Pantau penghijrahan bakat tempatan - Utusan Malaysia

Pantau penghijrahan bakat tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI kita sedia maklum, kebanyakan negara sedang mempergiatkan usaha pemulihan ekonomi menuju pascapandemik. Ini termasuk pelaburan ke atas bakat berkemahiran tinggi sebagai persediaan untuk menarik pelaburan asing dalam sektor ekonomi berimpak tinggi.

Sejak ekonomi global kembali pulih dan dibuka secara beransur-beransur dalam tempoh dua tahun ini, kebanyakan negara dilihat agak agresif dalam usaha menarik bakat asing berkemahiran tinggi sebagai strategi jangka pendek. Situasi ini menjadi semakin getir dengan kekurangan ketara tenaga kerja mahir di peringkat global.

Firma perundingan antarabangsa, Korn Ferry meramalkan kekurangan bakat global boleh mencapai 85.2 juta orang menjelang 2030, menyumbang kerugian hampir RM38 trilion kepada ekonomi dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keadaan ini boleh dikaitkan sebagai ‘peperangan untuk merebut bakat’ seperti dipetik daripada kajian oleh firma perundingan global, McKinsey pada 1997 yang merujuk kepada persaingan semakin sengit untuk mencari dan menarik bakat terbaik supaya sesebuah organisasi itu mendapat kelebihan dari segi daya saing hasil daripada keampuhan modal insan.

Negara-negara di Asia Tenggara juga tidak ketinggalan dalam persaingan untuk menarik dan mengekalkan bakat asing. Singapura baru-baru ini melancarkan Pas Rangkaian dan Kepakaran Luar Negara (SATU) untuk bakat asing dan pasangan mereka bagi tempoh lima tahun.

Thailand memperkenalkan Visa Tinggal Jangka Panjang (LTR) untuk tempoh 10 tahun bagi menarik bakat dan pelabur asing seramai sejuta orang dalam tempoh lima tahun akan datang.

Indonesia juga dilaporkan sedang mempertimbangkan visa ‘pengembara digital’ atau visa bagi pekerja jarak jauh selama lima tahun bagi menarik bakat asing memilih negara tersebut sebagai destinasi untuk bekerja.

Malaysia juga tidak terkecuali dalam usaha-usaha menarik dan mengekalkan bakat asing. Resident Pass-Talent (RP-T) untuk tempoh 10 tahun dikeluarkan kepada bakat asing yang memiliki kelayakan dan kemahiran dalam bidang-bidang kritikal.

Baru-baru ini, dilancarkan Program Visa Premium (PVIP) Malaysia Residensi Melalui Pelaburan untuk menarik minat golongan hartawan global menetap dan melabur, menyasarkan 1,000 peserta untuk tahun pertama.

PVIP maksimum selama 20 tahun (diperbaharui setiap lima tahun) ini diharap dapat memacu pembangunan ekonomi negara dengan menarik tenaga kerja mahir dan pelaburan asing dalam sektor ekonomi berimpak tinggi, dan meningkatkan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan.

STEM

Selain strategi menarik bakat asing, kerajaan juga mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir tempatan melalui pelbagai inisiatif.

Ini selaras dengan sasaran kerajaan untuk meningkatkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi menjelang 2030 untuk menjadikan negara lebih kompetitif dalam persaingan ekonomi global.

Kepakaran bakat tempatan penting untuk kita menghadapi cabaran dan mengambil peluang yang diwujudkan oleh Revolusi Industri Keempat (IR4.0), menerusi pengaplikasian teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT) dan robotik.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam Statistik Pekerjaan untuk suku kedua 2022 melaporkan jumlah pekerjaan dalam kategori separa mahir masih mendominasi pasaran buruh iaitu sebanyak 62.2 peratus (5.364 juta). Ini diikuti pekerjaan berkemahiran tinggi sebanyak 24.9 peratus (2.144 juta) dan tidak mahir 12.9 peratus (1.111 juta).

Statistik ini secara tidak langsung menggambarkan jumlah tenaga kerja berke­ma­hiran tinggi di negara ini masih rendah daripada sasaran ditetapkan. Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 45 peratus pekerja berkemahiran tinggi untuk membolehnya bersaing dengan negara-negara maju lain.

Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) baru-baru ini me­laporkan industri pembuatan khususnya elektrik dan elektronik, terutama semikonduktor berhadapan kekurangan pekerja berkemahiran tinggi yang kritikal melibatkan jurutera dan juruteknik, dengan anggaran kehilangan pendapatan sebanyak RM50 bilion dalam bentuk peluang perniagaan untuk tempoh lapan bulan lalu.

Justeru, inisiatif seperti menggalakkan pelajar tem­patan mengambil jurusan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta kursus sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) diharap dapat meng­hasilkan tenaga mahir diperlukan.

Di sebalik usaha membina kapasiti dari segi kepakaran tempatan untuk membangunkan ekonomi negara, kita harus memberi perhatian kepada trend penghijrahan bakat tempatan ke negara lain.

Segala usaha kita akan sia-sia sekiranya bakat tempatan yang dibangunkan dengan pelaburan menggunakan wang pembayar cukai tidak dikekalkan di negara ini.

Dengan kedudukan mata wang kita yang tidak begitu kukuh berbanding negara berpendapatan tinggi lain termasuk Singapura dan mengambil kira tawaran gaji dan tarikan lain, dibimbangi kadar penghijrahan dalam kalangan tenaga mahir tempatan terutamanya golongan muda akan meningkat dalam tempoh terdekat.

Perkara ini akan menyukarkan lagi usaha membangunkan bakat tempatan untuk membantu memulihkan ekonomi negara. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. S.R. Subramaniam ialah Pensyarah Pengurusan & Gelagat Organisasi, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×