Pekerja jangan harap ganjaran? - Utusan Malaysia

Pekerja jangan harap ganjaran?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari Jumaat, 1 Mei lalu, seperti setiap tahun sejak 1973, Malaysia menyambut Hari Pekerja. Maka seringkali juga sejak beberapa tahun lalu khutbah-khutbah di negara ini mula membicarakan tema-tema isu semasa, Hari Pekerja juga diraikan dengan nasihat-nasihat berkaitan pekerjaan. Namun hampir setiap tahun, saya kesan umumnya nasihat-nasihat yang walaupun berniat baik dan menepati ajaran Islam tetapi tidak mencerminkan mesej asal Hari Pekerja.

Asal-usul Hari Pekerja ialah dari tarikh 1 Mei 1886 di Haymarket, Amerika Syarikat dalam kerangka tuntutan bagi pelaksanaan bekerja hanya lapan jam bagi sehari. Kini, hampir seluruh dunia sudah melaksanakan hak bekerja lapan jam sehari. Tetapi Hari Pekerja juga kini melambangkan perjuangan menuntut hak pekerja yang masih belum tercapai dan sedang diusahakan dengan mengambil kira suasana perubahan teknologi yang begitu pesat.

Setiap negara menggunakan pendekatan berbeza terhadap isu-isu buruh dan pekerja. Maka begitu juga cara mereka menyambut Hari Pekerja. Tetapi perkara jetas Hari Pekerja adalah berorientasikan dan berfokuskan kepada kehidupan pekerja itu sendiri dan bukannya pada kepentingan majikan, masyarakat, kerajaan atau negara.

Contohnya jika pada Hari Pekerja, seruan pada pekerja supaya rajin, jujur dan meningkatkan kemahiran serta daya pengeluaran sebenarnya berorientasikan pada majikan dan bukannya pada pekerja.

Begitu juga apabila dinyatakan pekerja adalah penting kepada negara. Ia pula berorientasi pada negara dan bukannya pekerja. Semasa Hari Pekerja tempoh hari dan juga tahun-tahun sebelumnya ada khatib mengingatkan para jemaah supaya bekerja dan tidak bergantung pada orang lain untuk hidup.

Ini kerana memperoleh rezeki halal adalah lebih mulia daripada meminta-minta. Jemaah juga dingatkan bahawa bekerja itu adalah ibadah jika dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT.
Ia suatu nasihat keagamaan yang baik. Tetapi ia tiada kaitan dengan sambutan Hari Pekerja. Soal seseorang mesti bekerja itu tidak timbul. Apa yang hendak diingatkan ialah para pekerja mesti menuntut apa yang merupakan haknya daripada majikan.

Untuk ini, para pekerja bukan berada pada kedudukan rendah daripada majikan. Kedua-dua pihak, majikan dan pekerja adalah saling gantung-bergantung. Cumanya majikan ada kuasa untuk menguruskan pekerjanya. Dalam hal ini pekerja wajar memperoleh layanan baik daripada majikan

Tetapi adalah sesuatu yang tidak kena jika dinyatakan pekerja janganlah mengharapkan ganjaran semata-mata dan sebaliknya wajar bersyukur dan reda rezeki yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Realitinya dan praktikalnya bekerja adalah suatu transaksi muamalah. Ia seperti berjual beli. Pekerja menjual tenaga, akal fikirannya dan masa hidupnya pada majikan. Malah majikan pula wajar membayar ganjaran setimpal daripada pekerjaan menurut ukuran masyarakat. Jika tidak, pekerja wajar menuntutnya dan bukan membuatkan majikan mengelak daripada mengikut peraturan. Apa yang perlu diingatkan Hari Pekerja itu adalah untuk pekerja dan bukannya hari untuk majikan

Majikan berfungsi bukan secara peribadi tetapi perniagaan atau perkhidmatannya beroperasi dalam masyarakat dan negara yang ada undang-undang serta bertanggungjawab untuk memberi kehidupan selesa kepada rakyatnya. Maka keuntungan yang diperoleh majikan datangnya daripada masyarakat.

Para pekerja pula adalah manusia yang inginkan kehidupan bahagia dan sejahtera. Bukan saja pendapatan yang diperoleh itu boleh menyara hidupnya dari segi makanan, kediaman dan perlindungan kesihatan. Tetapi para pekerja sebagai manusia tentulah mahu hidup berkeluarga, mampu akses pada perumahan yang selamat dan memiliki anak-anak yang dapat diberikan pendidikan dan selanjutnya mempunyai harapan untuk memiliki kerjaya.

Sememangnya bagi majikan yang tumpuannya adalah untuk mengaut keuntungan bagi dirinya dengan kehidupan para pekerja berada di luar tanggungjawabnya. Tetapi perniagaan atau syarikat bukan beroperasi dalam vakum. Ia bergerak dalam masyarakat. Ia memperoleh keuntungan dari masyarakat. Maka ia juga bertanggungjawab pada masyarakat termasuk para pekerjanya sebagai manusia.

Sistem pasaran terbuka hanya dapat bergerak dengan adil jika ia dilengkapi dengan institusi-institusi yang berkesan bagi mengimbangi kekuasaan korporat, syarikat dan majikan.
Institusi-institusi ini ada di pihak kerajaan dan juga bukan kerajaan. Institusi pertama di pihak bukan kerajaan adalah Kesatuan Sekerja. Masalahnya adalah tidak semua pekerja menjadi anggota kesatuan pekerja. Institusi kedua adalah Persatuan Pengguna yang menangani isu-isu pengguna khusus para pekerja. Institusi ketiga adalah media massa arus perdana. Tanpa media profesional, tiada saluran untuk menyuarakan isu-isu pekerja.

Di pihak kerajaan pula tentunya Kementerian Sumber Manusia. Asalnya yang ada ialah Kementerian Buruh dan Rakyat. Jadi, orientasinya dapat dilihat terhadap pembelaan para buruh dan bekalan tenaga rakyat untuk pembangunan. Tenaga rakyat itu adalah terjemahan kepada manpower yang juga boleh ditafsirkan sebagai ‘kuasa manusia.’

Tetapi apabila jadi Kementerian Sumber Manusia maka para pekerja sudah menjadi satu sumber atau modal bagi ahli perniagaan, iaitu setaraf dengan sumber lain seperti kewangan, tanah dan lain-lain.

Namun lebih penting dalam hal ini, jika berlaku pertembungan antara pekerja dengan majikan, pihak mana yang kerajaan sebelahi? Para majikan mempunyai pengaruh besar. Selain Persekutuan Majikan yang menjaga kepentingan majikan, mereka mempunyai dana besar dan lobi berkesan terhadap ahli politik dan kerajaan.

Sedangkan pekerja hanya mengharapkan kekuatan mereka sebagai pengundi bagi mempengaruhi polisi. Tetapi parti-parti politik mestilah memihak pada para pekerja. Jika tidak, suara pekerja akan diketepikan begitu saja lebih-lebih lagi kalau ahli-ahli politik pula yang terlibat dengan perniagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN