KUALA LUMPUR: Sebanyak 24,631 warga asing ditolak masuk ke Malaysia, manakala 707 individu ditahan atas pelbagai kesalahan ketidakpatuhan imigresen sepanjang tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah kawalan sempadan terus diperkukuh bagi mengekang kemasukan warga asing tanpa izin yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama agensi barisan hadapan, termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), melaksanakan strategi kawalan imigresen secara menyeluruh merangkumi peringkat sebelum, semasa dan selepas kemasukan ke Malaysia.
“KDN memandang serius isu kemasukan dan keberadaan warga asing tanpa izin yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.
“Sehubungan itu, KDN dan semua agensi barisan hadapan termasuk AKPS melaksanakan strategi kawalan imigresen secara menyeluruh merangkumi peringkat sebelum kemasukan, semasa kemasukan, dan selepas kemasukan ke Malaysia.
“Berdasarkan statistik terkini AKPS bagi tahun 2026, sebanyak 24,631 penolakan masuk (NTL) dan 707 tangkapan atas pelbagai kesalahan ketidakpatuhan imigresen telah direkodkan. KDN, menerusi AKPS, akan terus memperkasa kawalan sempadan berasaskan penilaian risiko (riskbased border control) bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Bebas-Labuan) yang meminta kerajaan menyatakan tindakan tegas serta mekanisme saringan di pintu masuk negara terhadap warga asing, termasuk warga China yang dikenal pasti berisiko atau mempunyai rekod penglibatan dengan sindiket penipuan dalam talian.
Suhaili turut meminta statistik warga asing yang ditolak masuk dan ditahan.
Saifuddin berkata, antara langkah yang dilaksanakan ialah memperkukuh Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) yang menganalisis maklumat penumpang secara automatik sebelum mereka berlepas ke Malaysia.
Menurutnya, sistem itu membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti lebih awal pengembara berisiko tinggi atau individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah.
Selain itu, AKPS memperketat pemeriksaan dokumen perjalanan, tempahan penginapan dan pengisian Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC).
Katanya, pelawat China yang melalui kaunter pemeriksaan manual turut tertakluk kepada syarat mengemukakan tiket penerbangan pulang serta bukti perjalanan keluar dari Malaysia.
“AKPS memperketat semakan dokumen perjalanan, tempahan penginapan, dan pengisian Malaysia Digital Arrival Card (MDAC).
“Bagi pelawat China yang melalui kaunter manual, mereka tetap tertakluk kepada syarat mengemukakan tiket penerbangan pulang dan bukti perjalanan keluar. Walaupun
kemudahan autogate disediakan untuk pemegang pasport China bagi melancarkan pergerakan pelawat, AKPS tetap memperkukuh kawalan menerusi penugasan pegawai secara omnipresence dan menempatkan penyelia di laluan e-Gate untuk melakukan,” katanya.
Dalam pada itu, AKPS bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi perkongsian maklumat risikan bagi mengesan individu berisiko tinggi atau yang mempunyai kaitan dengan sindiket haram.
Saifuddin berkata, Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dijadual siap sepenuhnya pada 2028, manakala Sistem Pengenalan Biometrik Automatik (ABIS) akan diperkenalkan pada suku ketiga 2027 bagi meningkatkan ketepatan pengesahan identiti dan membanteras penggunaan pasport palsu.
Katanya, Pengenalan Digital Warga Asing (FDID) pula akan diperkenalkan mulai 1 November 2026 bagi memadankan data biometrik untuk memastikan setiap individu mempunyai identiti digital unik.
Selain itu, penggunaan e-Gate sepenuhnya bagi pelepasan keluar warga asing mulai Disember 2026 dijangka membantu mengurangkan risiko ketirisan dan manipulasi rekod pergerakan.
KDN turut menamatkan kemudahan Visa Masuk Berbilang (MEV) bagi lawatan sosial jangka pendek berkuat kuasa 1 September 2026 bagi mengekang penyalahgunaan pas untuk bekerja secara haram atau tinggal melebihi tempoh dibenarkan. – UTUSAN











