Soalan yang sensitif untuk ditanya - Sudah ada rumah sendiri ke belum? - Utusan Malaysia

Soalan yang sensitif untuk ditanya – Sudah ada rumah sendiri ke belum?

Rumah tetap ada permintaan, kalau kita tidak beli, orang lain yang beli. Ia adalah lubuk emas kepada pemaju perumahan. – MINGGUAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RUMAH beli ke sewa? Kenapa masih menyewa? Sudah beli rumah kah? – Saya rasa tiga soalan ini sama sensitifnya dengan bila ditanya kepada orang bujang terlajak – Bila nak kahwin? Pasaipa hang tak kahwin-kahwin ni?
Sebabnya, beli rumah ini melibatkan kemampuan kewangan seseorang. Ada wang atau tidak, ini adalah isu sensitif. Bab kahwin pula selain faktor duit, ia adalah pasal jodoh. Jodoh belum sampai. Tak payahlah tanya soalan-soalan sebegini. Kalau tak tahu apa hendak ditanya untuk bersembang, tanya saja dah makan ke belum?
Zaman sekarang ini, dengan gaji rendah, barangan keperluan naik dan simpanan pun tiada, menyewa rumah pun belum tentu mampu. Harga rumah mana ada yang turun. Yang turun di negara ini hanya hujan saja.
Justeru ada pertanyaan dengan harga rumah mampu tengok tetapi tidak mampu dibeli ketika ini, membeli atau menyewa rumah lebih jimat? Sebenarnya, soalan ini lebih kurang samalah dengan memasak di rumah atau beli makanan mana lebih jimat? Dua-dua pun memerlukan wang yang banyak ketika ini. Sewa rumah pun sama mahalnya dengan membayar ansuran pinjaman rumah. Dalam keadaan ini, lebih baik beli rumah.
Seorang rakan yang juga ejen hartanah memberitahu saya, anaknya yang baru tamat belajar dari universiti tempatan, kini bekerja di syarikat Ninja Van dan pada masa sama menjual insurans sudah membeli rumah berharga RM270,000. Dalam usia yang muda, dia bekerja keras dan memikirkan tentang pelaburan di masa depan. Bukan mengutamakan gajet atau kereta dan motosikal besar.
Adakah harga rumah seperti itu lagi? Tanya saya. Katanya, di kawasan Bangi masih ada apartmen berharga itu. Tetapi jangan mimpilah dapat harga rumah sebegitu di Kuala Lumpur. Kondominium yang berharga RM500,000 berhampiran Kuala Lumpur pun sudah dikira agak murah ketika ini. Soalnya, rumah berharga seperti ini golongan mana yang mampu beli?
Tentunya kita tidak mahu membayangkan bahawa pada satu masa nanti yang berpendapatan rendah tidak dapat memiliki rumah sendiri kerana harga rumah terus melambung dan pemaju pula enggan membina rumah kos rendah dengan alasan rugi.
Sebab itu disarankan, anak muda yang baru bekerja mengambil peluang ketika ini membeli rumah kerana bimbang entah berapa pula harga rumah melambung pada masa akan datang.
Dan pada usia muda dengan tempoh pembayaran pinjaman bank 35 tahun ia sesuatu yang agak menyenangkan kehidupan pada usia tua kelak.
Kata kawan saya itu lagi, dia ada seorang pelanggan berusia 34 tahun, sudah berkahwin dan kini sudah pun memiliki empat buah rumah.
“Jenis yang macam ini, mereka menerima hakikat, lagi lambat beli rumah, lagi rugi kerana harga rumah memang sentiasa naik,” katanya.
Contoh, terang kawan saya itu, rumahnya sendiri dia beli pada harga RM169,000 pada 1998. Sekarang harga pasaran rumah itu RM500,000.
“Saya yakin, 10 tahun lagi boleh jadi RM700,00 atau RM800,000 kerana dikelilingi pembangunan yang pesat,” katanya.
Menurutnya, bagi pembeli rumah pertama yang muda mereka biasanya akan mencari kondominium atau apartmen mampu milik dalam lingkungan harga RM250,000 hingga RM30,000 dan mereka ini akan mencari tempat yang banyak kemudahan untuk ke tempat kerja.
Betullah. Hidup ini kena ada perancangan membeli rumah. Yang ada anak-anak yang sudah habis belajar dan baru bekerja, nasihatlah mereka supaya menyimpan duit untuk membeli rumah.
Rumah adalah keperluan asas. Kita tidah mahu satu masa nanti ia dianggap satu kemewahan pula.
Akhirnya nanti, yang boleh memiliki rumah melebihi sebuah, adalah golongan kaya manakala yang berpendapatan sederhana dan rendah, sebuah rumah pun tidak mampu, hanya menyewa. Itu pun sesak dada untuk membayar sewa bulanan yang tinggi.
Pada 13 Jun lalu, akhbar Utusan Malaysia melaporkan, harga rumah dijangka terus meningkat sehingga 2025 dengan kenaikan sehingga 10 peratus setiap tahun sekali gus menyaksikan tiada lagi rumah kos rendah berharga RM200,000 ke bawah.
Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berkata, peningkatan tersebut akan terus berlaku mengikut rentak pemulihan ekonomi selain pertambahan peluang pekerjaan yang mendorong pada permintaan.
Berikutan itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi mencadangkan agar setiap pembangunan dan projek perumahan memperuntukkan kuota rumah mampu milik untuk golongan B40 bagi memastikan kumpulan tersebut mampu memiliki rumah sendiri.
Kuota ini harus menjadi ga­ris panduan yang dikeluarkan kerajaan kepada pemaju untuk menyediakan perumahan kepada golongan tidak mampu tanpa mengira lokasi di bandar atau pedalaman bagi merapatkan jurang sosial.
Memberi reaksi dalam isu ini juga, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pula berkata, kos sampingan seperti caj penyediaan tanah, caj pembangunan, premium tanah dan kos tambahan tinggi yang dikenakan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi antara faktor harga rumah termasuk yang mampu milik meningkat antara 20 dan 30 peratus.
Kos ini mempengaruhi kenaikan kos rumah dan menyebabkan pemaju menyerapkannya ke dalam harga pembeli.
Jadi, kerajaan negeri dan PBT harus memikirkan langkah penyelesaian terbaik membantu rakyat dengan mengurangkan beban dihadapi pemaju yang terbeban ekoran harga simen dan besi melonjak.
Hakikatnya, sehingga kini masih ramai golongan yang sudah berusia tidak memiliki rumah sendiri kerana tidak berkemampuan dan ada juga disenaraihitam oleh bank kerana pinjaman kewangan lain belum langsai yang membuatkan dirinya tidak boleh membeli rumah.
Yang pastinya, rumah tetap ada permintaan, kalau kita tidak beli, orang lain yang beli. Ia adalah lubuk emas kepada pemaju perumahan.
Dan betullah, pada masa sama, kita pun tidak boleh bersandarkan sangat dengan jaminan harga akan terkawal kerana sudah terbukti hal-hal kecil seperti harga ayam pun susah untuk ditangani dengan baik inikan pula rumah! Entah siapa yang terkawal atau entah siapa yang dikawal.
Jadi segala-galanya akhirnya terpulang kepada kita yang berkemampuan atau tidak untuk bijak merancang. Sebab itu, soalan sudah beli rumah ke tidak? Lebih baik jangan tanya.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.