SEJAK 2010, saban tahun penyair dari luar negara ‘berkampung’ di Pulau Pangkor, Perak untuk menjayakan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (Pulara). Acara ini sudah tercatat dalam kalendar seni dan sastera selama sembilan tahun berturut-turut.
Pulara juga tercatat dalam peta puisi dunia apabila saban tahun penyair dari pelbagai negara menyertai acara ini. Penyertaan dari luar negara penting untuk menyebarluaskan Pulara di serata dunia. Pada masa yang sama menjadi tumpuan dalam kalangan penyair dan sasterawan tempatan.
Bagaimanapun, acara ini tertunda pada 2020 dan 2021 disebabkan kekangan pandemik Covid-19. Acara kali ke-10 yang sepatutnya diadakan pada 2020 tertunda pada tahun ini. Ia diadakan selama tiga hari bermula 8 September lalu di Hotel Travelodge, Ipoh dan di Muzium Perak, Taiping.
Bagi sebuah acara sastera dan budaya, dianjurkan secara berterusan setiap tahun adalah suatu tanda kejayaan. Ini menunjukkan keberadaannya dirasakan dalam masyarakat setempat dan antarabangsa. Pulara adalah acara tahunan di Perak dan tertulis dalam kalendar pelancongan negeri berkenaan.
Sekalipun dua tahun berselang, penyertaan dalam kalangan penyair tetap menggalakkan. Malah penyertaan dari luar negara juga membanggakan sekalipun agak kecil berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Pulara 10 dibuka dengan ucaptama oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir. Tokoh ini sangat signifikan dengan Pulara yang diwujudkan ketika beliau menjadi Menteri Besar. Masa yang sama kerajaan negeri Perak banyak membantu menzahirkan Pulara sebagai acara antarabangsa.
Pulara diasaskan oleh sasterawan, Allahyarham Malim Ghozali PK. Bagaimanapun acara kali ke-10 itu yang diadakan selepas ketiadaannya sangat dirasakan dalam kalangan peserta. Buat pertama kali kelibat lelaki berambut panjang bertopi koboi tidak kelihatan di Pulara.
Pulara semacam kehilangan sesuatu, lebih menusuk lagi apabila hanya dilatari suara Malim menyanyikan lagu Benarkah Laut Itu Biru. Malim seperti hadir dalam ketiadaannya. Lagu yang berkumandang perlahan dan sayup-sayup sepanjang Pulara ke-10 amat membangkitkan kenangan peserta pada tahun-tahun sebelumnya.
Malim sudah tiada, namun ditinggalnya lorong yang dirintis dan tapak yang dipasak tiang serinya bernama Pulara. Malim adalah ‘tuan rumah’ yang ramah dan amat disenangi rakan dan taulan, dalam dan luar negara. Pulara dan Malim terus senama selama-lamanya.
Pulara adalah satu-satunya pesta puisi yang dianjurkan secara berterusan tahun demi tahun dan melibatkan penyertaan penyair dari luar negara.
Nilai antarabangsanya terjaga sejak mula hingga kali ke-10 yang baru sahaja berlalu. Malah, memperlihatkan keyakinan dalam kalangan peserta dari luar negara. Walaupun jumlah lebih kecil tetapi membanggakan.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, Pulara dianjurkan dengan kerjasana dan sokongan kuat oleh kerajaan negeri Perak. Penglibatan kerajaan negeri ini memperlihatkan apresiasi yang tinggi dalam kalangan pemimpin dan pentadbir di negeri Perak.
Malah, Pulara membuktikan wujudnya kesedaran tentang peri pentingnya kesenian khususnya puisi dan lagu rakyat sebagai wahana membangunkan tamadun bangsa. Dari aspek lain dapat menghubungkan manusia dari seluruh benua.

KEJAYAAN
Apabila Pulara dianjurkan tanpa gagal (kecuali dua tahun kerana pandemik) ini adalah kejayaan yang wajar diraikan bersama-sama – kerajaan negeri Perak dan rakyat seluruhnya.
Semasa hayatnya, Malim mempunyai perancangan jangka panjang untuk Pulara. Sejak kali pertama lagi Malim menyakinkan acara puisi dan lagu rakyat antarabangsa itu menjadi salah satu acara tahunan. Walaupun sukar pada peringkat awalnya, Pulara terbukti menjadi acara antarabangsa pertama yang berterusan hingga kini.
Seni mempunyai suara dan pengaruh yang tersendiri dalam mendirikan kemanusiaan dan kesejahteraan sejagat. Sekalipun kesan kepada manusia tidak terzahir dalam sekelip mata, tetapi sejarah telah membuktikan akan kebenaran ini. Malah seni terbukti menjadi wahana perjuangan yang membawa kemerdekaan pada negara ini.
Sekalipun begitu, beban memastikan penganjuran berterusan setiap tahun sangat melelahkan. Hakikat ini tidak dinafikan tambahan pula melibatkan peserta dari luar negara. Bagaimanapun, ternyata perancangan jangka panjang memberikan isyarat Pulara tidak terhenti pada kali ke-10, malah diteruskan pada tahun-tahun berikutnya.
Untuk kali ini, Pulara disertai 120 peserta. Selain Malaysia, negara lain yang menyertai Pulara adalah Indonesia, Singapura, Thailand, Myanmar, Sri Lanka, Pakistan, Turkmenistan, Yaman, Ghana dan Wales (United Kingdom).
Selepas sembilan kali diadakan di Pulau Pangkor, Pulara turut membawa nama pulau yang ada tercatat dalam sejarah Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 kepada masyarakat di luar negara.
Walaupun Perjanjian Pangkor merupakan satu tragedi yang membuka campur tangan penjajah British di Perak, Pulara menaikkan nama Pangkor pada sisi kesenian yang lebih sejagat.
Pulara boleh dianggap sebagai penggerak pelancongan seni dan sastera pertama di negara ini. Belum ada yang terfikir dan telah menzahirkan konsep pelancongan seperti ini, Pulara adalah yang pertama menjurus pada pelancongan yang berbentuk sedemikian.
Untuk acara kali ke-10 dan pertama kali ketiadaan Malim sebagai nakhoda utama, Pulara tetap berbisa. Tanggungjawab meneruskan Pulara dipikul oleh balu Malim, Ratnawati Jamil.
Ketika ditemui pada malam kemuncak pada 10 September lalu yang rasmikan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, Ratnawati seperti hilang kata-kata. Dia lelah dan terharu.
Inilah kali pertama mengepalai penganjuran acara yang melibatkan peserta antarabangsa sebagai Pengarah Pulara.
“Saya amat terharu apabila dapat meneruskan impian Malim menjadikan Pulara medan pertemuan sasterawan dan budayawan antarabangsa. Tanpa sokongan yang sangat banyak daripada kerajaan negeri Perak, saya tidak fikir Pulara dapat dizahirkan buat kali ke-10,” tegas Ratnawati.
Malah bagi Ratnawati, Pulara 10 berjaya dalam kelasnya yang tersendiri. Tidak boleh dibandingkan dengan penganjuran yang diterajui oleh Malim yang bukan sahaja mempunyai banyak kenalan di luar negara malah berpengalaman luas dalam aspek penganjuran.
“Saya dan pasukan akan mengusahakan penganjuran Pulara ke-11 tahun depan. Saya yakin kerajaan negeri Perak terus sudi menghulurkan sokongan dan bantuan. Peserta-peserta luar negara juga menunggu Pulara seterusnya,” tegas Ratnawati. – UTUSAN
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.











