“SUDAH makan kakak? Ada satu warung dekat PJ murah kakak. Nasi, letak ayam, sayur sikit RM8. Tapi saya selalu tunggu nasi lemak seringgit.”
Itu kata seorang pemandu wanita Grab memulakan perbualan ketika saya menaiki keretanya untuk ke pejabat di Petaling Jaya beberapa hari lalu. Memang malas betul saya mahu memandu pada hari itu.
Sebelum masuk dalam kereta itu, saya sudah awal-awal pasang niat mahu duduk diam-diam saja sambil melayan telefon pintar.
Tetapi wanita berketurunan India yang saya agak dalam usia pertengahan 30-an ini memang ramah betul. Tidak sempat langsung saya membelek telefon kerana asyik bersembang. Beberapa minit jugalah kami berborak pasal makan di mana paling murah dan restoran mana paling ‘cekik darah’ di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
Namun, perbualan santai bab makan murah itu tiba-tiba bertukar apabila saya mula ‘gatal’ mengasah skil kewartawanan saya dan bertanya: “Tinggal di mana?”
“Bidor,” jawabnya ringkas.
“Bukan… maksud saya, di sini awak tinggal di mana?” Tanya saya lagi.
“Dalam kereta,” jawabnya.
Dua patah perkataan itu cukup membuatkan saya terdiam. Terkedu sekejap. Biar betul dia ini, getus saya dalam hati.
“Belakang kereta ada baju, ada selimut. Malam-malam saya tidur di R&R. Saya balik Bidor seminggu atau dua minggu sekali. Tengok anak dan beli barang dapur,” ceritanya.
Katanya, suaminya baru meninggal dunia. Di kampung, peluang pekerjaan terhad. Bekerja di kilang, gaji bawah RM2,000 – tidak mampu untuk menampung dua anak bersekolah serta ibu bapa mentua yang juga tinggal dengannya di sana untuk menjaga anak-anaknya, sudah uzur pula.
Maka, dia memilih menjadi ‘gelandangan dalam kereta’ demi kelangsungan hidup. Menjadikan kereta sebagai rumah, dan jalan raya raya sebagai laman mencari rezeki.
Di Bidor katanya, mana ada orang gunakan perkhidmatan e-hailing sangat. Jadi, dia terpaksa tinggal dalam kereta, di Kuala Lumpur.
Katanya, bila dia letih dan mahu tidur di waktu malam, dia cari tempat selamat yang ada lampu dan CCTV.
“Tidak fikir mahu kahwin lagi? Biar suami pula jaga awak dan anak-anak.” Tanya saya.
“Tak apa kakak. Nanti takut saya pula kena jaga dia, kasi makan. Nasi lemak seringgit pun dia tak mahu makan,” Jawabnya. Serentak berderai kami ketawa.
Saya menambah – “Betullah. Lelaki pun bukan semuanya boleh harap.” Kami ketawa lagi. Saya sebenarnya mahu mengendurkan cerita muram itu.
Ketika sudah sampai, saya menepuk bahunya dan berpesan: Jangan lupa kunci pintu bila tidur. Mata saya menghantar kereta itu sehingga hilang daripada pandangan tanda simpati saya kepadanya beserta doa.
Dan hari ini 10 Mei, ketika kalendar mengingatkan kebanyakan kita tentang Hari Ibu, kisah wanita pemandu Grab itu kembali melekat kuat dalam fikiran saya.
Kisah wanita ini hanyalah satu daripada jutaan naratif pengorbanan ibu yang ada waktunya tidak disedari oleh kebanyakan anak semasa ibunya masih bernyawa.
Ada ibu yang sanggup memerah tenaga dan mengikat perut demi melihat anak bersuap makan. Ada yang penakut boleh jadi berani. Ada yang sakit dan tubuhnya lemah terpaksa jadi kuat dan ada yang mengajar anak ‘jadi kuat’ tetapi pada malam hari ketika semua anak lena tidur, dia menyeka air mata memikirkan apa lagi jalan yang ada untuk memberi anak makan dan menyekolahkan mereka.
Dan saya juga percaya, setiap kali anak sakit atau mengalami penyakit kronik, si ibu pasti mengadu kepada Tuhan, biarlah segala kesakitan itu dipindahkan kepada dirinya saja. Biarlah dia yang tanggung sengsara itu sendiri.
Pengorbanan ibu bukan sekadar tentang melahirkan, tetapi tentang ‘melupakan dan mematikan’ kepentingan dan kebahagiaan diri sendiri demi menghidupkan impian anak-anak.
Macam pemandu e-hailing itu, soal keselamatan diri sebagai seorang wanita yang tidur sendirian di perhentian lebuh raya ditolak ke tepi. Rasa takut dan bimbang kalah kepada rasa tanggungjawab. Inilah yang dinamakan kasih ibu.
Hari Ibu yang disambut pada hari Ahad kedua bulan Mei setiap tahun ini bermula daripada usaha seorang aktivis antiperang Anna Jarvis di Amerika Syarikat pada awal abad ke-20 sebagai tanda penghormatan buat ibunya.
Namun, bagi kita di Malaysia, sambutan ini lebih kepada manifestasi rasa terima kasih dan penghargaan. Ia adalah ‘jeda’ sejenak daripada kesibukan dunia untuk kita kembali memandang wajah syurga kita.
Ada yang sangsi dan bertanya, bukankah sambutan ini budaya Barat? Haram menyambutnya. Dari sudut pandang Islam, menghargai ibu bukan sekadar tuntutan, malah ia adalah ibadah. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan telah menjelaskan bahawa sambutan Hari Ibu adalah harus.
Ia tidak dianggap sebagai ritual keagamaan yang bercanggah dengan akidah, sebaliknya ia bertujuan memperingati dan menghargai insan yang dipandang tinggi dalam Islam. Selagi sambutannya tidak mengandungi unsur syirik atau maksiat, Islam tidak pernah menyempitkan ruang untuk umatnya menzahirkan kasih sayang.
Namun, perlu kita sedari, kasih seorang ibu tidak bermusim. Jika dia boleh menyayangi anak-anaknya selama 365 hari setahun tanpa cuti dan tanpa bersyarat, masakan kita hanya mahu menghargainya pada tarikh 10 Mei sahaja?
Hakikatnya, ‘Hari Ibu’ adalah setiap kali kita menelefonnya bertanya khabar. ‘Hari Ibu’ adalah setiap kali kita menyelitkan duit belanja di tangannya walaupun dia berkali-kali menolak. ‘Hari Ibu’ adalah setiap doa yang kita titipkan buatnya selepas solat, sama ada dia masih ada di sisi atau sudah tenang di alam barzakh.
Jangan biarkan 10 Mei menjadi satu-satunya hari kita menghantar jambangan bunga, belanja makan dan segala yang indah-indah untuk ibu berlaku hanya pada hari ini sedangkan pada 364 hari lain, kita membiarkan pesanan WhatsApp-nya sepi tanpa balasan dan rumah yang dulunya penuh dengan keriuhan anak-anak, kini begitu sunyi. Hanya orang tua yang tinggal di rumah itu yang sentiasa mengharapkan kepulangan dan panggilan telefon anaknya.
Selamat Hari Ibu buat semua ibu yang doanya menembusi langit. Dan semoga kepulangan wanita itu ke Bidor hari ini disambut dengan pelukan hangat anak-anaknya. Kerana bagi seorang ibu, itulah ‘gaji’ paling besar yang tidak boleh dibayar oleh mana-mana syarikat e-hailing di dunia ini.
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.










