Bijak urus ekonomi rakyat, itulah parti yang menerajui selepas PRU16 - Utusan Malaysia

Bijak urus ekonomi rakyat, itulah parti yang menerajui selepas PRU16

Mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak antara faktor tarikan rakyat dalam memilih kerajaan. – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG anak muda menyatakan bahawa parti politik yang bijak memenangi hati rakyat dalam pengurusan ekonomi rakyat masa kini, itulah kerajaan baharu untuk Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

Sudah tentu apa yang diperkatakan itu agak subjektif, tetapi isi hati seorang rakyat atau naluri anak muda ini dengan mengambil kira situasi sekarang – kenyataan itu ada asasnya. Waima mengambil kira pelbagai perkara, rakyat mahu mengelak daripada keresahan ekonomi semasa yang pastinya menyemai keadaan tidak selesa dalam kehidupan semakin mencabar ini. Rakyat diminta berpijak di bumi nyata, tetapi adakah kepimpinan negara berpijak kepada realiti, kebenaran, kewajaran atau hanya berhelah? Kerajaan yang bijak adalah memimpin ekonomi rakyat secara berhemah.

Dalam teori ekonomi, istilah ‘ekonomi rakyat’ bukan satu konsep tunggal yang biasa-biasa seperti Supply and Demand atau Gross Domestic Product. Ia lebih banyak digunakan dalam wacana politik, pembangunan, dan ekonomi sosial di negara membangun termasuk Malaysia dan negara jiran lain. Namun jika dilihat melalui lensa teori ekonomi, ‘ekonomi rakyat’ seharusnya dirungkai lebih teliti oleh pemerintah.

Umpamanya, ekonomi rakyat harus terus diperkasakan, digalakkan, diberikan harapan kepada sistem atau aktiviti ekonomi berasaskan penyertaan majoriti rakyat biasa terutama berpendapatan rendah dan sederhana dalam pengeluaran, pengagihan, penggunaan dan pemilikan sumber ekonomi. Fokusnya adalah kesejahteraan masyarakat luas, bukan hanya keuntungan korporat besar atau kelompok elit.

Mengikut beberapa teori ekonomi seperti ekonomi klasik (Adam Smith), ekonomi rakyat boleh dilihat melalui kebebasan berniaga dan pasaran terbuka. Jika rakyat diberi peluang bersaing secara adil, mereka boleh meningkatkan pendapatan melalui invisible hand pasaran. Cumanya secara kritis, pasaran bebas kadangkala menyebabkan jurang kaya-miskin melebar.

Kalau dilihat ekonomi keynesian (John Maynard Keynes), kerajaan perlu campur tangan untuk melindungi rakyat melalui subsidi, bantuan sosial, peluang pekerjaan dan perbelanjaan awam agar ekonomi berkembang secara inklusif, tidak terkecuali ekonomi pembangunan/inklusif, di mana menurut teori moden ini memperlihatkan ekonomi rakyat sebagai pembangunan yang memastikan manfaat pertumbuhan sampai kepada usahawan kecil, petani, nelayan, pekerja gig dan perusahaan mikro.

Sudah tentu, Malaysia sebagai negara yang menekankan ekonomi Islam, prinsip keadilan sosial seperti zakat, larangan riba, pengagihan kekayaan dan perlindungan golongan miskin memberi keadilan yang saksama dan murni.

Soalnya sekarang, kerajaan dan parti politik harus memastikan ekonomi rakyat tidak lari daripada soal kepemilikan ekonomi lebih meluas, menyokong PKS dan perniagaan kecil, peluang pekerjaan rakyat tempatan, harga barang mampu milik, pengurangan kemiskinan, kurangkan monopoli syarikat besar, fokus kepada kesejahteraan rakyat terbanyak.

Pun begitu, masih ada yang menganggap dalam konteks Malaysia hari ini, kejayaan pengurusan ekonomi rakyat boleh dianggap separa berjaya dan masih berdepan jurang besar antara dasar dan realiti di lapangan.

Ada yang merasakan, kos sara hidup meningkat lebih cepat daripada pendapatan, manakala harga makanan, rumah dan perkhidmatan naik, tetapi pertumbuhan gaji rakyat biasa agak perlahan.
Isu gaji rendah – ramai masih berada dalam kategori pendapatan sederhana rendah walaupun ekonomi negara berkembang. Yang dilihat pula ketidaksamaan kekayaan di mana sebahagian besar aset dan kekayaan masih tertumpu kepada kumpulan tertentu serta syarikat besar.

Kebergantungan kepada bantuan tunai, sesetengah dasar bersifat jangka pendek dan belum menyelesaikan isu struktur seperti produktiviti rendah atau peluang pekerjaan berkualiti termasuklah ekonomi gig yang tidak stabil. Walaupun ramai menceburi sektor gig kerana fleksibiliti, tetapi perlindungan sosial masih lemah.

Dari sudut teori ekonomi, jika diukur melalui teori Inclusive Growth, ekonomi rakyat masih belum mencapai tahap ideal kerana pertumbuhan ekonomi belum dinikmati secara seimbang. Mungkin agaknya pandangan ini tidak dipersetujui pihak tertentu atau pihak berkepentingan, tetapi seharusnya ia diambil kira jua!

Jika dilihat dari perspektif John Maynard Keynes, kerajaan masih aktif campur tangan melalui subsidi dan bantuan, tetapi reformasi struktur dilihat masih perlahan walaupun ada tindakan drastik atau progresif tetapi apakah rakyat benar-benar merasainya?

Dari pelbagai aspek dibangkitkan, pengundi juga berpandangan mana-mana parti politik yang bijak menawarkan pakej ekonomi rakyat, itulah parti yang bakal menerajui kepimpinan Malaysia pada masa akan datang menerusi PRU16.

Menurut pemerhati sosioekonomi dan politik, isu ekonomi memang faktor utama pengundi. Dalam banyak pilihan raya di Malaysia, kos sara hidup, peluang kerja dan gaji sering jadi penentu.

Parti yang menawarkan pakej ekonomi rakyat yang jelas dan meyakinkan biasanya mendapat perhatian besar.

Faktor lain juga perlu diambil kira seperti kepimpinan dan kredibiliti tokoh, isu integriti, sentimen kaum, agama dan wilayah, kestabilan politik dan gabungan parti.

Rakyat juga sudah muak dengan overpromise. Ada parti menawarkan pakej ekonomi yang menarik tetapi tidak realistik dari segi fiskal. Bila janji tidak ditunaikan, ia boleh makan balik sokongan.

Kesimpulannya, pakej ekonomi rakyat adalah senjata penting dalam PRU. Tetapi ia bukan faktor penentu tunggal. Dalam konteks Malaysia, kemenangan lebih bergantung kepada keyakinan pengundi terhadap siapa mampu melaksanakan, bukan siapa paling pandai menjanjikan.

Tunggulah nanti PRU16, rakyat akan berkuasa untuk memilih sekali gus memulihkan ekonomi rakyat dengan cara tersendiri.

Penulis ialah Ketua Perunding di Pusat Penyelidikan Strategik dan berpengalaman dalam hal ehwal sosioekonomi, komunikasi strategik dan keparlimenan lebih 30 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN