Perlu kawal selia program hiburan

Perlu kawal selia program hiburan

KEADAAN ekonomi tidak menentu tidak menghalang orang ramai menyaksikan konsert Billie Eilish di ibu negara, baru-baru ini. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EMI Billie Eilish, sanggup berkampung bawa toto (gegebar) ke Bukit Jalil. Konsert Billie Eilish pukul 8.30 malam, 5 pagi sudah tunggu, antara tajuk berita yang menggambarkan sambutan luar biasa sebahagian rakyat Malaysia terhadap konsert seorang artis kelahiran Amerika Syarikat, Billie Eilish di ibu negara, baru-baru ini.

Walaupun terdapat banyak keluhan mengenai keadaan ekonomi tidak menentu pasca Covid-19, kenaikan kadar mata asas pinjaman, kos sara hidup melambung tinggi serta peluang pekerjaan tidak selari dengan kos sara hidup, namun semua ini dilihat tidak dapat menghalang sebahagian rakyat Malaysia untuk sanggup membelanjakan wang dan mengorbankan masa mereka demi konsert ini.

Situasi ini boleh dikaitkan dengan budaya hedonisme yang merupakan satu ancaman sedang menular dan mampu menjadi barah khususnya kepada golongan muda jika tidak dibendung secara tuntas. Merujuk Kamus Dewan Bahasa, hedonisme ialah pegangan atau pandangan hidup seseorang yang hanya mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.

Islam sama sekali tidak menghalang umatnya untuk berhibur, namun ia mestilah selari dengan nilai-nilai murni dibawa oleh Islam. Al-Ghazali berpendapat, salah satu daripada 10 cara syaitan memasuki pintu hati manusia untuk merosakkannya adalah melalui pintu syahwat. Ini kerana generasi belia yang sedang mencari identiti dan jati diri sebagai seorang Muslim mudah menjadi sasaran ancaman budaya songsang jika tidak dibentengi dengan asas keimanan.

Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dalam kalangan kamu menjadi orang dalam (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.” (Ali Imran: 118).

Konsep berhibur dalam Islam adalah bertujuan membangunkan dan mendamaikan jiwa, menenangkan fikiran, merehatkan rohani dan jasmani. Islam adalah agama yang selari dengan keperluan fitrah. Menurut al-Qaradhawi, muzik dan nyanyian merupakan satu cabang seni sebagaimana nilai kesenian terhadap lukisan, pemandangan serta bunyian alam semula jadi yang boleh menenangkan hati dan perasaan manusia apabila melihat atau mendengarnya. Sehubungan itu, saya berpandangan, beliau lebih cenderung mengharuskan muzik dan nyanyian asalkan tidak bertentangan dengan syarak.

Lebih membimbangkan sekiranya budaya hedonisme ini juga menjadi salah satu platform golongan pro-lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan liberal untuk menormalisasikan ideologi songsang mereka dengan menampilkan artis yang sememangnya dilihat sering mempromosikannya. Antara kesan buruk budaya hedonisme sebagaimana disebutkan dalam Jurnal Sains Sosial dan Kemanusian, Universiti Kebangsaan Malaysia, ia menyebabkan kemakmuran dan kesejahteraan negara semakin tergugat, statistik jenayah sosial dalam kalangan remaja dan belia meningkat dan budaya hedonisme menyebabkan generasi muda pada masa kini lupa matlamat hidup sebenar, seterusnya menjejaskan sumber produktiviti negara.

ABBASIYAH

Sejarah juga membuktikan antara faktor kejatuhan kerajaan Abbasiyah adalah berpunca daripada sikap pemimpin dan rakyat yang mengutamakan kesenangan, kemewahan dan dibuai pelbagai bentuk hiburan. Mereka gagal menumpukan perhatian kepada soal pembangunan insan serta negara dan akhirnya kelemahan tersebut dapat dihidu oleh musuh.

Terdapat beberapa punca dilihat menyumbangkan kepada situasi ini. Antaranya pengaruh media massa, kurang penghayatan agama, pengaruh rakan sebaya dan kekurangan program hiburan alternatif yang dilihat tidak menguntungkan. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita semua berganding bahu bagi membendung budaya ini daripada terus membarah.

Golongan belia dinasihatkan lebih bijak dalam memilih hiburan yang sesuai dan tidak menyimpang dari landasan agama, adat dan budaya melampau. Tidak dapat dinafikan, semua bentuk hiburan tidak dapat dipisahkan sepenuhnya daripada kehidupan. Namun, mereka perlu peka memilih medium yang tidak bercanggah dengan etika, norma dan nilai sesuai dengan masyarakat Timur.

Generasi muda selaku pelapis kepimpinan negara perlu disuntik dengan kefahaman dan pendidikan agama sebenar agar pengaruh dan realiti semasa yang menyelubungi penghayatan dan amalan masyarakat terhadap hiburan menjadi songsang. Kerajaan perlu terus mempergiatkan kawal selia semua program hiburan agar selari dengan nilai-nilai murni dan ketimuran serta mempergiatkan lagi program hiburan alternatif yang dapat menarik minat anak muda.

Ibu bapa perlu memainkan peranan sewajarnya dalam mendidik anak-anak mereka. Para ilmuwan dan agamawan juga perlu turun ke lapangan bagi menyantuni golongan muda dengan pelbagai aktiviti sesuai dengan kehendak semasa di samping terus menyampaikan mesej-mesej keagamaan secara konsisten. Para penggiat seni dan pemain industri hiburan juga perlu mengambil tanggungjawab untuk tidak hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata dalam hasil karya mereka, namun perlu menitik beratkan juga aspek pembangunan pemikiran, nilai intelektual dan moral khususnya dalam kalangan generasi muda. Ini dapat dilihat apabila filem Mat Kilau menjadi satu fenomena yang berjaya menanam semangat patriotik ke dalam generasi muda dan menjadi satu bentuk hiburan alternatif yang dapat membendung budaya hedonisme. – UTUSAN

DR. Mohamed Rashid Ab. Razak ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Undang-undang Islam, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN