“DIA cakap ulat dalam batu pun boleh hidup bila saya minta dia cari kerja. Janganlah bandingkan manusia dengan ulat. Dia, saya dan anak dia bukan ulat!”
Itu kata-kata yang meluncur laju keluar daripada mulut seorang isteri yang masih cuba bertahan dengan suaminya yang sudah lama tidak bekerja.
Sebenarnya ini adalah antara ribuan luahan rasa tidak puas hati terhadap pasangan bukan saja isteri tetapi ada juga sebilangan suami yang disuarakan dalam media sosial.
Media sosial sekarang sudah jadi ‘mahkamah syariah terbuka’. Semua hal termasuk perkara sulit dan aib rumah tangga selamba didedah dan dibedah perbuatannya di situ.
“Inilah bila isteri gaji besar. Apa suami buat semua salah. Semua dia yang betul,” komen seorang lelaki di TikTok.
Dan lelaki itu bagaikan sengaja agaknya membuka ruang untuk dikecam, menerima puluhan komen marah-marah daripada wanita.
Mengadu dan bergaduh di media sosial itu satu hal. Isu isteri tanggung suami pun satu hal juga dan ia tidak sepatutnya dipandang remeh oleh semua yang hanya mengaitkannya dengan hal-hal domestik keluarga.
Ini adalah isu atau masalah sosial yang memerlukan perhatian. Jika terus dianggap hal peribadi, ia akan mencetuskan isu lain yang membabitkan keruntuhan struktur keluarga dan sosial.
Hakikatnya, fasa kehidupan hari ini sudah banyak berubah. Kelazimannya, landskap sosial kita meletakkan suami sebagai pencari rezeki dan isteri penjaga rumah tangga. Namun hari ini, acuan itu sedikit demi sedikit cuba diubah.
Saya bukan bercakap tentang suami yang tiba-tiba diberhentikan kerja, syarikat gulung tikar, atau suami yang sedang sakit kronik. Itu ujian hidup untuk mereka.
Saya juga bukan bercakap tentang isteri yang reda suaminya menjadi suri rumah yang betul-betul efisien dan ikhlas menguruskan rumah tangga termasuk menjaga anak-anak kerana mengambil pembantu rumah kosnya mahal dan kehadiran mereka di rumah agak merimaskan.
Ini tentang suami yang sihat walafiat, mahu tampan bergaya tetapi enggan bekerja kerana sengaja culas tanggungjawab dan senang cakap malaslah.
Dalam laporan media sebelum ini, bekas Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Muhammad Adib Husain memberitahu, sebanyak 10,815 kes perceraian direkodkan di Selangor dalam tempoh Januari hingga September tahun lalu dengan penyebab utama masalah kewangan dan komunikasi.
“Ada suami melihat isteri bekerja lalu mengambil mudah tanggungjawab memberi nafkah. Akhirnya timbul rasa tidak puas hati dan ketegangan dalam rumah tangga,” katanya.
Menurut beliau, ada yang baru dua atau tiga tahun berkahwin sudah bercerai dan ada juga berpisah selepas 30 tahun hidup bersama.
Walaupun tiada statistik khusus tentang bercerai kerana isteri kerja, suami menganggur, majoriti kes runtuhnya rumah tangga adalah disebabkan isu pengabaian nafkah dan krisis kewangan.
Dalam isu ini ada juga yang kata, inilah dia – lambakan wanita berpendidikan tinggi akhirnya menterjemahkan pasaran kerja yang menyaksikan semakin ramai wanita memegang jawatan besar dan berpendapatan tinggi. Maka wujudlah trend isteri bekerja dan menjadi menteri kewangan manakala suami ambil alih kerja-kerja rumah.
Saya rasa bukan itu faktornya. Itu hujah yang sangat lemah. Bukan sebab perempuan ramai masuk universiti. Yang menjadi penyebab utamanya adalah sikap diri sendiri yang sudah merasa selesa.
Pada mulanya mungkin sukar mendapatkan kerja menjadi puncanya. Tetapi lama-kelamaan sudah selesa begitu apatah lagi apabila melihat slip gaji isteri yang besar gajinya.
Bila gaji isteri jauh lebih besar, ada suami ambil kesempatan. Lebih baik tidak kerja daripada dapat gaji lebih kecil.
“Buat apa kerja gaji RM1,800 bila isteri gaji RM6,000?” Ini mungkin membunuh semangat kerja.
Semua bil ada yang bayar dan dapur juga berasap. Dalam pada itu, boleh juga makan di luar dan cuti makan angin walaupun tiada kerja.
Apabila semua yang diperlukan di rumah sudah cukup, tiada sebab untuk keluar ‘berperang’ mencari rezeki di luar manakala kawan-kawan pula berkata – “Tak apa rehat dulu, biar isteri kerja.” Akhirnya menganggur lama-lama jadi tidak terasa bersalah.
Dalam pada itu, ada juga kes suami beberapa kali permohonan kerjanya ditolak mengalami kemurungan. Letih minta kerja, bukan letih bekerja. Akhirnya menarik diri dan duduk diam di rumah.
Tetapi yang menjadi lebih tidak adil, ada juga suami yang tidak bekerja ini tidak berbuat apa-apa di rumah. Menunggu isteri pulang dan serahkan anak untuk dijaga. Jika isteri lewat pulang kerja, didesaknya pulang segera.
Anak lelaki membesar melihat ayah di rumah, ibu keluar bekerja. Anak perempuan belajar bahawa ‘ketua keluarga’ itu ibunya yang sentiasa penat dan seorang diri. Acuan tanggungjawab siapa ketua dan memberi makan itu jadi kabur dan keliru.
Apabila mereka dikelirukan siapa ketua keluarga, siapa beri mereka duit, entah apa dalam fikiran mereka yang akan dibawa sehingga tua.
Satu pihak menarik diri daripada menunaikan tanggungjawab hakiki, tentulah ini menjadi beban.
Wang adalah punca pergaduhan nombor satu dalam rumah tangga. Bila seorang tertindas menanggung dan seorang lagi rasa dipersalahkan, tentulah rasa bahagia itu kian terhakis.
Kebanyakan isteri yang berkorban untuk keluarga ini tidak marah kerana duit. Mereka marah kerana rasa keseorangan dan letih menguruskan semuanya.
Mereka bekerja lapan jam, balik masih kena fikir bil, anak, masa depan. Dialah CEO dan dialah CFO di rumah. Yang paling sakit, bila bersuara dituduh pula materialistik. Bila diam, meletup pula di media sosial.
Ada yang bertahan kerana kasihan, kerana anak, kerana takut gelaran janda atau ibu tunggal sedangkan itu bukan bentuk kekuatan. Itu penyiksaan perlahan-lahan.
Jadi, apa jalan selesainya? Rata-rata suami pun tahu tuntutan agama bahawa nafkah itu wajib diuruskan suami. Itu tak payah cerita.
Jika sukar mendapat kerja, boleh saja bermula dengan kerja kecil. Gig, e-dagang, servis atau jualan online. Maruah bukan pada jawatan, tapi pada usaha. Jangan takut bergaji kecil tetapi perlu takutkan keselesaan yang akhirnya menghancurkan keluarga. Keselesaan yang membuatkan lelaki sihat memilih diam. Keselesaan yang membuatkan isteri menangis dalam diam.
Pertubuhan-pertubuhan wanita di negara ini pun, janganlah asyik bercakap pasal kesamarataan gender dan hak-hak wanita di tempat kerja. Isu seperti ini juga harus diberi tumpuan dan dibawa ke pihak yang berautoriti. Jangan biarkan wanita mentalnya koyak rabak akibat permasalahan ini.
Jangan hanya ke mahkamah syariah jalan selesainya sedangkan Isteri tuntut cerai bukan kerana benci, tapi kerana sudah penat mental dan fizikal. Hidup ini memanglah sementara. Sementara tidak bermaksud berserah sahaja.
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.










