NEGARA sedang berhadapan fenomena global iaitu peningkatan kos hidup susulan kenaikan barang keperluan dan bahan api utama dunia seperti minyak mentah dan arang batu. Ini sekali gus menyebabkan kenaikan kadar inflasi di merata dunia. Hal ini seakan tidak dapat dielakkan pada pascapandemik Covid-19. Bagi mengimbangi tekanan peningkatan harga tersebut, kerajaan mengambil langkah memberi subsidi yang besar. Anggaran subsidi yang dibelanjakan oleh kerajaan mencecah RM80 billion pada tahun ini.
Jabatan Statistik Malaysia menjangkakan inflasi boleh mencecah paras 11.4 peratus sekiranya subsidi tidak disalurkan. Pada masa kini, kadar inflasi berada kadar 2.2 hingga 2.5 peratus. Dalam situasi ini, kerajaan dilihat memilih untuk menjamin kesejahteraan dan mengelak tercetus kemarahan rakyat. Bagaimanapun, dalam situasi lain, peruntukan besar dalam subsidi pastinya memberi kesan kepada aspek pembangunan negara. Ini kerana sumber kewangan kerajaan yang sepatutnya boleh disalurkan kepada projek pembangunan terpaksa digunakan untuk subsidi.
Subsidi dalam konteks semasa sememangnya diperlukan oleh rakyat di samping tidak menolak sepenuhnya tindakan kerajaan sekarang. Namun, dalam konteks ekonomi makro, subsidi berterusan tidak akan mampu memulihkan sepenuh isu kenaikan harga barangan keperluan dan ini akan sentiasa berterusan. Oleh itu, fokus kerajaan adalah kepada kaedah mengawal dan menjadikan kos pengeluaran dan pembuatan tersebut menjadi murah.
Pembangunan yang dilaksanakan kelak sebenarnya turut akan membantu membuka ruang pekerjaan kepada rakyat. Laporan menunjukkan lebih 40,000 kontraktor kecil terpaksa gulung tikar disebabkan tiada projek pembinaan atau projek dihentikan sementara. Tidak hanya kontraktor, sektor-sektor rantaian berkaitan projek pembangunan seperti firma-firma terpaksa mengecilkan saiz operasi disebabkan kekurangan projek dan sudah pasti berlaku pemberhentian pekerja dan meningkatkan kadar pengangguran.
Terma pembangunan yang dimaksudkan bukan secara fizikal semata-mata. Pembangunan ini perlu juga menjurus kepada meningkatkan bekalan domestik sekali gus mengelak kebergantungan negara kepada sumber luar. Negara kini dilihat jauh ketinggalan dari aspek pembangunan dalam isu keselamatan makanan. Justeru, kita terus fokus kepada pembangunan agar struktur keselamatan makanan menjadi makin stabil. Kekurangan bekalan tempatan dan kebergantungan kepada sumber import menyebabkan kita tidak mampu mengawal harga makanan. Justeru, langkah besar yang kerajaan perlu ambil kini adalah menyusun bagaimana subsidi boleh terus sampai kepada golongan sasar yang memerlukan.
Ketika ini, terdapat tiga segmen utama keperluan harian yang mendapat subsidi besar oleh kerajaan iaitu sektor tenaga, bahan bakar dan makanan. Penyusunan dan proses rasionalisasi subsidi ini boleh dianggap sebahagian daripada projek pembangunan.
Bagi subsidi petrol, pemberian subsidi secara pukal sudah tidak lagi relevan. Kerajaan ketika ini terpaksa menanggung jumlah yang besar iaitu mencecah RM2.5 bilion sebulan. Isunya adalah disebabkan penyalahgunaan di peringkat akhir penggunaan. Adalah lebih baik kerajaan menarik sedikit peruntukan subsidi dan menyalurkan kepada usaha pembangunan sistem bagi golongan yang layak sahaja. Sebelum ini wujud cadangan memajukan penggunaan MyKad sebagai medium pembelian subsidi yang akhirnya ditolak kerana melibatkan kos tinggi untuk dibangunkan.
Selain itu, subsidi dalam sektor tenaga juga perlu dirombak semula. Walaupun isu pengeluar tenaga bebas (IPP) merupakan isu sensitif yang sering kali dipolitikkan, namun realitinya beban dan menjadikan tarif tenaga menjadi lebih tinggi. Ini seperti penjanaan tenaga IPP iaitu menggunakan arang batu yang 100 peratus perlu diimport dan gas asli pastinya menjadi tekanan kepada harga tenaga. Justeru, kebergantungan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada penjana tenaga bebas ini perlu dikurangkan dan perlu fokus kepada penghasilan tenaga sepenuhnya daripada sumber sedia dengan pengoptimuman tenaga hidro dan peralihan kepada tenaga yang boleh diperbaharui harus diutamakan. Justeru, galakkan dan insentif berterusan kepada pengguna untuk menggunakan sumber tenaga alternatif perlu diperkenalkan agar tekanan peningkatan permintaan tenaga konvensional semakin tinggi.
Fenomena global masa ini menyebabkan peningkatan pada kos sumber makanan asas menyebabkan kerajaan terpaksa menyalurkan subsidi dalam sektor ini. Namun, sama juga dengan kaedah subsidi petrol yang dilakukan secara pukal dan tidak bersasar yang menjadikan golongan T20 turut menikmati harga sama dengan B40 dan M40. Oleh itu, kerajaan dicadangkan memperkenalkan mekanisme yang hanya untuk golongan B40 dan M40 memperoleh harga subsidi. Kaedah Kad Diskaun Khas ketika pembelian boleh diperkenalkan bagi mendapatkan harga subsidi. Rangkaian Kedai 1Malaysia yang mampu menjual harga barangan lebih rendah dari pasaran sepatutnya diperkenalkan kembali.
Selain itu, langkah untuk mewujudkan kemandirian sumber mentah makanan perlu dijadikan agenda utama. Ini bagi mengelak kebergantungan kepada bahan import dari luar negara yang menyebabkan peningkatan kos. Pelaburan yang besar perlu dibuat terutama menyediakan infrastruktur pertanian dan mampu memberi kesan jangka panjang kepada negara. Negara tidak malu untuk menjadi negara yang memberi fokus kepada bidang pertanian. Amat tidak logik negara yang mempunyai keluasan tanah besar masih bergantung kepada sumber import. Justeru, langkah kerajaan menjalinkan kerjasama antara kerajaan Pusat dan negeri serta mengalakkan pelaburan luar untuk sektor ini perlu disokong. Sekiranya berjaya, dalam tempoh 20 tahun negara tidak perlu lagi bergantung kepada sumber bekalan import.
Kesimpulannya, pemberian subsidi ini tidak salah tetapi mestilah menyasarkan kepada golongan yang layak. Sesungguhnya falsafah adil itu adalah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya, bukannya secara sama rata.-UTUSAN
DR. Muhammad Azwan Sulaiman dan Noor Farhana Akrisha Ishak dari Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan & Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM).










