktur politik itu sendiri akibat pemusatan kuasa politik untuk ‘menyuap’ rakyat yang diasuh menunggu sebagai ahli parti dalam keinginan meraih apa sahaja melambangkan kemenangan.
Tidak syak lagi, ia boleh mencetuskan rasuah pelbagai bentuk baharu selaras kemenangan yang diperoleh secara licik dan halus, lebih ke arah negatif apabila tampuk kuasa beralih. Maka rasuah akan terus dibudayakan dengan rancaknya.
Ada yang mengatakan jurang ketidakadilan sosial yang meluas menandakan betapa rasuah telah meresap masuk dalam sistem pentadbiran itu sendiri. Semua bersendikan demokrasi ‘tak halal’ sebagai punca utamanya.
Fenomena ini boleh melarat lebih luas lagi tatkala pelabur-pelabur terus bersekongkol dalam melariskan demokrasi ‘tak halal.’ Kadangkala negara asal pelabur tersebut memainkan peranan penting dalam menentukan yang terlemah akan memerintah supaya rasuah boleh dijadikan penentu utama.
Termasuklah kelompok perniagaan tempatan yang berperanan menjadi tali barut berpengaruh kepada pengamal politik yang mudah disuap dari pelbagai sudut tanpa rasa malu. Penajaan untuk kelompok berkenaan daripada para peniaga tersebut agak lumrah. Kemudiannya mereka akan mendapat pelbagai keistimewaan sebagai timbal balik ‘pelaburan’ yang telah didahulukan. Wang berjuta-juta boleh bertukar tangan dengan pantas dalam demokrasi ‘tak halal’ bergantung kepada kuasa pasaran yang menangguk semasa politik yang kucar-kacir zahirnya.
Ringkasnya, demokrasi ‘tak halal’ ada kenyataannya dalam arena politik semenjak dahulu lagi. Walaupun begitu, pada kali ini apa amat nyata menuntut mereka yang cerdik agar bertindak menghalanginya dengan membuat pilihan bijak sebagai pengundi pascapandemik yang cukup insaf akan cabaran masa hadapan. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










