TAN Sri Dr. Rais Yatim, 80, amat berpengalaman pernah bekerja dan berkhidmat di bawah semua Perdana Menteri (PM). Dari yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sehinggalah kesembilan sekarang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Selasa lalu di pejabat Yang Dipertua Dewan Negara di Parlimen, Rais diajukan saya soalan-soalan panas berkisar kemelut politik tanah air. Ini termasuk kedudukan dan survival PM.
Kewibawaan Rais yang juga pakar undang-undang dan perlembagaan persekutuan diakui kawan dan lawan. Bukan kamus lagi, sudah jadi ensiklopedia.
Saya paparkan jawapan beliau yang berlandaskan fakta, konvensyen selain yang pasti sikap berani terus terangnya.
Implikasi PM dipecat parti sendiri?
Saya (Rais) yakin tidak akan terjadi. Apa pun kedudukan PM bergantung kepada kekuatan lantikan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan – yang menyatakan tiada kuasa untuk mengetepikannya, kecuali diluluskan undi tidak percaya.
Jika dalam konteks hari ini parti hendak pecat PM, hal itu tidak boleh berlaku disebabkan kerajaan beliau adalah (gabugan) parti-parti bersekutu. Apa cara untuk memecat? Melainkan halnya ahli-ahli UMNO yang menjadi ahli Parlimen di Dewan Rakyat membuat undian kepadanya. Misalnya, “kami 10 ahli Parlimen (MP) UMNO tidak lagi menyokong”. Dan sekiranya Yang di-Pertuan Agong mengambil itu sebagai iktibar, baru jadi. Kalau tidak, harus mengundi di Dewan Rakyat berkemungkinan menjadi.
Status undi dalam, di luar Dewan Rakyat
Undi dalam Dewan Rakyat ini sudah diketepikan oleh raja-raja dan pada hemat saya (Rais) itu tidak terbaik. Terbaik pada saya adalah sistem pada 1966 di mana kes Sarawak telah memutuskan undi dalam Dewan. Sejak di Perak melibatkan kes menteri besar diputuskan oleh Almarhum Sultan Azlan, sudah tidak dibuat dalam Dewan. Sudah diputuskan oleh raja. Dipanggil raja, awak sokong siapa? Pada hemat saya (Rais) itu tidak mengikut demokrasi. Tetapi (tetap) dibuat, namun tiada membantah, ia sudah menjadi konvensyen.
Sekalipun 10 MP UMNO tarik sokongan terhadap PM?
Pemutusnya adalah Parlimen, tiada pihak lain. Dalam undang-undang, ia kerana dibuat di bawah Perkara 43. Jadi, Sultan Perak semasa itu membuat ekstrapolasi bahawa di luar dewan pun boleh. Maka dalam hal ini sekarang jika ada ahli UMNO hendak lucutkan jawatan PM, beliau harus membawa ke dalam Dewan Rakyat atau menandatangani penarikan itu sebelum secara rasmi menyerahkan kepada Tuanku Agong. Itu caranya. Tiada cara lain.
Kuasa “Pendapat Agong”
Kalau seseorang PM tidak lagi menjadi anggota parti, itu adalah soalan parti. Ia bukan undang-undang. Justeru hendaklah dimasukkan undang-undang bahawa pendapat Agong mesti diambil kira.
Dikemuka ‘nombor’ kepada Agong?
Itu konvensyen. Kalau parti-parti bawa nombor kepada Agong, akan ada keputusannya. Sekiranya Agong boleh buat keputusan, ia berlaku. Kalau tidak mahu buat keputusan pun boleh berlaku. Terpulang pada Agong untuk memilih PM yang mana.
Jadi, huru hara ini boleh mencetuskan krisis politik. Tetapi tidak akan menjejaskan kedudukan PM itu walaupun beliau tanpa parti sebab dalam perlembagaan tak sebut parti. Ia sebut sekiranya pada pandangan yang di-Pertuan Agong. Jadi pada pandangan baginda, “jika Datuk Seri Ismail boleh memerintah sehingga enam bulan (lagi), teruskanlah.
Kuasa Melayu jika bersatu
Yang orang Melayu tidak sedar adalah mereka boleh berkuasa pada bila-bila masa jika bersatu. Di pihak lain pula mereka melihat kualiti Melayu itu berlegar. Dalam keadaan itu jika isu PM hendak dijejaskan oleh mana-mana pihak, ia bergantung kepada tindakan yang akan diambil oleh mereka.
Kalau kesangsian muncul daripada presiden UMNO, beliau mengambilnya secara politik dan mungkin juga Ismail Sabri berasa kecil hati dan letak jawatan macam Tan Sri MuhyiddinYassin. Bagaimanapun ramai percaya PM tidak akan letak jawatan. Dia nak buat repeat performance.
Mampukah sebuah gabungan parti menang mutlak PRU15?
Sukar sekali. UMNO sendiri tidak mempunyai pendirian kukuh. Didapati parti itu miliki tidak lebih 42 kerusi. Akan berjayakah parti-parti yang konglomeratnya berat? A campur B campur C, ia akan berpeluang.
Dalam senario UMNO kalau bertanding, masih hendak bersamanya adalah MIC dan MCA, saya (Rais) tidak nampak mereka akan jadi kuasa besar. Tetapi menang banyak mungkin boleh juga sebab ‘orang tidak lagi berfikir’.
Misalnya isu libatkan kes rasuah Najib, tetapi orang Pahang tidak kisah. Mereka tidak nampak hal undang-undang. Yang mereka nampak Najib anak Tun Razak sahaja.
‘Orang sekarang lain’
Nampak sekarang orang berpelajaran. Mereka memikirkan keluhuran undang-undang. Sebab itu kalau tak menghormati rule of law ini, bangsa akan hancur.
Cuma memang orang Melayu tak begitu minat undang-undang ini. Jaga sikit. Kita dijajah sebab undang-undang. Kita ditinggalkan penjajah menerusi undang-undang. Kita merdeka pun sebab undang-undang. Sebab mereka yang dijatuhi hukuman penjara kenapa tidak akur kepada undang-undang? Rukun Negara pun ada undang-undang. Ini kesilapan besar tamadun kita nanti.
Dan dalam politik, sekejap sahaja orang ingat. Selepas itu tak alurkan lagi.
PRU15 tahun ini?
Untuk mengadakan pilihan raya pada November tahun ini, ia cadangan gila. Belanjawan pun belum lulus, bulan 10 baru hendak dibawa. Ia perlukan empat bulan barulah duit turun kepada rakyat. Kalau pilihan raya hujung bulan 11, Dewan Negara baru hendak bersidang.
Habis 20 Disember (2022), bagaimana duit lulus? Kalau hendak berpilihan raya, kena ikut Belanjawan dahululah
Jika tidak ikut bajet, orang mencadangkan itu tidak siuman. Dia menggunakan bajet ini untuk merayu serta menarik perhatian rakyat serta orang miskin. Jadi, mereka mengesyorkan ini bagi mengelak tali leher undang-undang daripada beroperasi kepada si anu si anu.
Bertahankah Ismail Sabri?
Datuk Seri Ismail Sabri jangan berhenti sebagai PM dan berpegang teguh kepada undang-undang negara. Diyakini beliau berupaya memimpin sehingga pilihan raya tahun depan.










