KALAU dipinjam skrip-skrip filem Allahyarham P. Ramlee untuk sekadar dicuit metaforanya dalam situasi politik negara ini, banyak teladan dan iktibar boleh dikutip.
Benarlah kata orang, filem-filem Tan Sri P. Ramlee ini tak pernah jemu ditonton. Tak lapuk dek zaman, tak lekang dek panas. Filem-filem arahan dan lakonan Allahyarham mendahului zamannya.
Antaranya dalam filem Ahmad Albab mengisahkan kehidupan tiga beradik perempuan, Mastura (lakonan Saloma), Zahara (Mariani) dan Suhara (Mimiloma) berbapakan saudagar Mas’hud Al Buaya yang mementingkan kebendaan. Antaranya babak yang masih diingati apabila tiba majlis hari jadi Mas’hud, dengan Suhara dan suaminya, Safar manakala Muharam dan isteri, Zahara memberikan hadiah istimewa kepada bapa mereka.
Akan tetapi seorang lagi menantu Mas’hud iaitu Syawal sekadar memberikan hadiah semangkuk garam dan gula lalu diherdik oleh Mas’hud. Mastura, isteri Syawal pula memberikan hadiah berupa sekeping roti gandum tanpa garam dan secawan kopi tanpa gula.
Babak itu samalah seperti jatuh bangun parti politik tanah air hari ini. Tengok sekitar kehidupan kita sahaja. Bila air rasanya tawar, orang hanya ingat gula. Tapi tak cakap eh! sirapnya tawarlah? Ibarat nasib parti politik yang pernah banyak berjasa kepada rakyat. Bila musibah datang, antaranya banjir melanda negeri, barulah teringat cara bekerja orang parti itu. Khidmat baktinya menjalar, awesome.
Pada masa sama, adalah serba sedikit punca sakit disebabkan gula (diabetes). Kemudian si polan tambah satu dua adu domba dan putar belit yang akhirnya konon semua yang salah kerajaan itu.
Ketika menjamah makanan yang enak, kita akan akui sedap dengan `penangan’ lemak karinya. Tapi bila tawar tak masin, garam jugalah yang diperlukan. Bila kurang masin, barulah ingat parti berkenaan – teringat sentuhan rakyat gabungan parti itu yang pernah suatu ketika keanggotannya lebih 10 parti.
Yang sedihnya juga apabila kena ‘sakit darah tinggi’, mereka ini akan kata `ha! inilah kau letak garam, dengan menyalahkan 100 peratus parti yang banyak berjasa itu.
Di penghujung cerita, tiba lagi majlis hari jadi Mas’hud dengan Muharam dan Safar menghadiahkan intan dan berlian manakala Syawal menghadiahkan sebuah replika masjid untuk bapa mentuanya agar dia bertaubat kepada Allah dan tidak bercakap takbur lagi.
Muharam dan Safar kemudian memujuk Mas’hud agar tidak mengherdik Syawal kerana Syawal lah yang sebenarnya banyak membantu mereka. Malah, hadiah yang diberikan oleh Muharam dan Safar adalah milik Syawal.
Mas’hud (analoginya seperti mana penabur-penabur dakyah politik hari ini) masih tidak mempercayai bahawa Syawal sudah menjadi hartawan dan dermawan. Sehingga Syawal membuktikan dengan pakaian mewahnya, barulah Mas’hud mempercayai dan menganggapnya sebagai menantu kesayangan.
Di ambang PRU15 ini, barangkali November ini dan mungkin juga menjangkau tahun depan, pengundi jangan ikut sangat emosi.
Kelak tersalah pilih menyesal di kemudian hari.
‘Jangan bakar kelambu’
SNOUCK Hurgronje, orientalis Belanda yang tinggal di Indonesia pada akhir abad ke-19 ada menyatakan:
“Di rantau Kepulauan Melayu ini, orang Melayu-Islam sukar dirosakkan dari luar. Tetapi ia mudah dirosakkan dari dalam”.
Teori itu berjalan sekarang. Tanpa disedari di negara ini, politik Melayu berpecah kepada banyak parti. Pedihnya lagi ada parti Melayu yang jadi `kuda tunggangan’ pula.
Dalam diri orang Melayu tidak harus mudah apologetik atas nama perjuangan. Atau semasa menegakkan yang hakiki – hak Raja-raja, hak asal-usul di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, hak pribumi, bahasa dan budaya Melayu di samping menyatakan hak-hak sah kaum lain diterima.
Jika ada yang memekak, parti-parti Melayu mesti berani menempelak mereka. Mesti dihidupkan budaya berundang-undang mahir, berbicara juga mesti mahir dan menang.
Jangan lupa bila pokok sudah condong, kura-kura pun naik – ular apatah lagi, biawakpun ikut.
Jangan kerana fakta tidak diperiksa, hanya separuh didengar dan separuh lagi diselindungkan, kelambu pun dibakar.
DAP untung?
DAP tetap parti dominan dalam Pakatan Harapan (PH) biarpun ketua pembangkang daripada pemimpin PKR.
Sejarah PRU sejak 1990 membuktikan DAP hanya mampu menang banyak kerusi Parlimen hasil kerjasama dengan parti berteraskan Melayu, PKR dan Pas.
DAP bagaimanapun cuma boleh menang di kawasan majoriti Cina pada PRU 1990 dan 1999 walaupun berlaku perpecahan dalam UMNO dan berpakat dengan beberapa parti Melayu lain. Namun dalam PRU 2008 dan 2013 apabila DAP mendapat sokongan Melayu yang banyak hasil kerjasamanya dengan Pas dan PKR, kerusi DAP bertambah secara drastik dengan memenangi 28 kerusi (12.61%) dan 38 kerusi (17.1%) daripada 222 kerusi Parlimen.
DAP menang 20 daripada 57 kerusi Parlimen yang ditandingi pada PRU 1990, sembilan daripada 50 (PRU 1995), 10 daripada 47 (PRU 1999), 12 daripada 44 (PRU 2004), 28 daripada 47 (PRU 2008) dan 38 daripada 51 (PRU 2013).
Pada 9 Mei 2018, DAP membuktikan hasil kesepakatan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), parti itu menang 42 kerusi. Bahkan berjaya menumbangkan BN yang berkuasa lebih enam dekad.
Menghadapi PRU15, DAP risau partinya akan gagal meraih sokongan pengundi Melayu. Tempoh 22 bulan memerintah bersama PKR dan Bersatu setakat Februari 2020, ada ‘telur tembelang yang pecah’ berkisar isu-isu kepentingan Melayu yang dibalas dengan siri pembelaannya.
Andai kata parti-parti Melayu terus tidak bersatu, DAP menerusi PH mampu kembali biarpun hanya sekadar bertanding 60 kerusi Parlimen pada PRU15. – Mingguan Malaysia










