Banduan prospek kurangkan kebergantungan pekerja asing

Banduan prospek kurangkan kebergantungan pekerja asing

Banduan prospek
V. Papparaidu melawat Penjara Kajang bagi melihat banduan prospek yang berpotensi untuk diberi peluang kedua dalam pekerjaan, di Kajang, Selangor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengambilan banduan prospek yang boleh dibimbing dan dilatih boleh mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor perkilangan, pembuatan, pembinaan, pertanian dan perladangan.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V. Papparaidu berkata, sektor perladangan mempunyai prospek besar untuk menempatkan mereka sebagai pekerja ladang yang terlatih dan berdaya saing.

“Dengan pendekatan yang tersusun berfasa dan selamat kita mampu mengoptimumkan potensi mereka di samping membuka peluang kedua untuk mereka membina kehidupan baharu.

“Langkah itu juga dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dari luar negara di samping membuka lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan serta memanfaatkan tenaga kerja sedia ada untuk pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu, beliau memberitahu mengadakan lawatan ke Penjara Kajang dan melihat potensi besar dalam kalangan prospek yang boleh dibimbing serta dibangunkan menjadi tenaga kerja yang produktif.

Papparaidu memaklumkan, beliau membawa kira-kira 10 syarikat untuk mengadakan sesi temuduga bersama mereka sebagai persediaan peluang pekerjaan selepas mereka dibebaskan kelak.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada KDEB Waste Management selaku agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor atas sokongan dalam menyediakan bantuan seperti latihan dan peluang mendapatkan lesen serta pengendalian lori sampah bagi membolehkan mereka terlibat dalam sektor pengurusan sisa pada masa hadapan.

“Sudah tiba masanya kita memberi peluang kedua kepada mereka dan dalam masa yang sama memperkukuh ekonomi negara dengan sumber tenaga kerja tempatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN