Pelarian dinilai risiko terlebih dahulu sebelum dihantar pulang

Pelarian dinilai risiko terlebih dahulu sebelum dihantar pulang

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mana-mana pelarian di negara ini tidak akan dihantar pulang sekiranya terdapat bukti atau risiko mereka berdepan penganiayaan, penyeksaan atau ancaman nyawa di negara asal.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 atau Protokol 1967, kerajaan akan memastikan setiap tindakan mematuhi undang-undang dan piawaian kemanusiaan antarabangsa.

Malah katanya, setiap proses penghantaran pulang pelarian tidak dilaksanakan secara unilateral, sebaliknya melalui rundingan dan penyelarasan secara langsung termasuk dengan Kerajaan Myanmar.

Memuatkan artikel berkaitan…

” Seramai 1,476 tahanan pelarian Myanmar berjaya dihantar pulang ke negara asal pada 29 September lalu menerusi fasa pertama Program Penghantaran Pulang dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Ianya melalui beberapa peringkat, iaitu pengenalpastian, pengesahan identiti dan status, tapisan keselamatan dan verifikasi pelarian oleh Kerajaan Myanmar sebelum urusan dokumentasi dan pemindahan dilaksanakan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen.

Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) sebelum ini meminta dinyatakan status rancangan Kerajaan untuk menghantar pulang 5,000 warga Rohingya dan apakah mekanisme, garis masa serta jaminan bahawa proses tersebut dilaksanakan secara teratur dan berperikemanusiaan.

Dalam pada itu Saifuddin Nasution berkata, penghantaran pulang 5,000 tahanan pelarian Myanmar yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama kementerian dan agensi berkaitan.

Menurutnya, fasa pertama penghantaran pulang berkenaan dilaksanakan menggunakan aset laut milik Kerajaan Myanmar sebagai sebahagian daripada persetujuan dan kerjasama antara kerajaan kedua-dua negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini