SEJAK akhir-akhir ini, tiupan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin dekat dan semakin panas diperkatakan dalam media sosial. Walaupun dilihat ada sebab perlunya diadakan PRU15 dalam tahun ini tetapi masih ramai yang tidak setuju.
Ini kerana terdapat beberapa golongan dalam kepimpinan kerajaan hari ini merasakah PRU15 perlu diadakan pada tahun hadapan. Pada pandangan mereka, kerajaan perlu menyelesaikan beberapa isu rakyat supaya dapat mengekalkan kemenangan majoriti pada PRU15.
Walaupun begitu, jika PRU15 diadakan pada tahun ini, beberapa perkara berikut mungkin boleh membantu kemenangan majoriti kerajaan Keluarga Malaysia.
Pertama, situasi ekonomi dunia yang dilihat semakin tidak menentu terutama pada tahun hadapan. Beberapa analisis dan pandangan seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa akan berlaku kemelesetan ekonomi dunia bermula tahun hadapan.
Susulan kenyataan ini, diikuti fakta bahawa pendapatan rakyat Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dilihat semakin menurun dan situasi ini juga mulai menular di China dan India. Jika ini berlaku maka eksport kita juga akan terjejas dan berkemungkinan pendapatan negara mulai menurun jika pelaburan berkurangan pada tahun hadapan.
Kedua, suasana inflasi global pada hari ini semakin meningkat berikutan kenaikan harga bahan api dan bahan makanan akibat krisis perang Russia dan Ukraine. Krisis kenaikan bahan makanan dan bahan api ini akan semakin meningkat pada tahun hadapan akibat sekatan dunia Barat ke atas Russia sebagai antara pengeluar bahan api kelima terbesar dunia.
Situasi ini akan menjadi teruk jika krisis China dan Taiwan atau China dan AS dan dunia mengalami perang ekonomi. Tekanan ke atas China semakin hebat apabila AS dan dunia Barat kini menghentikan eksport barangan cip komputer ke negara-negara blok BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) terutama China.
Akibatnya akan memberi renjatan ke atas barangan elektronik dan android yang semakin meningkat permintaannya. Kesan daripada sekatan ini akan dilihat pada tahun hadapan iaitu dunia bakal menghadapi penurunan pembuatan barangan elektronik dan android terutama dari China. Impaknya akan menyebabkan ekonomi dunia semakin terjejas berikutan berkurangnya penggunaan barangan cip komputer.
Selama ini dunia Barat dan AS yang menghasilkan barangan cip komputer kemudian mengeskportnya ke China dan India untuk membuat barangan elektronik dan android termasuk jentera berat dan kenderaan. Susulan gangguan ke atas cip komputer bakal menyaksikan dunia menghadapi satu krisis industri yang bergantung kepada cip komputer.
Malaysia tidak terkecuali daripada krisis industri cip komputer. Ini akan memberikan tamparan kepada kelangsungan hidup ekonomi industri negara ini yang amat bergantung kepada cip komputer. Berkemungkinan lebih banyak kilang ditutup jika berlaku situasi shutdown (penutupan) ke atas ketiadaan perkakasan cip komputer.
KEMEWAHAN
Ketiga, beban hutang rakyat semakin meningkat berikutan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dan perniagaan yang baru dibuka masih lagi kurang berdaya saing akibat permintaan berkurangan. Andai kata PRU15 dibuat pada tahun hadapan, adakah pendapatan rakyat akan meningkat untuk menampung kelangsungan ekonomi negara? Sudah tentu jawapannya masih dalam persoalan.
Ini disebabkan tanda-tanda penjimatan rakyat sudah kelihatan berikutan kenaikan mendadak harga barangan terutama makanan. Susulan situasi penjimatan telah memberikan kesan kepada lebih 10,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kini semakin tenat berikutan permintaan ke atas barangan tersebut menurun.
Rakyat kini mempunyai dua situasi, iaitu pendapatan yang semakin susut nilai dan menyebabkan kemampuan berbelanja hanya memfokus kepada keperluan diri dan bukannya untuk kemewahan. Situasi kedua, rakyat pada masa kini mencari pekerjaan di luar negara berikutan ketidakseragaman antara pendapatan gaji kecil berbanding kos sara hidup yang semakin meningkat terutama pada tahun depan.
Keempat, bilangan anak muda berumur 18 tahun ke atas dan pertama kali mengundi akan memberikan impak besar ke atas keputusan PRU15. Majoriti anak-anak muda yang terlibat dengan ekonomi gig berasakan tekanan kos kehidupan dengan ketidaktentuan yang boleh menjamin pekerjaan mereka.
Boleh dikatakan persepsi mereka ke atas politik kepartian bukan lagi soal siapa yang baik atau buruk tetapi lebih kepada apakah hasil boleh diperoleh mereka setelah parti yang menang majoriti membentuk kerajaan.
Jika dilihat, majoriti mereka merasakan kerajaan sama ada di bawah kepimpinan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN) masih lagi kurang menunjukkan prestasi dikehendaki oleh anak-anak muda ini. Mahu tidak mahu, sebuah kerajaan stabil dengan dasar yang jelas mampu memberikan jaminan pekerjaan dengan kos sara hidup sederhana boleh dilaksanakan kepada mereka.
Tuntutan anak-anak muda hari ini adalah untuk melihat kerajaan sedia ada dibubarkan supaya rakyat dapat menentukan sekali lagi sebuah kerajaan baharu dan stabil.
Keempat-empat faktor ini amat penting kepada BN dalam merancang dan menentukan bila PRU15 bakal diadakan bagi menjamin kemenangan majoriti kerusi. Pelbagai maklum balas positif dan negatif yang diperoleh jika diadakan tahun ini atau tahun depan. Tetapi biarlah maklum balas positif yang lebih memberi manfaat untuk Keluarga Malaysia.
Sehingga sekarang, prestasi kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih menonjol dengan pelbagai pembaharuan dan bantuan yang berjaya dilaksanakan, manakala parti-parti pembangkang masih bercelaru. Cuma dibimbangi jika lebih lama PRU15 ditangguh, keadaan akan lebih memburuk untuk kerajaan. – UTUSAN
DR. Nik Mawardi Mohamed ialah Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM).











